Baru-baru ini ada seorang kawan ikuti satu kursus berkenaan penipuan cyber. Dia kongsikan pada saya 3 tema utama yang diguna pakai oleh penipu cyber.
3 tema itu adalah, Cinta, Spiritual dan Duit.
Semua itu merupakan 3 tawaran sejak dari zaman dulu telah berjaya memerangkap manusia yang lalai. Seperti kelkatu yang sentiasa menyerbu ke tempat ada cahaya, lalu mati terbakar. Macam itulah juga manusia sering terpedaya kepada tempat yang menjanjikan samada cinta, spiritual atau duit, berakhir dengan terkena.
Matlamat scammer
Apa sebenarnya matlamat scammer?
Anda sendiri tahu apa matlamat mereka. Dari semua kes yang yang viral di media sosial, mereka punya tumpuan, tak lain dan tak bukan untuk sapu duit anda. Secara umumnya begitulah.
Ada juga scammer yang mahu melepaskan nafsu serakah. Mangsanya adalah wanita terutamanya yang masih muda. Tema yang mereka pakai sama juga, iaitu cinta, spiritual dan duit.
Dari 2 matlamat tersebut, nampaknya scammer juga mengejar duit dan cinta. Timbul juga soalan samada wujud scammer yang bermatlamatkan spiritual.
Saya rasa memang ada scammer begitu. Mereka merupakan pengamal ajaran ilmu hitam. Fokus utamanya adalah untuk mendapatkan keupayaan spiritual tertentu. Jadi bomoh, ketua ajaran sesat dan seumpamanya. Akhirnya, ia pergi ke arah duit juga bila dia berupaya sapu duit dari para pengikutnya yang terpengaruh.
Rumusannya, scammer juga manusia biasa. Mahukan perkara sama seperti orang yang mereka perdayakan. Tapi mereka lebih bijak sedikit dari kebanyakan orang sebab sedar di mana kelemahan yang ada pada manusia kebanyakkan. Lalu menggunakannya untuk kepentingan mereka sendiri.
Jom kita lihat satu persatu tema yang scammer pakai untuk memperdaya anda di luar sana.
Cinta
Tema ini adalah hasil dari kejadian semula jadi manusia itu sendiri. Jika anda lihat kecenderungan semula jadi manusia, anda boleh nampak 2 perkara utama yang berlaku tanpa dapat dikawal. Pertamanya adalah kecenderungan untuk kelansungan hidup. Dalam bahasa Inggeris dinamakan survival.
Kenapa perlu hidup?
Sebab untuk melaksanakan kecenderungan ke-2 iaitu, membiak. Kecenderungan inilah yang ada kaitan dengan cinta atau lebih tepat lagi hubungan kelamin.
Untuk manusia normal, kecenderungan ini hanya dapat dipenuhi melalui pasangan yang berbeza. Antara jantina lelaki dan perempuan. Pembiakan manusia hanya dapat berlaku dari perhubungan kelamin antara 2 individu yang ada jantina berbeza sahaja.
Justeru itu, untuk selamatkan diri anda dari terpedaya akan kecenderungan ini, pastikan anda berkahwin sebaik saja bersedia. Perlu akur kenapa anda berkahwin ini, adalah demi untuk melepaskan keperluan semula jadi manusia yang mahukan zuriat.
Bila dah dapat zuriat, berikan tumpuan pada tanggung jawab untuk membesarkan mereka. Anda juga perlu sedar bahawa mereka juga terikat kepada desakan sama, iaitu mahu hidup dan membesar untuk mencari pasangan masing-masing dan berkembang biak. Berikan segala pengetahuan pada zuriat keturunan anda untuk penuhi matlamat itu.
Apa berlaku jika anda lalai akan kewujudan kecenderungan semula jadi itu?
Anda pasti akan tertipu dek mainan cinta.
