7 perkara yang anda perlu buat untuk menguruskan syarikat perniagaan dengan baik


Soalan paling kerap yang muncul dalam kepala setiap peniaga dalam menguruskan syarikat adalah, 'macam mana nak menguruskan syarikat dengan baik?'

Saya juga sering tertanya-tanya, 'apakah yang saya perlu buat yang boleh menunjukkan bahawa saya sedang menguruskan syarikat dengan betul?'

Soalan itu dan yang seumpama dengannya sering timbul setiap kali saya duduk seorang diri.

Jadi saya tulis artikel ini.

Saya cuba buat pencerahan untuk diri sendiri dan harap ia juga turut sama berguna untuk syarikat perniagaan anda.

Pengurusan syarikat

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang anda perlu buat dalam usaha untuk menguruskan syarikat perniagaan dengan baik.

Kalau syarikat dah ada modal yang mencukupi, bab pengurusan ini boleh diserahkan pada seseorang yang berpengalaman dalam bab pengurusan. Iklan jawatan, panggil untuk temuduga dan rekrut individu yang layak.

Pastikan anda merekrut mereka yang profesional yang banyak pengalaman dalam memegang jawatan pengurusan.

Lagi tinggi anda mampu bayar, lagi tinggi anda boleh letakkan harapan pada mereka.

Namun begitu kebanyakan usahawan kecil macam saya memang tak ada modal banyak untuk gajikan profesional dalam menguruskan syarikat.

Mahu tak mahu, anda perlu jadi taukeh dan dalam masa yang sama perlu menguruskan syarikat dengan baik supaya perniagaan berjalan dengan lancar. Saya yakin anda juga jenis usahawan yang terpaksa uruskan syarikat anda sendiri.

Untuk itu, anda perlu ambil perhatian terhadap 7 perkara penting di bawah dalam proses menjadi seorang pengurus yang baik. 

Kita lihat kesemua 7 perkara tersebut.

#1. Urus diri anda dulu

Ini perkara utama paling penting. Belajar untuk menguruskan diri anda sendiri dengan baik terlebih dahulu.

Sebelum fokus pada tugas uruskan orang lain, elok terlebih dahulu lihat bagaimana anda uruskan diri sendiri. Lihat bagaimana anda bertindak, macam mana anda berpakaian, macam mana anda berkomunikasi, macam mana anda buat kerja dan lain-lain lagi yang berkaitan.

Bolehkah anda jadi pengurus mithali?

Kalau anda nak suruh ahli kumpulan buat sesuatu perkara, adakah ia seperti seekor ketam yang mahu anaknya berjalan lurus?

Adalah amat penting untuk kenal diri anda siapa, sifat anda macam mana, baran ke cool, mulut celupar atau laser berbisa atau berlapik dan sebagainya.

Berkenaan diri, saya ada cara yang tersendiri.

Saya tak suka terlalu banyak protokol yang terlalu rigid. Saya suka fleksibel. Jadi cara pengurusan saya juga macam itu. Yang saya pentingkan adalah hasil. Nak buat dengan cara macam mana sekalipun saya tak kisah.

Perkara paling saya tak suka adalah buat sesuatu berdasarkan ikut-ikutan tanpa tahu hujung pangkalnya. 

Kalau saya lihat macam tak kena apa yang diamalkan oleh anak buah, saya akan tanya terlebih dahulu kenapa buat macam itu.

Jika jawapannya, “memang selama ini semua orang buat macam itu!”.

Itu memang jawapan yang saya cukup tak gemar. Perlu tahu kenapa dan untuk capai apa. Pastikan cara tersebut terbukti berkesan.

Paling kerap berlaku, orang ikut cara amalan yang popular sedangkan hasilnya zero.

Jadi, kenapa masih nak ikut cara yang sama?

Satu lagi perkara penting adalah sikap anda pegang pada apa yang diperkatakan. Jangan sebut atau janji benda yang tak mampu anda ingat. Ini bahaya besar yang boleh membuatkan anda dilabel sebagai kaki gebang.

Bila anda buat keputusan perlu tegas dan konsisten. Jangan terlalu sangat berubah-ubah. Dan paling bahaya kalau anda tak berani atau lambat buat keputusan. Semua ini adalah ukuran tahap keupayaan anda untuk uruskan diri sendiri.

#2. Bantu orang bawah cemerlang

Perlu ingat perkara penting ini. Anda duduk kat atas tu bukan untuk jadi ketua samseng.

Ketua kumpulan kongsi gelap, orang bawah risau dan rasa tak selamat. Kalau anak buah buat silap, buruk padahnya. Jadi anak buah sentiasa tak yakin bila berhadapan dengan ketua samseng macam itu.

Adakah anda jenis macam itu?

Pernah saya kerja dengan satu syarikat besar dulu. Boss masa tu memang kelakuannya macam ketua samseng. Kalau boss masuk lif, semua orang sanggup guna tangga dari terpasak naik satu lif dengan boss.

Untuk pastikan anda berbeza dari ketua samseng, anda perlu fokus untuk membantu orang bawah buat kerja dengan cemerlang. Sentiasa cari jalan supaya mereka boleh laksanakan tugas yang diberikan dengan lancar dan hebat.

Perlu faham keyakinan diri orang bawah anda dan keupayaan mereka. Berikan galakan dan selalu bertanya apa yang anda boleh buat supaya mereka boleh laksanakan kerja dengan baik. Setiap orang berbeza. Oleh itu cara anda berurusan dan berkomunikasi perlulah sesuai dengan setiap individu.

#3. Fokus kerja sentiasa menjadi

Orang putih kata, ‘get things done’!

Peka terhadap perbezaan antara, ‘sibuk’ dengan ‘buat kerja’. Ramai orang yang sibuk. Tapi satu kerjapun haram tak jadi.

