Perkara yang anda perlu lakukan sebaik saja berpindah ke tempat baru untuk faedah maksimum


Artikel ini saya khaskan untuk lelaki. Terutamanya buat anda yang berpegang bahawa lelaki perlu berfungsi sebagai ketua dalam sebuah keluarga.

Saya sendiri secara peribadi, masih berpegang kepada konsep patriarki. Iaitu meletakkan kuasa utama dalam sebuah keluarga dipegang oleh pihak lelaki. 

Lelaki yang tentukan hala tuju keluarga berdasarkan visi yang mahu dicapainya. Dia juga yang keluar rumah setiap pagi, balik malam, usahakan dan sediakan segala keperluan untuk keluarganya supaya sentiasa mencukupi untuk kelangsungan hidup semua ahlinya.

Sebagai ketua keluarga, tak boleh tidak, lelaki perlu berusaha menjadi seorang insan yang hebat. Berikut saya berikan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh anda yang mahu jadi seorang lelaki yang hebat.

Kriteria lelaki hebat

Apa yang saya maksudkan dengan lelaki hebat adalah seperti berikut:

1. Hidup bermasyarakat

Janggal jadinya jika anda seorang lelaki tapi tidak menjalani hidup bermasyarakat. Dengan bermasyarakat, barulah anda boleh menyumbangkan tenaga, harta dan idea yang ada.

Bermasyarakat juga diperlukan untuk membina rangkaian kawan. Seorang lelaki perlu punyai kawan bukan sahaja di luar kawasan kariah tempat tinggal malah lebih penting lagi punyai kawan di kawasan tempat tinggalnya.

Mereka yang dikelilingi kawan-kawan akrab jarang hidup merempat. Mereka juga jarang mengalami masalah kemurungan, kerana sentiasa mendapat suntikan semangat dari kawan-kawan yang ada.

2. Punya kawan baik dan berguna.

Kawan cukup penting bagi seorang lelaki. Kawan boleh mencorakkan kehidupan seorang lelaki. Anda boleh kenal atau tahu kedudukan seseorang, hanya dengan melihat bagaimana kedudukan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya.

Memilih kawan-kawan yang yang baik dan berguna untuk dirinya adalah ciri-ciri seorang lelaki yang hebat. Biarlah orang berkata dia jenis pilih kawan. Itu memang diperlukan agar dirinya terpelihara dari perkara yang negatif. 

Berkawan dengan mereka yang tidak mendatangkan faedah, juga mereka yang berfikiran negatif wajib ditinggalkan tanpa ada rasa ragu-ragu.

3. Hidup sederhana.

Hidup sederhana bermaksud hidup ringkas dengan menyimpan, memikirkan dan membuat semua perkara yang penting dan mendatangkan manfaat sahaja. 

Untuk mencapai matlamat hidup, anda perlu tinggalkan semua perkara yang tidak mendatangkan berfaedah dalam usaha mencapai matlamat yang disasarkan dalam hidup.

Penting untuk hidup ringkas secara sedar kerana ia memberikan isyarat anda seorang lelaki yang tahu apa yang dilakukan, tahu apa yang anda mahu. Paling penting anda punyai akal fikiran dan cara hidup yang tersendiri tanpa dipengaruhi oleh propaganda, media, iklan atau apa saja budaya ikut-ikutan.

4. Punyai sumber pendapatan.

Pendapatan tidak semestinya banyak. Asalkan apa yang anda dapat mencukupi bagi menyara kehidupan sendiri dan keluarga serta ada sedikit lebihan untuk simpanan. Itu maknanya anda sudah masuk dalam kategori seorang yang kaya. Paling tidak, anda dah pasti bukan seorang yang miskin dan memang tak layak menerima zakat.

Cara berkesan jadi hebat

Apa yang saya senaraikan di atas tadi adalah ciri-ciri minimum untuk menjadi seorang lelaki yang hebat. Jika sebahagian daripada 4 perkara di atas masih tidak anda miliki sekarang, jangan risau.

Ada cara yang berkesan untuk merubah kesemua itu dan menukarkan diri anda menjadi lelaki hebat dengan kadar yang cepat, dan lancar. Caranya mudah saja. Anda hanya perlu berpindah ke rumah baru di tempat yang baru.

