Sihat mental dan sihat fizikal - Mari amalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh


Dari dulu sampai sekarang, sering digalakkan untuk semua orang amalkan budaya hidup sihat. Ayat itu dah tak ada kesan sangat sebab sering diulang cakap. Ada kalanya, yang sebut ayat itu pun sedar yang dia tidak mengamalkannya.

Banyak laporan menunjukkan rakyat negara kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Itu membuatkan orang ramai majoritinya menjadi tidak sihat.

Tapi apa dia gaya hidup sihat?

Apa yang anda bayangkan bila disebut gaya hidup sihat?

Tentu anda bayangkan seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat itu sering bersenam dan menjaga pemakanan. Itulah yang saya bayangkan sebelum ini.

Tapi ia mula berubah bila saya jatuh sakit. Saya boleh dikatakan sentiasa bersenam dan menjaga makan. Sudah lama amalkannya. Namun kesihatan sering juga tercicir dan ianya amat teruk sekali baru-baru ini.

Ia membuatkan saya terfikir akan makna  gaya hidup sihat dengan lebih luas.

Amalan gaya hidup sihat

Untuk permulaan anda perlu melihat gaya hidup sihat dalam dua konteks:

  • Amalan hidup sihat dari segi fizikal
  • Amalan hidup sihat dari segi spiritual.

Bersenam setiap hari merupakan satu amalan baik yang membentuk gaya hidup sihat.

Ia menyentuh kesihatan fizikal tubuh badan manusia yang perlu bergerak bagi mengekalkan kecerdasan dan kekuatan otot. Jika itu dilakukan maka sudah tentu apa yang anda dapat adalah tubuh badan yang sihat.

Tapi, jika setakat itu saja amalannya, anda belum lagi sempurna mengamalkan gaya hidup sihat dari segi kesihatan.

Perlu ditambah dengan kepercayaan bahawa segala amalan tersebut bukanlah penyebab wajib yang membuatkan anda sihat kerana ketentuan sihat atau sakit itu urusan Tuhan.

Dia boleh saja memberikan kesihatan walaupun anda tidak bersenam dan Dia juga boleh saja mencabut kesihatan, walaupun anda bersenam.

Jika itu anda pegang dan yakin, maka anda telah mengamalkan gaya hidup sihat dengan sempurna samada jasmani atau rohani.

Insyallah selamat.

Kehidupan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat pula tidak terhad hanya kepada kesihatan sahaja, malah ia melibatkan keseluruhan keperluan kehidupan termasuklah 4 perkara di bawah ini.

  • Kewangan atau ekonomi – Mereka yang keluar mencari rezki setiap pagi bagi menyara diri dan keluarga sebenarnya sedang mengamalkan gaya hidup sihat. Ini membantu kesihatan ekonominya.
  • Ketenangan atau hiburan – Mereka yang meluangkan masa melayan minat sebagai santapan hiburan jiwa yang mana setiap manusia memerlukannya juga sedang mengamalkan hidup sihat. Hasilnya jiwa kemanusiaannya sihat dan dia hidup gembira.
  • Perhubungan kemasyarakatan – Keluar bertemu kawan-kawan, menziarahi keluarga atau saudara mara, melayan anak-anak atau ibu-bapa juga merupakan satu gaya hidup yang sihat. Jika ia sering diamalkan nescaya hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan menjadi sihat.
  • Perhubungan dengan Pencipta – Keluar menunaikan solat bagi memperhambakan diri pada Pencipta merupakan gaya hidup sihat. Duduk bersuluk sendirian mengingati Tuhan juga adalah gaya hidup sihat Malah segala amal ibadah yang wajib atau sunat yang dilakukan, juga segala perkara haram atau makruh yang anda tinggalkan merupakan gaya hidup sihat yang paling utama.

Tentu ada lagi lain perkara yang anda boleh fikirkan, namun apa yang perlu difahamkan di sini adalah gaya hidup sihat itu bukanlah setakat bersenam dan menjaga kesihatan sahaja.

Ia lebih luas dan merangkumi apa yang telah dianjurkan oleh agama sejak awal lagi. Cuma tak ramai yang mengamalkannya secara bersungguh-sungguh demi mencapai kehidupan yang sihat.

Asas kepada gaya hidup sihat bermula dengan sikap mengambil serius akan tanggung jawab dalam kehidupan anda sendiri. Berikan komitmen kepada agama dan kepercayaan anda, kepada diri sendiri, kepada keluarga, kepada saudara mara, kepada jiran, masyarakat dan negara. Itulah makna mendirikan solat. Ia adalah menyeluruh.

Gaya hidup sihat total

Anda juga perlu ingat bahawa kesemua tersebut di atas tidak lari dari dua unsur yang saya sebutkan dari awal iaitu unsur jasmani dan juga rohani.

Sebagai contohnya bersolat adalah amalan fizikal, jika solat dilakukan untuk menunjuk-nunjuk, anda telah gagal dari segi gaya hidup sihat secara rohani.

Melainkan anda bertekad solat itu hanya untuk Allah semata-mata, bukan kerana mahu syurga atau apa-apa saja, maka anda sihat secara total.

Memberikan zakat, derma atau bersedekah juga merupakan gaya hidup sihat yang mampu menyihatkan masyarakat, menyuburkan harta dan banyak lagi kebaikan.

Tapi apabila anda bersedekah kerana mahu menghindari penyakit kanser atau kemalangan, maka sia-sialah amalan itu kerana ianya bukan dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Jika dengan bersedekah itu, memang berjaya jadikan anda jauh dari penyakit dan kemalangan, bersyukurlah, anggaplah itu sebagai bonus. Tapi ia bukanlah satu kemestian yang anda pasti terhalang dari semua cabaran hidup apabila melakukan semua itu. Paling penting, jangan anggap orang lain yang kena penyakit dan kemalangan sebab dia tak sedekah!.

Banyak faktor yang menentukan segala kejadian yang berlaku pada diri anda dan pada kesihatan anda. Kebanyakannya adalah diluar dari keupayaan anda untuk mengawalnya. Hanya sedikit saja yang mampu anda kawal. Sebab itu perlu minta, berdoa kepada Tuhan. Hanya Dia yang boleh hindari atau selamatkan anda dari semua cubaan itu.

Oleh itu marilah amalkan gaya hidup sihat yang menyeluruh agar kehidupan selamat sejahtera dunia akhirat. Sihat fizikal dan sihat mental.

“Di antara tanda-tanda berpegang pada amal iaitu berkurangnya harapan ketika terjadi kesalahan” – Ibnu ‘Ataillah As-Sakandari

Post a Comment

Previous Post Next Post