Cara atasi kebuntuan otak nak cari bisnes apa yang mahu dilakukan setelah berhenti kerja


Ini sambungan dari artikel yang lalu bagaimana proses saya jadi usahawan selepas berhenti kerja makan gaji. Boleh baca di pautan sini.

Ada 3 ramuan penting yang perlu ada jika anda buat keputusan untuk berhenti kerja makan gaji dan sara kehidupan dengan berniaga sendiri. Ramuan tersebut adalah seperti berikut.

1. Berani

Saya ambil risiko buat terjunan kamekaze dengan beri surat letak jawatan semata-mata untuk berkawan dengan kawan-kawan yang berniaga.

2. Ada kemahuan kuat untuk berniaga

Kalau duduk dengan penjual minyak atar sudah tentu saya juga akan berbau minyak atar. Bila dah berkawan dengan orang yang berniaga tentu saya juga terpengaruh mahu berniaga.

3. Yakin berjaya

Apa lagi yang nak saya percaya bila semua kawan sekeliling memang usahawan yang percaya pada diri dan berjaya. Tentu saya juga percaya bahawa akan berjaya bila berniaga.

Kawan-kawan usahawan saya ketika itu, bila sebut saya mahu tumpu pada satu perniagaan, semua teruja mahu tahu saya nak buat bisnes apa. Saya hanya perasan sikap itu bila bergaul dengan mereka. 

Berikut, antara perkara yang saya belajar dari mereka.

  • Walaupun dah berjaya, tapi sikap dahagakan peluang tak pernah padam dalam diri. Mereka sentiasa membuka mata dan menadah telinga untuk mendengar idea berniaga baru.
  • Bila ada orang yang mereka lihat berpotensi untuk berjaya, mereka tak segan-segan menawarkan diri untuk beri bantuan samada dalam bentuk kewangan atau kemudahan. Tukarannya adalah perkongsian. Mereka tak mahu lepas peluang.

Malangnya saya buntu untuk menemui jawapan perniagaan apakah yang mahu diceburi. Saya ingatkan mereka yang akan beri idea atau sekurangnya bantu saya dapatkan idea.

Barulah saya tahu rupa-rupanya,

Menentukan perniagaan yang mahu diceburi bukan semudah menentukan baju apa nak pakai hari ini.

Sepanjang berkawan dengan para usahawan, memang saya ada jalankan perniagaan sendiri. Namun tujuan berniaga tersebut semata-mata untuk 3 perkara ini.

  • Cari duit bagi sara hidup dan tanggungan.
  • Mendedahkan diri dalam dunia perniagaan dan cuba memahami apa itu berniaga.
  • Untuk meloloskan diri berkawan dengan para peniaga yang berjaya

Saya berterusan layan kehidupan begitu sepanjang 2 tahun, tidak kerja makan gaji. Namun masih mampu menyara hidup. Saya masih mampu menjana pendapatan tanpa ada kerja tetap.

Tapi itu bukan perniagaan lagi. Saya masih tak ada kefahaman atau keupayaan untuk bina satu perniagaan yang berupaya menjadi mesin bagi menjana duit buat saya. Belum lagi pada waktu itu.

Setelah sedar apa yang saya mahu, dan apa yang perlu dibuat, maka mengenal pasti satu perniagaan untuk saya bina dan berikan tumpuan sehingga ia berjaya dan membesar memerlukan satu penelitian yang serius.

Akhirnya saya buat keputusan untuk berehat sebentar sambil melakukan apa yang Mat Saleh kata ‘soul-searching’.

Saya perlu cari jawapan kepada soalan, nak niaga apa?

Nak niaga apa?

Saya perlu tenangkan diri berehat untuk cari jawapan nak niaga apa. Caranya adalah dengan mencari kerja makan gaji semula.

Saya kembali menjadi seorang yang makan gaji untuk berehat. Sebab apa saya kata berehat dengan makan gaji?

Sebab saya tahu masalah orang yang makan gaji hanyalah 10% sahaja berbanding masalah yang dihadapi oleh orang yang berniaga. Itu peluang mudah untuk saya gunakan bagi menjawab soalan nak niaga apa.

Sepanjang berkawan dengan para usahawan, ada satu perkara pelik yang saya perhatikan pada kumpulan ini. Mereka lebih suka berjaga, jumpa orang atau kawan-kawan atau berjalan daripada tidur. Jika dipilih untuk keluar ke kedai minum dengan kawan atau baring atas katil untuk tidur, mereka lebih rela keluar minum sekalipun diri mengantuk.

Ini perkara pelik yang mungkin ramai tak tahu. Saya terikut-ikut dengan cara mereka dan hasilnya adalah jadual kehidupan lari lintang pukang.

Untuk menjadi normal semula perlu tanam disiplin menetapkan jadual kerja. Itu juga alasan kenapa saya makan gaji balik, sebagai latihan untuk mendapatkan disiplin mengikut jadual.

Tambahan pula saya dibayar untuk berlatih mendisiplinkan diri. Betapa beruntungnya mereka yang makan gaji.

Akhirnya saya diterima bekerja di sebuah syarikat multinasional di KL. Sepertimana yang saya katakan sebelum ini, untuk mendapatkan kerja, ia bukanlah menjadi satu masalah sangat kepada saya.

Saya hanya perlu tahu ada kekosongan, saya dapatkan kenalan kawan yang bekerja di situ dan berikan resume padanya untuk dijaja.

Bila dipanggil temuduga saya dengan penuh yakin akan melaluinya. Tak ada apa yang nak dirisaukan sebab kerja makan gaji ni perkara mudah yang masalahnya hanya 10% berbanding berniaga yang masalahnya 90%, dan saya dah pernah berniaga. Jadi makan gaji adalah mudah bagi saya.

Nak diringkas kan cerita. Keyakinan selamba itu membuatkan saya terus diterima kerja, disuruh segera laporkan diri dan ditawarkan gaji lebih daripada yang saya minta.

Alasannya simple saja mereka takut saya terima tawaran orang lain. Itulah hikmat mempamerkan keyakinan bahawa, “kamu yang perlukan saya bukan saya yang perlukan kamu”

Lega, saya dah boleh berehat dan gunakan masa rehat itu untuk memilih perniagaan.

Saya rancang akan kerja paling lama 5 tahun dan paling cepat 3 tahun untuk berhenti semula dengan satu perniagaan yang telah diputuskan. Apa yang saya buat sepanjang kerja makan gaji itu akan saya sambung nanti.

4 Comments

  1. sy masih selesa mengajar di sekolah menengah... tunggu masa nak pencen je sbb x reti nak meniaga..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah! pekerjaan yg mulia tu tuan. Moga sentiasa diberkati hidup tuan.

      Delete
  2. saya menunggu penjelasan dan penulisan seterusnya...sangat menarik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah,nanti akan disambung lagi. Terima kasih Mr Hanafi

      Delete
Previous Post Next Post