Jika anda seorang penyewa, mulakan pencarian kawasan dan rumah baru untuk berpindah.

Jika sekarang tinggal dirumah sendiri, tak payah berpindah, anda hanya perlu ubah suai rumah atau cat semula rumah itu dengan warna yang baru atau kekalkan warna tapi guna cat baru.

Nota: Proses mengecat rumah jadi baru juga membantu untuk anda lakukan proses di bawah.

Persediaan berpindah

Berpindah bukanlah perkara yang menyeronokkan. Banyak kerja dan persiapan yang perlu dilakukan. Anda perlu lakukan persediaan terlebih dahulu sebelum berpindah. Sasaran awal adalah untuk kurangkan barang yang anda ada.

Semakin sedikit barang yang anda ada semakin mudah urusan, dan lebih menjimatkan kos pengangkutan.

Jika barang kepunyaan anda sekarang memang dah sedikit, terdiri daripada perkara asas sahaja, syabas! anda seorang yang hidup ringkas dan tidak mengamalkan pembaziran. Itu tandanya anda akan hidup senang satu hari nanti. Insyaallah!

Kurangkan barang rumah

Jika barang yang ada terlalu banyak bersepah-sepah, maka ini peluang memulakan hidup ringkas dengan menyimpan segala yang penting dan perlu sahaja.

Hadiahkan kesemua barang yang tak pernah anda guna atau hanya digunakan sekali seumur hidup pada mereka yang memerlukan.

Sudah pasti banyak barang yang boleh anda hadiahkan pada orang lain. Ia merupakan satu langkah permulaan membina perhubungan baik dengan orang yang baik yang anda berkenan. Tak ada perkara yang paling dihargai lebih daripada menerima pemberian sesuatu yang berguna daripada seseorang.

Faedah hapuskan barang tak guna

Dengan menghadiahkan banyak barang yang anda tak guna atau jarang gunakan, anda berjaya menghapuskan segala barang yang tak diperlukan dengan kadar segera dan mendatangkan faedah yang besar.

Ia mampu berikan peringatan setiap kali anda mahu beli barang, ingat semula segala barang yang telah anda hadiahkan pada orang lain, jangan dibeli dan disia-siakan lagi.

Menghilangkan segala barang lama yang anda simpan juga membebaskan otak dari kenangan lama. Dapat juga bebaskan diri dari rasa bersalah yang membelenggu pemikiran tanpa anda sedari selama ini.

Beli barang kemudian tidak digunakan, mampu membina rasa bersalah dalam diri anda. Ia memberi kesan negatif dalam hidup tanpa disedari.

Apabila anda bebaskan rasa bersalah itu, minda yang telah kosong itu bersedia untuk diisikan dengan perkara baru yang positif.

Jual barang tak perlu

Jika ada barangan berharga. Cuba fikirkan untuk menjualnya. Ini menambahkan wang dan anda boleh simpan dalam tabung. 

Jual dengan harga berpatutan sebanyak mungkin barang yang tak perlu atau jarang digunakan. Insyaallah, anda menambah pendapatan secara tiba-tiba yang selama ini tidak pernah fikirkan.

Bersedia berpindah

Bila semua di atas selesai dijalankan, anda sudah bersedia untuk berpindah ke rumah baru.

Buat sistem aturan rumah baru anda itu dengan mengikuti konsep minimalism. Iaitu, kurangkan barang dan luaskan ruang yang ada biar lapang seluas mungkin. Isikan dengan barang yang digunakan  sahaja dan jangan semakkan rumah dengan benda tak berguna dan menyakitkan mata lagi.

Cuba perhatikan. Tak ada bilik orang besar atau yang berjawatan tinggi, yang tidak luas dan lapang. Jadi, rumah yang luas dan lapang dan diisi dengan perabut dan barang yang penting sahaja menyuntik keyakinan untuk menjadi orang besar dalam kepala anda.

Setelah selesai berpindah, dah mengemas dan bersedia untuk nikmati pengalaman tinggal dirumah baru itu, anda perlu lakukan beberapa perkara penting sebagai melengkapkan proses pindah rumah tersebut.

Ubah perhubungan sosial

Selain daripada mengubah suasana fizikal di sekeliling, anda juga perlu mengubah dengan siapa anda mula jalinkan perhubungan sosial.

