7 Tips praktikal dalam berhadapan dengan masalah kehidupan dan kerja anda


Semua orang yang waras punyai masalah. Hanya orang gila sahaja yang tidak merasa masalah kerana masalah ada hubungkait dengan kewarasan akal.

Bila akal tak berfungsi samada semua benda jadi masalah atau tiada satu benda pun yang akan jadi masalah.

Bagi anda yang waras, masalah diperlukan sebagai salah satu alat membina kekuatan dan membetulkan keadaan.

Sebelum saya bawa anda pergi lebih jauh, cuba lihat apa yang ditakrifkan sebagai masalah. Merujuk kepada kamus, perkataan ‘masalah' sinonim dengan beberapa perkataan lain seperti berikut.

  • Kesulitan
  • Kerumitan
  • Kesukaran
  • Kemusykilan
  • Persoalan
  • Isu
  • Hal

Semua perkataan di atas menggambarkan makna masalah. Masalah merupakan satu isyarat tubuh badan yang disalurkan ke akal untuk memberitahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Bila anda terseliuh, badan berikan isyarat kesakitan di mana ia mengharapkan agar anda waspada dan cuba buat sesuatu. Begitu juga dalam lain-lain masalah fizikal, masalah adalah terjemahan otak agar anda bertindak.

Cuba bayangkan jika fungsi seperti itu tidak ada dalam diri anda. Sudah tentu tidak ada usaha awal untuk memperbetulkan keadaan. Lalu seluruh anggota fizikal anda akan rosak dengan cepat tanpa ada usaha pembetulan.

Selain daripada masalah fizikal, otak juga memainkan peranan untuk menyampaikan masalah mental atau apa yang dinamakan sebagai masalah jiwa.

Bila marah, itu adalah isyarat sesuatu telah berlaku terhadap jiwa anda. Akal kerjanya tidak lain adalah untuk memastikan diri anda sentiasa berada dalam keadaan yang selamat sejahtera. Pengalaman dan pengetahuan yang meletakkan makna selamat atau sejahtera bergantung bagaimana anda dibesar dan didik dengan segala takrifan hidup.

Jika anda dibesarkan dengan fahaman bahawa mengetuk kepala itu boleh membuatkan diri seseorang menjadi bodoh. Jika anda juga diajar bahawa bodoh itu tidak selamat. Maka sebaik saja kepala diketuk walaupun langsung tidak sakit, anda akan naik marah.

Ini kerana jiwa anda meronta dan mahu menyelamatkan tuannya daripada berada di dalam keadaan bahaya. Kalau marah tak timbul, anda akan membiarkan orang terus mengetuk kepala tu. Dengan adanya emosi marah disusuli dengan tindakan, anda menyelamatkan diri daripada terus diketuk.

Masalah fizikal juga begitu. Jika anda membesar dalam suasana perang dan terdedah setiap hari dengan orang yang luka parah dan meninggal dunia. Luka dan kecederaan tidak akan diterjemahkan sebagai bahaya teruk. Tidak sebahaya yang dianggap oleh orang biasa yang hidup di negara kita, Malaysia yang amat jarang mengalami kesukaran pergaduhan yang brutal.

Terbelah lengan dengan parang yang dirasai oleh seorang kaki gaduh samseng jalanan tidakkan sama dengan apa yang orang biasa seperti saya dan anda rasai.

Orang dulu tak gentar berperang

Itu adalah rumusan yang saya buat bila memikirkan bagaimana para pahlawan dan pejuang dahulu langsung tak gentar dengan tusukan tombak atau anak panah serta libasan pedang setiap kali pergi berperang.

Luka parah adalah satu perkara biasa bagi mereka. Bukannya tak sakit, tapi takrifan otak yang diterjemahkan pada mereka tidak sama dengan takrifan otak manusia yang duduk dalam keadaan aman sekarang.

Dari situ, saya rumuskan, semua masalah hanya berkisar di dalam otak anda sahaja. Ia hanya mainan minda. Maka untuk mengawalnya, anda hanya perlu mengawal minda. Semua itu boleh dilatih jika ada kemahuan.

Kajian membuktikan selain daripada latihan secara fizikal atau nyata, anda juga dapat berlatih melalui minda dengan membayangkannya. Tak perlu menyuruh orang hiris tangan untuk berlatih tahan sakit, cukup sekadar bayangkan tangan anda dihiris yang mana sudah tentu anda pernah mengalaminya. Dan bayangkan juga reaksi anda menahan serta mengawal kesakitan dengan tenang.