Itulah yang berlaku pada pasangan yang curang. Sekalipun dah ada pasangan yang sah, dia masih keluar mencari cinta dari pasangan luar. Dia terpedaya dengan desakan cinta yang wujud dalam dirinya untuk mendapat nikmat sahaja tanpa memikirkan tanggung jawab sebenar kenapa desakan cinta itu wujud.
Bagi saya, mereka yang paling celaka adalah yang sudah berkahwin, ada anak, masih tetap terpedaya dengan umpan cinta tidak halal. Mereka yang sedemikian adalah mangsa paling digemari oleh para scammer. Malah, tidak mengejutkan jika terperangkap dengan tipu daya scammer yang menggunakan umpan cinta ini sekalipun sudah ada pasangan dan dah ada anak, jika anda leka akan tanggung jawab utama tadi.
Saya teringatkan permintaan syaitan kepada Tuhan untuk mengizinkannya sesatkan anak adam sehingga ke saat akhir mereka. Tuhan izinkan kecuali untuk hambaNya yang beriman. Iaitu yang percaya pada kewujudan Tuhan, percaya pada akhirat dan berusaha menunaikan tanggung jawabnya sebagai hamba Tuhan.
Ertinya, jika anda engkar pada pedoman yang Tuhan berikan kepada manusia melalui para rasulnya, maka kepada syaitanlah anda akan tunduk terpedaya.
Satu lagi mangsa popular buruan scammer adalah mereka yang layan desakan cinta ini secara luar tabie seperti hubungan sama jenis. Golongan ini dari awal lagi sudah tewas dan keliru akan kecenderungan cinta yang ada pada mereka.
Hubungan luar tabie takkan ke mana sebab ia tidak mampu penuhi desakan kepada melahirkan zuriat dan keturunan. Ia adalah satu hubungan yang berlaku tanpa ada tanggung jawab jangka panjang. Sekadar merasakan nikmat cinta sahaja dan tidak wujud komitmen selepas itu apabila tiadanya zuriat. Tak perlu fikir panjang nanti ada komitmen untuk membesarkan mereka.
Sekali lagi anda boleh lihat betapa pentingnya memahami tanggung jawab. Pentingnya jadikan tanggung jawab sebagai dasar utama membuat keputusan dan buang konsep zaman moden sekarang yang jadikan bahagia sebagai dasar untuk membuat keputusan.
Individu yang belum berpasangan juga akan lebih mudah terperangkap dengan tipu daya scammer yang menggunakan umpan cinta. Oleh itu berhati-hati dan fahami bahawa anda punya kecenderungan yang masih belum dipenuhi. Jangan biarkan scammer perdaya anda atas kelemahan itu.
Ringkasnya, untuk atasi umpan scammer yang pakai cinta, anda hanya perlu cari pasangan, berkahwin, dapatkan anak dan fokus bela besarkan mereka. Insyallah selamat dari tipu daya cinta scammer.
Spiritual
Ada manusia yang tak dapat melihat kewujudan Tuhan, lalu dia tak percaya Tuhan itu ada. Dia hanya gunakan akal, hanya percaya kepada perkara yang dapat dilihat, didengar dan dirasa sahaja. Dia tak percaya adanya perkara ghaib.
Orang begitu biasanya terlepas dari tipu daya spiritual. Scammer spiritual tak akan mampu perdayakan golongan ini.
Ada segolongan lagi, malah yang paling besar, ialah mereka yang ada kepercayaan kepada perkara ghaib. Ada perangkap yang besar sedang menunggu golongan ini. Sebab utamanya adalah, perkara ghaib ini hanya dipegang atas dasar percaya.
Manusia bila dah percaya, tak ada buktipun dia akan percaya. Malah semua deria yang dia ada, rasional yang dia mampu, akan digunakan untuk melihat semua bukti yang kukuhkan lagi kepercayaannya. Bukti yang bertentangan, yang melemahkan kepercayaannya akan tertutup tidak dapat dilihatnya.
