Bagaimana nak buang ketagihan lihat skrin yang dah melekat jadi amalan hidup anda


Setiap pagi, saya berjogging di sekeliling taman tempat tinggal. Taman perumahan itu ada 2 padang permainan. Biasanya saya hanya kelilingi padang yang paling dekat di sebelah rumah saja.

Tapi, bila dah bertahun-tahun ikut laluan yang sama, tergerak untuk ubah laluan. Maka setiap pagi sekarang, saya jogging ikut laluan baru dengan menambah padang permainan yang agak jauh itu masuk ke dalam laluan.

Di padang itu, setiap kali lalu, saya lihat ada seorang lelaki gempal berbangsa Cina sedang duduk kaku atas kerusi batu sambil kedua tangannya tercegat naik ke atas paras dada sambil memegang telefonnya.

Dia kaku begitu melihat skrin telefon, tanpa sedikitpun menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling. Ada seekor anjing ketot berwarna hitam tak jauh dari lelaki cina itu yang merayau sendirian ke sana sini.

Anjing itu dibawa berjalan oleh cina tersebut setiap pagi untuk ambil udara segar. Memang binatang tu ambil faedahnya betul-betul merayau dan melepaskan najis sepuasnya. Hanya tuannya saja yang tidak menikmati pagi segar dan indah itu sebab terperangkap dengan ketagihan skrin. 

Masalah ketagihan skrin

Itu fenomena moden yang berlaku di seluruh dunia termasuk di negara kita Malaysia. Masalah manusia ketagih tidak dapat berpisah dengan telefon pintar, tercegat depan skrin berjam-jam lamanya setiap hari. 

Ada yang ketagih melayari internet dan membaca seberapa banyak bahan yang dia minat. Ada juga yang leka melayan media sosial seperti FB, Twitter dan lain-lain seumpamanya. Ada yang rajin menulis segala macam perkara yang terlintas di kepala untuk komen atau postingnya di medsos.

Ada ramai juga yang hanya terkebil-kebil tak tulis apa-apa menolak naik ke atas dan keatas membaca setiap posting kemudian refresh dan baca lagi.

Paling meloyakan adalah mereka yang bukan ahli politik, tapi sanggup berjuang untuk parti yang disokong dengan berdebat di FB. Habis semua musuh parti disanggah sampai terlentang satu persatu dan dia rasa bangga atas usahanya meningkatkan sokongan untuk parti yang dicintainya.

Yang ramai orang suka ialah mereka yang sering tampal ayat-ayat power hingga orang yang membacanya meleleh air mata terkedu dan terkesima. Ada yang guna tema universal, ada tema falsafah dan ada juga tema agama.

Bagi mereka yang rasa dirinya seorang pendakwah pula, akan mempromosikan mazhab anutan masing-masing tak henti-henti. Dimasukkan petikan kata-kata dari para Imam dan cerdik pandai mereka yang hebat-hebat belaka.

Ada juga yang tak berapa siuman. Contohnya mereka yang merakamkan gambar pasangan rumah yang sedang mengurut atau sedang berkemban dan seumpamanya lalu buat posting untuk dicanangkan pada orang lain aktiviti peribadi mereka. Banyak juga posting tak senonoh sedemikian semata-mata untuk menarik perhatian jadi medsos influencer kononnya.

Aktiviti syok sendiri

Saya juga tak terkecuali dari dijangkiti masalah tercegat depan skrin sejak mula ber-blog di blog pertama saya dulu, "Warta Shubhi" sejak tahun 2008. Tapi masa tu cuma ketagihan menulis di komputer, masih tak pakai telefon pintar ketika itu.

Walaupun hanya pakai komputer, namun masih tetap ada ketagihan apabila pengunjung ke blog tersebut meningkat dari sehari ke sehari bila saya mula menulis berkenaan politik. Lagi banyak saya buat posting, semakin meningkat jumlah kunjungan pembaca. 

Ketagihan tertumpu kepada aktiviti pantau trafik yang masuk setiap masa. Buka tutup, buka tutup semata-mata untuk tengok berapa ramai sudah kunjungan pembaca. Bila difikirkan semula, masa tercegat leka itu sepatutnya saya luangkan untuk baca buku atau pergi jumpa orang, tentu lebih bagus begitu.

