Masalah utama yang membantutkan perkembangan dan kemajuan diri seseorang adalah sikap suka tangguh buat kerja, teruamanya kerja yang penting.
Saya juga sering berhadapan dengan masalah yang sama.
Saya yakin anda juga mungkin suka tangguh banyak urusan penting yang perlu dilaksanakan selama ini. Tapi masih tak selesai sebab suka tangguh.
Hidup tak akan jadi mudah dan ringkas jika anda sering dibelenggu perasaan bersalah yang menjadi hantu dalam bayangan minda. Perasaan bersalah itu timbul dalam diri anda hasil daripada sikap suka tangguh kerja urusan penting lain.
Akibat dari suka tangguh kerja, kebiasaannya anda akan terus melupakan urusan tersebut. Dari situ, anda mula memerah otak mencari alasan kenapa urusan itu memang tak perlu dilakukan. Kononnya untuk melegakan perasaan.
Namun di satu sudut hati kecil, anda telah mencetuskan luka kecil dalam jiwa. Luka ini merupakan salah satu daripada rantai yang membelenggu keupayaan sebenar diri anda.
Tangguh impian jadi usahawan
Ramai yang mahu memulakan perniagaan sendiri, tapi sampai sekarang tak buat-buat. Majoriti daripada mereka yang berminat dan mahu berniaga akan menangguhkan impian mereka itu sehinggalah pencen.
Contohnya, anda mahu buat blog perniagaan, atau buka page FB, atau buka akaun tiktok, kemudian mahu buat kontent atau menulis sambil menjual apa-apa produk yang anda minat, tapi menangguhkannya sehinggalah sekarang.
Banyak lagi contoh hasrat yang mahu dilakukan tapi malangnya ia tak pernah terlaksana akibat daripada penyakit suka tangguh.
Hapuskan penyakit tangguh kerja
Sebagai permulaan, anda perlu sedar bahawa kerja yang tertangguh, apabila ia terkumpul, akan menjadi satu bebanan minda.
Jangan biarkan himpunan hasrat yang banyak tertangguh itu menjadi penyakit yang membelenggu minda anda. Hentikan segera kerana semakin banyak yang anda tangguh, semakin teruklah kecederaan semangat yang akan berlaku dalam diri anda.
Anda tentu pernah tertanya-tanya selama ini kenapa anda masih berada di takuk lama sedangkan ramai dari kalangan rakan anda yang lain sudah jauh ke depan.
Idea paling mudah untuk betulkan keadaan adalah untuk tidak menyimpan apa-apa hasrat untuk dilaksanakan. Mungkin itu lebih bagus daripada menaruh harapan untuk buat sesuatu yang biasanya, anda tak pernah buatpun.
Idea malas ini dari satu segi dapat mengelakkan semangat anda dari tercedera.
Tetapi anda pun tahu idea itu tak baik. Orang yang tak ada menyimpan sesuatu hasrat sama saja dengan orang yang dah berputus asa dan menunggu untuk mati. Sebab punyai impian adalah salah satu kenapa manusia mahu terus hidup.
Buat tugasan kecil dan mudah
Bagi mengelakkan minda anda dari terus tercedera hasil dari masalah suka tangguh kerja, dan sekali gus merawat kembali semangat yang telah teruk terluka, anda boleh mula buat perkara kecil dan mudah terlebih dahulu.
Tanam satu hasrat yang cukup mudah dan dapat dilaksanakan dengan segera.
Ingat tu!
KECIL dan MUDAH dulu.
Contoh perubahan kecil dan mudah yang anda boleh buat adalah seperti memberikan salam pada sekurang-kurangnya seorang jiran dalam satu hari. Jadikan tu satu amalan yang mahu diamalkan.
Perkara sebegitu mudah dilaksanakan dan boleh disegerakan sebaik saja anda keluar dari rumah, bertemu jiran sebelah rumah atau sebaik saja anda pergi ke surau. Itu dapat dilakukan setiap hari dengan jayanya sebab ia kecil dan mudah.
Semakin banyak perkara mudah yang anda berjaya lakukan, ia merangsang keseronokan dan memberikan semula keyakinan dalam diri anda.
Lama kelamaan amalan itu akan terbina menjadi disiplin dalam diri dan secara tidak disedari anda telah berjaya melakukan berbagai perkara yang jauh lebih susah yang sebelum ini sering ditangguh-tangguhkan.
Apabila itu berlaku, sebenarnya anda telah berjaya menjiwai konsep hidup ringkas. Buat perkara mudah dan ringkas tetapi mampu berikan kesan yang besar dan berpanjangan dalam hidup anda.
Langkah usaha ubah diri untuk jadi seorang yang sentiasa buat apa yang dia nak buat adalah seperti berikut.
- Latih diri untuk buat apa yang anda cakap - Mulakan dengan perkara kecil dan mudah. Pilih 2 atau 3 perkara sahaja terlebih dahulu dan amalkan sehingga berjaya. Kemudian bila dah berjaya baru tambah lagi satu atau 2 perkara baru pulak.
- Pecahkan perkara besar menjadi beberapa bahagian yang kecil - Bila amalan di atas dah berjaya, pilih satu perkara yang lebih besar untuk anda laksanakan. Tapi jangan berhenti di situ. Pecahkan ia kepada sebanyak mungkin langkah-langkah susulan yang lebih kecil menuju ke raha yang besar itu.
Anda akan dapat laksanakan sehingga berjaya sebab pertamanya disiplin untuk buat apa yang dicakap sudah terbina dalam diri. Kemudian langkah-langkah kecil yang dipecahkan menuju ke perkara besar akan berlaku dengan sendirinya apabila anda bersedia untuk bersabar dan berfikiran positif.
Itulah sebenarnya cara merancang untuk berjaya yang terbukti amat berkesan untuk semua orang. Insyaallah.