Salah satu perniagaan yang dah bertapak lama dan terbukti berjaya adalah perniagaan kedai runcit. Masa zaman kanak-kanak di kampung dulu, orang tua saya ada akaun di kedai runcit Melayu kat Pekan Penanti.
Setiap hari, mak pergi kedai tu, beli barang yang diperlukan untuk kami makan satu keluarga. Ambil saja dulu tak payah bayar lagi. Cukup bulan tokeh kedai akan kira jumlahnya dan mak buat bayaran.
Harganya biasa saja berbanding kedai lain. Tak murah sangat, malah ada kalanya lebih 10 atau 20 sen. Tapi kemudahan buka akaun bayar bulanan itu merupakan satu servis yang amat diperlukan untuk teruskan hidup.
Bila dah dewasa, muncul banyak pasaraya besar dari dalam dan luar negara yang jual segala benda di dalamnya. Hasilnya, perniagaan kedai runcit tradisional mengalami serangan yang cukup teruk.
Dalam laporan tentang industri perniagaan di dunia, antara perniagaan yang teruk mengalami penyusutan peluang, samada peluang perniagaan, keuntungan, maupun peluang pekerjaan, adalah perniagaan peruncitan tradisional.
Ini disebabkan inovasi teknologi terbaru yang lebih mengutamakan sistem automasi berbanding penggunaan manusia.
Kepesatan penggunaan teknologi yang berkos tinggi dan memerlukan modal yang besar membuatkan perniagaan runcit yang kecil-kecilan kalah di tangan peruncit besar dan bersifat multinasional.
Bagi mereka yang bersikap positif dan ada kemahiran, jika terpaksa melupakan perniagaan peruncitan, boleh beralih arah kepada pengeluaran produk runcit.
Ada berbagai produk yang boleh dipasarkan terus kepada orang ramai. Buatlah apa saja produk yang terbukti ada pasaran dan perbaiki teknik pemasaran untuk mengatasi pesaing.
Anda perlu lihat secara terperinci segala aspek samada pemasaran, harga, penampilan produk ataupun persembahan peroduk.
Gunakan peluang kehadiran pasaraya-pasaraya besar ke dalam pasaran tempatan sebagai pusat untuk menjual produk anda di dalamnya.
Jika berjaya memasukkan produk anda di sana, pastikan produk tersebut diletakkan pada tempat yang strategik.
Tepat strategik adalah pada rak yang tingginya sama paras dengan kedudukan mata pelanggan.
Di samping itu berusahalah dan buatlah apa saja agar produk anda mendapat kedudukan di bahagian tengah.
Bukan di tepi kiri atau kanan.
Ini kerana kajian membuktikan kedudukan samada laris atau tidak barangan anda itu dipengaruhi salah satunya oleh kedudukan pada ruang mendatar seperti berikut.
- Tepi bahagian kanan – 31.7%
- Bahagian tengah – 44.4%
- Tepi sebelah kiri – 23.8%
Lanjutan dari yang tersebut di atas, pastikan juga produk anda itu ada di bahagian tengah sekali yang simetri.
Kedudukan yang sama boleh digunakan pada kedai runcit anda sendiri. Letakkan apa-apa produk pilihan yang anda nak habiskan dengan pantas umpamanya atau yang tahap keuntungannya paling tinggi.
Sama juga jika anda buka kedai kasut, kedai ubat, kedai kain baju atau lain-lain lagi. Ingat lokasi tengah adalah tempat yang akan memberikan sumbangan jualan yang paling tinggi dalam kedai anda. Jadi pastikan anda tahu barang apa nak letak kat situ.