Begitulah juga dengan lain-lain masalah fizikal atau mental. Anda boleh mengawal dengan latihan dan menukar definisi selamat yang telah tertanam dalam minda selama ini.

Apa yang saya cuba kongsikan di sini lebih berkisar kepada masalah atau kerumitan jiwa dan bukannya masalah fizikal.

Pendekatan menghadapi masalah fizikal dengan masalah jiwa sebenarnya agak sama sahaja kerana semuanya bermula dengan definisi terhadap apa yang dikatakan selamat dan apa yang dikatakan tidak selamat. Juga terhadap makna baik dan buruk atau besar dan kecil.,dan sebagainya.

Masalah kehidupan harian

Sepanjang hidup, masalah yang paling kerap berlaku pada diri anda adalah masalah jiwa seperti rasa marah, takut, bosan, tak tahan, risau, kecewa, tertekan, terkilan, kecil hati, patah hati, malu, gementar, terhina, dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.

Masalah jiwa sebegitu jauh lebih kerap berlaku berbanding masalah fizikal seperti kecederaan, terseliuh, mengantuk, letih, mual, meloya, luka dan lain-lain. 

Kadangkala masalah jiwa tersebut menyumbang kepada berlakunya masalah fizikal apabila jiwa tidak tenang. Anda mungkin jatuh tangga bila turun tergesa-gesa dalam ketakutan atau anda juga boleh menemui kemalangan ketika memandu dalam keadaan marah.

Saya bagi beberapa contoh di bawah.

Masalah di rumah

Bila keluar rumah untuk pergi kerja misalnya. Kereta tak ada di depan rumah, anda terus naik takut berdebar tak tentu hala. Anda lalu masuk ke rumah memberitahu isteri atau kawan tentang kehilangan kereta. Dapat pula jawapan, ‘padan muka!’. Membuatkan timbul satu lagi masalah jiwa bila anda naik marah.

Itu reaksi biasa yang setiap orang pernah alami. Kalaupun semua itu tidak berlaku, kadangkala anda teringatkan kisah lama di mana satu ketika dulu seorang kawan telah berpaling tadah. Terus timbul masalah jiwa dan mood berubah jadi tak menentu.

Masalah kerja

Jika anda seorang usahawan, jualan nampak merosot sedikit tidak seperti biasa, membuatkan peluh sejuk keluar di dahi, dan ini mencetuskan perasaan tidak tenteram.

Ditambah pulak dengan duit yang sedikit dalam akaun dan pembekal mula menjerit-jerit melalui panggilan telefon minta bayarannya.

Anda mungkin boleh jatuh demam jika tidak kuat menghadapi semua masalah seperti itu.

Berhadapan dengan masalah

Dari semua gambaran di atas, rasanya sudah cukup untuk anda faham apa yang saya maksudkan dengan masalah yang saban waktu anda hadapi.

Jadi, bagaimana anda boleh harungi kesemua masalah harian tersebut dengan tenang dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna, dengan memberikan tumpuan kepada usaha memajukan diri serta apa yang anda lakukan?

Perlu diingat bahawa hanya jiwa yang tenang sahaja yang mampu memberikan tumpuan dan melaksanakan tugasan dengan cekap. Kalau anda layan semua kerisauan jiwa, sudah tentu tidak ada ketenangan yang akhirnya membawa kepada terbantutnya usaha pembaikan dan memajukan diri anda.

Oleh itu anda perlu pastikan jiwa sentiasa tenang walaupun ketika berhadapan dengan masalah. Ketenangan dapat membantu anda selesaikan semua masalah tanpa perlu melarikan diri daripadanya.

Berikut beberapa langkah yang boleh anda amalkan ketika menghadapi kesulitan.

1. Membuat pilihan

Apa saja masalah yang anda hadapi, ia sama saja dengan proses membuat pilihan. Anda sentiasa berhadapan dengannya.

Nak makan apa hari ini?

Itu satu contoh masalah yang anda sering hadapi. Cari pilihan yang ada dan buat keputusan. Masalah itu segera selesai.

Kerja tak habis, esok dah kena hantar. Apa nak buat?

Ini isu berat sikit. Perlu diselesaikan juga. Perlu fikir apa pilihan yang ada dan buat keputusan nak pilih mana satu. Mungkin selesai, mungkin akan timbul masalah baru.

Semuanya adalah berkenaan dengan aktiviti membuat pilihan.

2. Fikir untuk keluar

Bila anda terjatuh masuk dalam satu lubang yang dalam, perkara paling asas yang anda perlu elakkan adalah, korek lubang jadi semakin dalam. Dengar macam lawak. Tapi itulah yang kebanyakkan orang akan buat.

