Bagaimana saya cari idea perniagaan dan buat pilihan nak bisnes apa ketika makan gaji


Ini sambungan dari artikel yang saya tulis sebelum ini berkenaan cara mencari dan tentukan bisnes apa yang nak dibuat bila berhenti kerja makan gaji. Kalau masih belum baca boleh baca di pautan sini.

Makan gaji semula

Saya berhenti kerja untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Selepas lebih 2 tahun duduk dalam dunia niaga dan berkawan dengan kawan-kawan usahawan yang berjaya, saya masuk semula ke dunia kerja makan gaji.

Makan gaji kali ini agak berbeza berbanding yang sebelum saya libatkan diri dalam dunia bisnes. Kali ini ia lebih kepada percutian makan angin untuk rehatkan diri sambil menentukan perniagaan apa yang saya benar-benar mahu jalankan nanti. 

Saya diterima bekerja di sebuah syarikat multinasional di Shah Alam.

Sakit juga perasaan bila kerja makan gaji semula, setelah lama hidup tak ada jadual keluar masuk bangunan. Bila makan gaji, saya terpaksa disiplinkan semula diri seperti mana semua pekerja lain. Perlu akur bahawa jika semua orang datang dan balik ikut suka hati waktu mereka, alamat tak akan ada syarikat yang dapat bertahan lama. Dunia perniagaan buka minda untuk saya faham perkara itu.

Saya mula disiplinkan diri dengan masuk kerja lebih awal setengah jam dari orang lain dan pulang sekurang-kurangnya sejam lebih lewat dari waktu balik. Saya juga terima apa saja tugasan tak kira samada senang atau susah, samada skop kerja saya atau bukan. Apa saja cabaran disambut tanpa banyak soal sepanjang makan gaji itu.

Semua itu membuatkan saya disenangi oleh semua boss. Kalau ada kenaikan pangkat tentu saya yang lebih diutamakan. Baru saya sedar betapa mudahnya kalau anda yang makan gaji mahukan agar boss sayang.

Mula catit idea perniagaan

Sepanjang makan gaji itu saya tak pernah curi tulang atau memandang rendah pada tempat dan syarikat saya kerja. Seperti ucapan yang saya pernah dengar dari mulut boss besar tempat kerja mula saya dulu, dia kata,

"Jangan makan dan berak di tempat yang sama".

Bila kerja, amanah dengan tugasan dan lakukan aktiviti peribadi diluar waktu kerja. Atas dasar itulah saya pulang lewat sedikit setiap hari untuk buat carian maklumat.

Dengan kemudahan internet syarikat, saya belajar mendalami ilmu IT serta Telekomunikasi yang diperlukan untuk kerja saya di situ. Saya juga baca apa saja maklumat tentang perniagaan yang boleh menambahkan pengetahuan saya dalam bab bisnes.

Setiap kali terlintas idea bisnes, saya segera simpan buat senarai catit pada kertas. Peringkat mula hanya perhatikan apa saja perniagaan yang terlintas tanpa membuat apa-apa kajian. 

Hasilnya banyaklah perniagaan yang disenaraikan. Bila dah terlalu panjang senarai tu, akhirnya saya buat keputusan untuk senarai pendekkan perniagaan yang saya mahu ambil perhatian. Cara adalah dengan menentukan kriteria perniagaan yang saya mahu. 

Berikut antara kriteria yang saya masih ingat.

  1. Tidak perlu modal yang banyak
  2. Tidak perlu mengharapkan kontrak atau tender kerajaan
  3. Boleh berniaga dengan sesiapa saja samada swasta atau kerajaan.
  4. Boleh berniaga terus kepada pengguna atau orang ramai.
  5. Tidak punyai kekangan untuk masuk terlalu lama.
  6. Tidak perlu glamour
  7. Tidak diceburi oleh ramai Melayu
  8. Boleh berkembang jauh

Apabila saya sediakan kriteria, senarai mula menjadi pendek. Saya akan buang mana-mana idea yang tidak penuhi kriteria yang saya dah gariskan tadi. Setiap perniagaan baru yang terlintas akan terlebih dulu dipertimbangkan samada memenuhi kriteria tersebut atau tidak. Ia memudahkan lagi kerja pencarian saya.