Apabila semua usaha untuk selamatkan diri, dapatkan ketenangan, dan seumpamanya gagal, anda yang percaya kepada perkara ghaib akan meletakkan harapan pada perkara spiritual. Dan itulah yang scammer janjikan.
Scammer yang gunakan agama pula menjanjikan keselamatan di kehidupan selepas mati. Itu jalan mudah untuk lepaskan diri dari ambil tanggung jawab ke atas urusan kepercayaan dan agamanya.
Ramai orang tak mahu susahkan diri menggunakan akal fikirannya sendiri untuk memahami kepercayaan yang dia ada. Ditambah pula dengan adanya amaran bahawa bab kepercayaan dipegang oleh golongan tertentu sahaja dan bukannya keupayaan orang biasa. Makin mudahlah kerja scammer untuk perangkap golongan ini.
Merujuk kembali kepada urusan survival di atas, yang ada pada diri anda, ia menjadikan anda sibuk. Ditambah pula bila dah ada keluarga, makin sibuklah jadinya. Mana ada masa untuk memikirkan bab ghaib. Dalam keadaan itu, ada pula tawaran untuk selamat di akhirat nanti hanya dengan ikut dan patuh panduan orang yang lebih pandai dan mendalami bab tersebut. Siapa tak nak kerja mudah selamatkan diri begitu?
Macam lampu isyarat jalan, ia memudahkan semua orang untuk tidak berfikir cara melintas jalan. Tunggu saja warnanya. Hijau jalan, merah berhenti. Itulah perumpamaan antara scammer spiritual dengan mereka yang mahu selamat sampai di alam sana.
Masa belajar agama dulu, dalam bab beriman, saya bertanya samada mereka yang beriman sekadar ikut-ikutan adalah sah iman mereka. Saya diberitahu ada 2 pendapat. Satu kata sah dan satu lagi kata tak sah. Yang kata tak sah itu menegaskan bahawa iman memerlukan kefahaman, bukan main ikut membuta tuli.
Sekarang baru saya sedar kenapa adanya pendapat sedemikian. Tak kisah popular mana pun tak guru tiu, hebat manapun, ramai manapun pengikutnya, anda perlu dengar dan faham sebelum buat keputusan nak ikut secara tegar. Sekalipun yang anda belajar itu dikatakan seorang Wali Allah, reserve dulu ketaatan dan kepercayaan anda sehingga betul-betul faham.
Saya cuba fikirkan bab tipudaya spiritual ini hanya secara umum. Supaya anda sedar bahawa ada perangkap besar yang lebih mudah untuk scammer gunakan sebab ianya adalah perkara ghaib. Otak mudah leka. Akhirnya anda akan berikan segala-galanya kepada scammer atas dasar percaya.
Contohnya ada orang yang tawarkan pergi umrah. Itu satu urusan yang baik atas dasar spiritual. Perkara awal yang anda fikir, takkan orang nak tipu kot bab agama nih!. Itu langkah awal untuk anda masuk dalam perangkap.
Scammer yang menggunakan bab spiritual ini biasanya akan ambil kesempatan atas 2 perkara. Pertamnya adalah duit dan keduanya adalah seks. Semua kes penipuan spiritual adalah berkisar dalam 2 matlamat tersebut.
Ringkasnya, untuk selamatkan diri anda dari penipuan spiritual, sila faham apa yang anda percaya. Jangan mudah percaya pada sesiapa saja melainkan pada diri anda sendiri. Buat kajian, dalami kefahaman kepercayaan spiritual anda berdasarkan akal yang waras. Sekalipun perkara ghaib tidak dapat dilihat, anda masih dapat lihat tanda-tanda kewujudan perkara ghaib itu. Paling tidakpun, lihatlah ke belakang, kaji sejarah kewujudannya supaya anda lebih faham mana yang betul mana yang salah.