Kalau anda lihat ada unsur-unsur sibuk macam itu, segera hapuskan dari berterusan. Biar nampak relaks dan cool asalkan kerja bergerak. Biar nampak tenang tapi sasaran kena.

Kalau nak bahas bab bagi kerja menjadi ini, memang panjang.

Yang paling asas, nak bagi kerja menjadi, adalah keupayaan membuat keputusan yang jelas.

Begitu juga sasaran. Mestilah simple, boleh diukur dan dapat difahami oleh semua orang.

Yang pentingnya, anda perlu sentiasa belajar macam mana nak bagi semua kerja menjadi. Gunakan peralatan, cara, metodologi dan teknologi yang bersesuaian dan betul.

#4. Berkomunikasi dengan baik

Kalau anda nak mengurus syarikat dengan baik, pastikan anda kuasai kemahiran berkomunikasi. Itu satu skill yang amat penting yang wajib ada pada semua usahawan yang nak uruskan syarikatnya dengan baik.

Belilah buku tentang kemahiran berkomunikasi. Pergilah ambil kursus komunikasi. Belajar dan dalami skill ini. Kalau ada kursus pidato atau berceramah, pergi ambil. Saya jamin anda tak akan rugi mendalami bab komunikasi ini untuk kepentingan kerja mengurus anda nanti.

Pastikan anda ambil masa untuk berkomunikasi dengan semua pihak yang terlibat dalam syarikat perniagaan anda. Ambil maklum balas, tanya soalan dan jadi pendengar yang baik.

Jangan ingat berkomunikasi itu perlukan cakap banyak tak berhenti. Mendengar dan melihat serta memahami juga adalah sebahagian dari komunikasi. Tepuk bahu staff juga berkomunikasi.

#5. Ambil pekerja yang baik

Ini juga salah satu dari tugas pengurusan.

Pastikan anda sentiasa berusaha untuk merekrut orang yang bijak dan baik masuk dalam kumpulan yang anda nak bina.

Kalau ada yang buruk tu, jangan tangguh untuk buang. Biarlah yang buruk tu pergi ke tempat lain ang lebih sesuai untuk mereka.

Kemudian bila nak ambil ahli baru, ambil masa dan jangan terburu-buru.

Perlu belajar dan bertanya cara terbaik untuk ambil pekerja. Macam mana nak pilih pekerja yang bagus dan macam mana nak buat temuduga yang berkesan.

Dalam masa yang sama anda mesti berupaya untuk yakinkan orang yang bagus, bersetuju masuk sertai kumpulan anda.

Ramai kawan-kawan yang buat bisnes workshop merungut tentang masalah tak ada pekerja yang bagus nak datang kerja dengan mereka. Selalunya saya kata dalam hati (tak gamak nak berterus terang) …

“Workshop kamu macam khemah baru kena ribut, ada hati nak ajak pekerja bagus kekal kerja dengan kamu …”

Itu salah satu contoh gagal yakinkan pekerja bagus masuk sertai syarikat anda.

#6. Bina kumpulan yang kuat

Nak bina syarikat tak boleh elak dari mengambil pekerja yang baik. Perlu lebih dari seorang.

Maknanya perlu buat kumpulan. Perlu bina kerjasama kumpulan. Oleh itu mesti belajar macam mana cara nak bina kumpulan yang kuat.

Manusia ni pelik sikit, seorang diri mudah dijangka berdasarkan sikap dan kemahirannya. Tapi bila bergabung lebih dari seorang manusia, dia akan jadi sukar untuk diduga.

Kalau nombor, satu campur satu akan jadi 2. Tapi Seorang manusia campur dengan seorang manusia mungkin boleh jadi zero atau 3. Bergantung macam mana anda gabungkan 2 orang manusia tersebut.

Pastikan anda gabungkan semua kemahiran dan sikap yang saling kuat menguatkan. Semua ahli perlu faham tugas masing-masing dan saling sandar menyandar untuk mencapai matlamat kumpulan.

#7. Sensitif dengan untung dan rugi

Ini memang tak boleh nak elak.

Dah namapun berniaga. Wajiblah peka dengan urusan untung dan rugi ni. Perlu sentiasa lihat bab kewangan ni. Jangan berkira. Tapi perlu sentiasa kira.

Ramai usahawan kecil gagal dalam bab ni. Mereka main belasah berniaga tanpa ambil peduli kiraan untung dan rugi. Malah tak pernah tanya betulkah cara aku kira untung dan rugi ni.

Ramai saya jumpa mengadu pening kepala dalam bab kewangan ni. Jika dikira, bisnes dia memang ada buat untung. tapi hakikatnya ke mana pergi semua duit untung tu?

Kalau ada soalan itu, perkara pertama yang anda perlu tanya adalah betulkah cara kiraan yang anda buat tu?

Mana boleh jadi macam tu. Matematik nombor ni tak akan tipu. Kalau kiraan tunjukkan baki ada RM100, maka sudah pasti akan ada RM100. Kalau tak ada, tentu boleh dijejaki sampai jumpa. Jadi betulkan kiraan untung dan rugi.

Ulang semua 7 perkara penting itu

Dah selesai tugasan penting yang anda perlu buat.

Kesemua 7 perkara tersebut wajib dilakukan jika anda mahu menguruskan syarikat perniagaan anda dengan baik.

Itulah kerja yang anda terpaksa ulang dan ulang buat naik dan turun selagi anda masih mahu menguruskan perniagaan anda sendiri.

Jikia bisnes dah bagus, anda boleh ambil profesional untuk buat kesemua kerja tersebut. Kalau masih tak berapa nak mantap, terpaksalah buat kesemuanya sendiri.

Selamat beramal!

Post a Comment

Previous Post Next Post