Aktiviti itu makin lama makin parah. Saya memaksa diri untuk menjadi serba tahu agar boleh menulis komen dan liputan politik yang menarik. Akhirnya saya sedar saya hanya syok sendiri. Tercegat berjam-jam sambil terkebil-kebil mata melihat jumlah trafik.

Dan, paling malang, pendapatan yang diperolehi melalui aktiviti tersebut tidak bermakna berbanding masa yang diperuntukan untuk semua aktiviti tersebut. Walaupun saya dah sedar dengan kebodohan itu, tapi agak sukar untuk ubah sebab sudah melekat jadi tabiat buruk.

Dengan kesungguhan untuk atasi masalah itu, saya cuba ringkaskan kehidupan dengan melihat semula semua aktiviti untuk diringkaskan, lalu muncullah blog Hidup Ringkas pula. Tak lama kemudian, saya berjaya tamatkan warta shubhi dan beri tumpuan kepada hidup ringkas dan perniagaan saja.

Buang tabiat buruk

Langkah pertama untuk buang tabiat buruk tercegat depan skrin yang saya buat ketika itu adalah dengan menetapkan masa yang boleh diluangkan duduk depan skrin. Saya limitkan jumlah masa untuk duduk terkebil-kebil depan blog warta shubhi. 

Langkah kedua pula adalah menghentikan semua proses yang boleh mendorong saya untuk menulis bab politik. Untuk itu, saya berhenti beli dan baca surat khabar. Juga berhenti dari membaca portal berita utama melalui internet dan tinggalkan penyertaan dalam kesemua acara atau temasya politik. Nekad untuk tidak ambil tahu. Akhirnya saya bebas dari cengkaman Warta Shubhi.

Secara umumnya, anda boleh buang apa saja tabiat buruk dengan melakukan 4 proses utama berikut.

1. Pudarkan penglihatan

Apa saja perkara, samada fizikal atau mental, hendaklah dipudarkan dari penglihatan atau perbuatan. Jadikan ia tidak menonjol, malap, hambar dan segalanya yang berkaitan supaya ia tidak dapat menarik perhatian anda, malah rasa meluat untuk melihatnya.

Contohnya untuk pudarkan blog warta shubhi itu, saya hanya perlu ubah design blog tersebut biar malap dan tidak bermaya. Lagu buruk lagi bagus. Saya sorokkan blog itu dari penglihatan. jangan bagi ada di dashboard.

Saya juga sorokkan semua portal berkaitan politik dari penglihatan. Dengan menghentikan pembacaan dan tak ambil tahu langsung pasal politik, segala perkara berkenaan tajuk itu menjadi makin pudar dari minda saya.

2. Jadikan ia tidak menarik

Segala aktiviti, suasana atau penampilan terhadap perkara yang anda nak buang itu jadikan ia agar tidak menarik. Bagi buruk dan hodoh rupanya. 

Contohnya jika anda nak buang tabiat merokok, apa saja perkara berkaitan merokok itu jadikan ia tidak menarik. Rosakkan kotak rokok, hodohkan rupanya, 

3. Susahkan

Jangan sesekali permudahkan segala aktiviti amalan yang anda nak buang itu. Lagi susah lagi bagus. Kalau nak buang tabiat merokok umpamanya, masukkan rokok dalam tin milo kosong. Masukkan tin milo itu ke dalam kotak barang, letak di bawah sekali. Letakkan kotak itu di dalam stor di belakang sekali.

Begitulah susahnya setiap kali anda nak ambil sebatang untuk hisap.

4. Denda hukuman

Setiap kali anda terlajak melakukan aktiviti tersebut, denda perlu diadakan. Contohnya bila selesai merokok, anda perlu keluar rumah berjalan keliling padang 3 round.

Denda ini biarlah sesuatu yang anda tak suka buat selama ini tapi hakikatnya ia amalan yang baik. Ini boleh dijadikan proses membiasakan diri terhadap amalan yang selama ini anda tak suka.

2 Comments

  1. saya masih ketagih skrin untik lihat Whatsapp kerja dan Youtube

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagus kalau ketagih melakukan kerja. Nikmat yang sangat besar tu !

      Delete
Previous Post Next Post