Bertemu menjalinkan perhubungan dengan kenalan baru mampu memberikan anda pengalaman dan cara berfikir yang berbeza. Anda akan mendapat pengalaman baru dari segi sudut pandang dan pemikiran kenalan baru tersebut.

Oleh itu, sebaik sahaja selesai mengemas dan bersedia tinggal di rumah baru pastikan anda lakukan perkara-perkara berikut di bawah. 

Segera perkenalkan diri pada jiran

Mula buat pencarian rangkaian kawan yang betul. Ada jiran yang boleh diakrabkan dan ada yang tidak serasi dengan anda. Hanya dengan mengenali mereka sahaja, anda dapat mengenal pasti mana ok mana tak ok.

Segera ke Masjid atau surau paling dekat

Hampir semua orang baik-baik berkumpul di situ. Tak payah menyusahkan diri untuk mengenali golongan berpotensi menjadi kawan yang baik dengan mencari di tempat lain. Pergi saja ke surau atau masjid.

Jadikan amalan solat berjemaah di surau atau masjid secara istiqamah

Surau atau masjid yang berdekatan merupakan jalan mudah mengenali masyarakat baik di penempatan baru. Tak ada cara mudah membina kawan melainkan dengan sering berjumpa dan membina perhubungan. Jangan hanya ke surau sekali seumur hidup atau hanya pada bulan puasa. Ia tidak mencukupi membina rangkaian kawan.

Aktif membantu mengimarahkan masjid

Jangan biarkan hanya AJK masjid atau surau saja buat kerja. Tak ada gaji dalam kerja sebegitu dan mereka lakukan secara sukarela. Tak perlu malu kerana mereka tentu berbesar hati bila ada yang sudi dan rajin membantu. Ini merapatkan diri anda pada golongan ringan tulang yang suka bantu orang dan buat kerja amal kemasyarakatan.

Jangan kedekut

Beri sumbangan samada idea, harta atau tenaga pada aktiviti masjid atau surau. Juga pada aktiviti kemasyarakatan lainnya. Ia satu pelaburan terbaik untuk kehidupan dunia dan juga akhirat.

Kenal pasti individu yang paling popular

Dengan menyertai aktiviti masjid atau surau anda dapat perhatikan mana satu individu yang semua orang kenal. Pastikan anda merapatkan diri dengannya. Ia menjadi jambatan perhubungan antara anda dengan keseluruhan masyarakat di tempat baru itu. Jangan lokek berbelanja dengan kerap pada individu tersebut. Sumbangannya pada anda nanti tidak ternilai.

Mulakan pencarian kawan yang serasi

Dalam masa tidak lama, anda akan mula mengenali mana yang serasi dan mana yang tidak. Luangkan masa menjalinkan hubungan lebih akrab dengan mereka yang serasi. Anda sedang membina jalinan kawan karib yang boleh diharapkan di masa kecemasan.

Jika kesemua tersebut di atas anda lakukan sebaik sahaja berpindah ke rumah baru, insyallah anda akan menjadi warga masyarakat yang hebat dan bertenaga.

Yang paling penting dengan berbuat begitu, anda tidak akan hidup kebuluran dan kemurungan. Malah anda juga akan mudah mencari kerja baru, atau menambahkan pendapatan.

Menjalinkan perhubungan dengan masyarakt di mana anda tinggal membantu anda untuk berfungsi di sebagai manusia yang mengimarahkan muka bumi.

Jangan buat kerja sendiri dengan jadi kera sumbang dan meninggalkan terus masyarakat tempat anda berlindung.

Jika anda masih kekal di rumah lama, dan masih tidak menjalinkan perhubungan dengan masyarakat sekeliling, elok segerakan aktiviti yang saya nyatakan di atas tadi. Tak perlu tunggu berpindah baru nak buat kesemua itu.

Dengan memulakan langkah bermasyarakat yang saya sebutkan diatas, anda akan mula menjadi warga aktif baru di kawasan penempatan anda sekarang.

Walaupun sudah lama tinggal di situ, tak usah malu untuk mula menjadi pengunjung tetap masjid atau surau dan menyumbang dengan lebih kerap. Ramai yang akan terpegun dan gembira dengan perubahan diri anda yang luar biasa.

Cubalah laksanakan semua di atas, anda jadi manusia baru, insyallah!

Post a Comment

Previous Post Next Post