Bila berhadapan dengan masalah, dia mengelupur jadikan masalah itu makin besar. Itu sama dengan korek luang jadi makin dalam seperti yang saya sebutkan di atas tu.

Tenangkan fikiran dan fokus kepada mencari jalan penyelesaian. Atau dalam perumpamaan di atas. Mula cara cara terbaik untuk panjat keluar dari lubang tu.

3. Cari akar masalah

Jika nak bunuh pokok, cantas saja semua akarnya. Habis matilah pokok tu.

Sama juga dengan masalah. Jangan terus rumuskan solusi. Cari punca asalnya dengan bertanya sekurang-kurangnya 5 kali masuk ke dalam.

Contoh. Katakan anda berhadapan dengan masalah jualan syarikat yang rendah tidak mencapai sasaran yang sepatutnya. Anda boleh mula bertanya soalan demi soalan seperti di bawah. 

Soalan 1: Kenapa jualan syarikat tidak capai sasaran?

Sebab jumlah prospek yang menghubungi syarikat sangat rendah.

Soalan 2: Kenapa jumlah prospek yang menghubungi syarikat rendah?

Sebab, aktiviti pemasaran lemah.

Soalan 3: Kenapa aktiviti pemasaran lemah?

Sebab tiada sesiapa yang berikan tumpuan sepenuh masa terhadapnya.

Soalan 4: Kenapa tak ada orang berikan tumpuan sepenuh masa? 

Sebab syarikat tak ada bajet untuk ambil seorang lagi staff tetap.

Soalan 5: Kenapa perlu ada staff tetap?

Begitulah seterusnya. Soalan demi soalan di tanya dan jawapan di cari sehingga akarnya betul-betul ditemui dan diselesaikan.

4. Ringkas dan permudahkan

Dari pengalaman saya berhadapan dengan masalah perniagaan dan mesyuarat di panggil untuk bincangkannya dengan staff. Kecenderungan untuk mengupas sesuatu permasalah ke tahap yang terlalu terperinci kerapa berlaku.

Elakkan dari kupas terlalu mendalam. Fikirkan baik-baik bagaimana mahu diringkaskan kemudian baru bentangkan. Lihat kepada perkara umum dan asas, kemudian tangani masalah itu terlebih dahulu. Jika selepas dah buat begitu masih timbul masalah, baru fikir ke dalam sikit.

Biasanya, solusi umum dan asas begitu dah berjaya selesaikan masalah yang dihadapi. Contoh mudah adalah jika komputer anda jem tiba-tiba. Tutup dan buka semula adalah jalan penyelesaian asas yang terbukti berkesan dalam 9 dari 10 kejadian.

5. Senarai sebanyak mungkin solusi

Untuk mencari jalan selesai yang kreatif, mulakan dengan buat sebanyak mungkin jalan penyelesaian yang mungkin. Biarlah nampak bodoh sekalipun, berikan pertimbangan.

Ada masanya, idea gila adalah pencetus kepada solusi yang amat geliga.

6. Ubah kerangka pemikiran

Dalam contoh jualan syarikat tidak memenuhi sasaran di atas tadi. Biasanya anda akan lihat masalahnya adalah bagaimana nak tingkatkan jualan.

Tapi jika anda ubah kerangka pemikiran, anda boleh lihat pada kos untuk direndahkan dan bukannya lihat pada jualan yang mahu dinaikkan.

Jika kos dapat dikurangkan dengan mudah, anda hanya perlu putuskan untuk ambil pendekatan itu daripada cari jalan bagaimana nak tingkatkan jualan. Selesai masalah.

7. Buang ayat membunuh

Dalam perbincangan, elakkan sama sekali dari menggunakan ayat membunuh potensi seperti, 'aku tak rasa itu boleh ..' atau 'tak betul tu ... '

Sebaliknya pakai ayat yang membuka peluang seperti, 'apa kata kalau ..' atau 'bayangkan jika ..'

13 teknik selesai masalah

Apa yang saya kongsikan di atas adalah langkah-langkah praktikal umum apa yang anda perlu buat dalam berhadapan dengan masalah.

Dalam dunia akademik, bijak pandai dah banyak buat kajian dan membuat rumusan umum cara-cara yang biasanya di ambil oleh organisasi dalam menyelesaikan masalah.

Anda boleh klik pada link di sini untuk muat turun 13 langkah yang digunakan pakai dalam menyelesaikan masalah. Cuba baca dan fahami untuk lebih faham cara yang terbukti berkesan dalam menjalani kehidupan profesional anda. 

Post a Comment

Previous Post Next Post