Berikan tumpuan untuk melihat bukti yang bertentangan dengan apa yang anda percaya dan bukannya tenggelam terhadap bukti yang kuatkan kepercayaan anda. Jika sesuatu perkara itu benar, anda tak akan jumpa bukti yang bertentangan sekalipun anda benar-benar mencarinya.
Duit
Anda mungkin tak minat bab spiritual. Tidak cenderung juga dengan cinta, tapi anda tentu tertarik juga dengan duit. Melainkan anda tinggal di hutan belantara yang bergantung hidup kepada sumber semula jadi.
Duit adalah satu sistem yang membolehkan anda simpan apa saja di dalamnya. Dari cinta, spiritual, kebendaan, keperluan, keinginan, semuanya boleh disimpan dalam duit itu.
Bila ada duit, anda boleh keluarkan apa saja yang diperlukan darinya asalkan masyarakat yang anda hidup bersama turut akui nilai duit tersebut.
Scammer tahu perkara ini, dan dia sendiri percaya perkara tersebut. Kalau tidak, dia tak akan bersusah payah menipu untuk ambil duit anda.
Kita berbalik semula kepada urusan survival dan membiak di atas tadi. Duit dapat membantu anda untuk tunaikan kedua-dua urusan tersebut. Sebab itu anda terdorong untuk cari duit sebanyak mungkin agar tidak lagi perlu fikirkan masalah survival dan membesarkan zuriat keturunan.
Di situlah perangkapnya.
Apa kata jika anda berikan duit yang anda ada, atau apa saja perkara lain yang boleh ditukarkan menjadi duit kepada seseorang. Ganjarannya adalah, anda akan dapat lebih banyak lagi duit dari jumlah yang anda berikan.
Maka ramailah yang terjerumus masuk ke dalam gaung saham Pak Man Telo.
Tak perlu jadi tamak untuk percaya pada janji duit yang banyak. Macam saya katakan tadi, ia adalah logik semula jadi nak mudahkan urusan survival dan membesarkan anak-anak tadi. Apatah lagi jika anda terpengaruh dengan nafsu tamak, makin mudahlah untuk diperdaya.
Dalam bab duit, anda perlu fokus kepada 'cukup'. Bukannya kejar untuk dapat banyak, sebab banyak tak akan pernah banyak sampai mati.
Jika anda ada perniagaan yang berjalan lancar dan selama ini telah berjaya mencukupkan keperluan anda, berikan tumpuan kepadanya betul-betul. Itu dapat menyelamatkan anda dari kena tipu sebab memang itu apa yang anda dah pandai. Sukar untuk orang lain kenakan anda dalam bab melakukan apa yang anda cekap.
Atau jika anda dah ada kerjaya yang baik dimana kemahiran anda amat berharga dan orang sanggup bayar untuk mendapatkannya, pegang dan tumpu betul-betul kerja tersebut untuk menghasilkan duit yang mencukupi buat urusan hidup anda. Insyallah anda akan selamat.
Jangan tamak dan jangan keluar dari apa yang anda cekap. Insyaallah anda akan selamat.
Bila berbelanja, buat keputusan atas dasar keperluan. Bukan atas dasar keinginan. Perlu tanya diri sendiri, adakah perbelanjaan anda membantu untuk meningkatkan lagi keupayaan apa yang anda sedang lakukan atau tidak.
Kalau jawapannya tak, abaikan saja sehinggalah ia diperlukan.
Rasanya tak perlu hurai panjang bab duit ni kerana ia ada banyak dikongsikan oleh para pakar diluar sana. Cuma satu perkara yang saya mahu tekankan di sini. Iaitu bab duit ini adalah bab emosi. Jika anda mampu kawal emosi, maka insyaallah anda akan turut sama mampu kawal duit. Itu saja.
Moga bermanfaat.
sangat mendalam kupasan tuan terutama berkaitan cinta dan kelamin...kebenaran memang ada di situ
ReplyDeleteTerima kasih tuan sudi membacanya dan berikan komen :)
Delete