Sebenarnya kriteria yang disenaraikan di atas banyak dipengaruhi oleh bacaan saya terhadap sebuah buku. Ia senaraikan ramai golongan jutawan senyap di Amerika. Hampir kesemua jutawan senyap itu bermula dari kosong dan jadi kaya dalam tempoh satu generasi saja dalam menjalankan perniagaan tersebut. Rata-rata, bisnes mereka langsung tidak glamour dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja.

Saya berikan contoh perniagaan tidak glamour dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja di bawah.

  1. Buang sampah
  2. Cuci toilet
  3. Kedai runcit
  4. Kutip barang buangan
  5. Khidmat potong rumput
  6. Khidmat kemas rumah / pejabat
  7. Pest Control
  8. Pemborong, pembekal / pengedar
  9. Logistik / pengangkutan
  10. Gudang kereta potong
  11. Jual barang buangan / scrap
  12. Repair rumah
  13. Repair paip dll.

Tak terfikir pulak saya sebelum membaca buku itu betapa kebanyakan bisnes mudah itu melahirkan ramai jutawan senyap. Ia merupakan satu penemuan yang agak mengejutkan. Tapi saya percaya ia agak logik dan boleh dipertimbangkan kerana kecenderungan manusia lebih suka pada benda glamour. Jadi bisnes macam tu tak semua orang suka. Lagipun, selain dari mahu jadi kaya, ramai orang berniaga sebab mahu jadi glamour.

Dari hari ke hari senarai idea bisnes saya semakin pendek dan saya mula melakukan sedikit kajian terhadap setiap idea yang telah dicatatkan.

Berikut adalah maklumat yang saya cari.

  1. Berapa besar pasarannya setahun. RM10 juta?, RM100 juta? ..
  2. Siapa pesaing utama dan berapa banyak syarikat besar yang ada. Adakah pesaing dari luar negara yang masuk ke pasaran Malaysia dan lain-lain maklumat tentang persaingan lagi.
  3. Apakah ada syarat atau lesen tertentu yang dikenakan oleh kerajaan atau ianya bebas untuk sesiapa saja keluar masuk.
  4. Berapa ramai pesaing kecil-kecilan dan bagaimana taburannya di seluruh negara.
  5. Bagaimana keadaan dan siapa pembekal peralatan dan juga keperluan sokongan dalam industri tersebut.
  6. Adakah industri tersebut mempunyai persatuan
  7. Apakah demografik, psikografik pengguna dan adakah ia bergantuk kepada geografik pengguna terhadap perniagaan tersebut.

Kaji punya kaji akhirnya saya buat keputusan untuk memilih perniagaan Pest Control. Syarikat yang saya perlu jadikan bayangan ikutan, tidak lain dan tidak bukan syarikat besar dari luar negara yang sangat terkenal di negara kita. Ia merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang punya cawangan di seluruh pelusuk dunia ini di negara kecil atau besar.

Bila dah tentukan bisnes tersebut, saya terus mendalami dan kumpul maklumat sebanyak yang boleh tentang industri Pest Control di Malaysia. Kajian jadi lebih mendalam sehingga setiap tuan punya syarikat yang telah lama dalam perniagagan tersebut di malaysia saya temui dan berkenalan. Saya masuk sertai  persatuan dan dapatkana segala maklumat perihal di mana dan bila pemain industri berkumpul.

Disitulah bermulanya penglibatan saya dalam dunia Pest Control.

Nota: Setelah lama berpengalaman dalam dunia bisnes, jika anda tanya saya apa bisnes yang bagus untuk dilakukan, saya akan syor; buatlah bisnes yang anda dah pandai tentangnya dan punya maklumat lebih banyak berbanding orang lain. Itu bisnes yang terbaik untuk anda.

Post a Comment

Previous Post Next Post