Rasa baru saja puasa Ramadan hari pertama Khamis lalu bermula. Saya berada di Langkawi hari itu untuk menziarahi ibu di sana dan ambil kesempatan untuk berpuasa sehari dua bersamanya.
Hari ini, pejam celik dah masuk seminggu!
“Cepat sungguh masa berlalu!”
Memang itulah yang saya rasakan.
Ayat tersebut di atas, sering disebut orang, malah seringkali anda sendiri tentu dah biasa ucapkannya.
Kepantasan masa jadi semakin ketara apabila umur makin meningkat. Apatah lagi jika anda tinggal dan bekerja di bandar.
Anda terkejar-kejar sepanjang masa dari pagi sehingga ke petang dan kadang-kadang sehingga ke malam. Kerja tak sempat dihabiskan. Kalau habis hari ini, esok datang lagi bertimpa-timpa.
Sekali sekala akan timbul pertanyaan, 'apakah dunia berpusing dengan lebih laju sekarang ini?'
Penciptaan alam dan segala isinya termasuklah bumi dan segala cakerawala ini berlaku dengan amat terperinci sekali. Allah menjadikan segala kejadian alam sentiasa tunduk pada kejadiannya dan perancangannya.
Semuanya terletak pada landasan yang sudah ditetapkan olehNya. Sebagaimana bumi bergerak selaju 700 batu sejam sejak dulu, begitu jugalah sekarang ini tidak ada perubahan.
Hasil dari kepatuhan perjalanan tersebut, maka manusia dapat mengira bila berlakunya gerhana matahari atau bulan dalam tempoh seribu tahun lagi yang akan datang. Bila tiba waktunya ia akan berlaku sebagaimana yang telah kita jangka, tanpa ada apa-apa perubahan.
Begitulah Maha Hebatnya perancangan dan ciptaan Allah Taala yang sungguh terperinci.
Jadi jelas di sini bahawa bumi tetap mengikuti rentaknya seperti biasa dan masa 24 jam sehari tetap masih sama seperti dulu juga.
Kenapa masa terasa pantas
Jika semuanya bergerak dari dulu sampai sekarang dalam keadaan yang tetap, maka kenapa masa terasa berlalu begitu pantas?
Sebenarnya masa sentiasa cukup sebanyak 24 jam sehari. Yang berbeza adalah perkara yang anda himpun untuk dilaksanakan dalam tempoh 24 jam tersebut, yang semakin meningkat.
Anda lah yang membuatkan dunia di dalam diri anda sendiri menjadi semakin laju. Itu membuatkan terbentuknya perbezaan jam antara yang nyata yang berdetik pada jam tangan anda itu dan satu lagi yang berdetik di dalam minda anda sendiri.
Uji jam minda anda
Anda boleh menguji samada jam dalam minda itu berdetik seiring, sebagaimana jam di dunia nyata atau tidak dengan melakukan langkah berikut.
- Set jam tangan selama 5 minit.
- Pejamkan mata dan jangan buat apa-apa.
- Ketika pejam itu ingatkan diri bahawa anda sedang hidup sekarang ini dan tidak ada sesiapa yang boleh mengambil kehidupan anda kecuali Tuhan. Masa yang anda ada adalah kepunyaan anda sendiri untuk digunakan sebaiknya. Berterusan bayang dan fikirkan begitu.
- Setelah anda rasa lima minit sudah berlalu, buka mata dan lihat berapa lama anda ambil untuk pejam mata tadi.
Ada 3 keadaan yang boleh berlaku.
Masa seiring
Jika anda pejam selama 5 minit sebagaimana yang ditunjukkan oleh jam, maka, sebenarnya anda tidak terkejar-kejar sangat dalam kehidupan. Anda benar-benar menghayati kehidupan ini.
Minda berdetik pantas
Jika masa anda buka mata dan waktu baru menunjukkan 2 atau 3 minit, maka ia menunjukkan jam dalam minda anda itu berdetik teramat pantas dan anda sedang berada di dalam dunia sibuk tak terkawal.
Minda bergerak perlahan
Akhirnya jika masa kita pejam setelah dibuka mengambil masa jauh melebihi 5 minit, nampaknya anda ada terlalu banyak masa terluang dan tak tahu nak buat apa dan elok isikan sedikit lagi masa dengan aktiviti bermanafaat.
Betulkan semula masa
Bagi anda yang jam minda berdetik teramat pantas sudah tentu merasakan waktu di luar juga berlalu teramat pantas.
Jika anda mahu perbetulkan masalah tersebut berikut beberapa tips berguna yang boleh kita amalkan.
1. Buka mata buka hati
Anda perlu luangkan lebih masa untuk melihat.
Pelik juga kan, sedangkan anda sentiasa melihat?
Jika anda sangka yang anda sentiasa melihat, sebenarnya itu tak berapa betul. Para saintis mendapati masa yang diambil manusia untuk melihat dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini menurun dengan begitu mendadak sekali.
Cuba renung sejenak. Bila kali terakhir anda lihat titisan embun yang berada di hujung rumput di waktu pagi?
Semalam, kelmarin, tahun lalu atau dah tak ingat?
Tahukah anda bahawa titisan embun melekat di hujung rumput itu sentiasa ada di mana-mana saja tempat yang ada tumbuhan dan rumput. Ia sentiasa berada di sekeliling dan anda tidak ada masa untuk melihatnya.
Itulah yang Al-Quran katakan bahawa manusia itu punyai mata tetapi hanya sedikit yang menggunakan mata itu untuk melihat.
Banyak lagi perkara yang anda sendiri sudah lama tidak berhenti sejenak untuk melihatnya. Bagaimana nak berhenti melihat sedangkan kepala otak kita asyik fikirkan duit, kerja, wanita, tekanan, dan lain-lain samada ketika berjalan, memandu atau di mana-mana saja. Ada mata tapi tidak melihat.
Cukuplah terbelenggu dengan kelam kabut itu. Mula melihat apa yang ada di sekeliling anda. Wajah anak-anak, pucuk daun yang baru keluar dari pohon di taman depan rumah anda, atau anak burung mencicip sedang diberikan makan ibunya.
Banyak lagi benda yang telah lama anda tidak melihat dan biarkan semuanya berlalu. Segera tanam azam untuk lebih melihat, insyallah masa akan menjadi lebih perlahan.
2. Lihat dan sebut
Anda perlu sebutkan nama benda yang dilihat.
Jangan hanya melihat. Cuba ingat kembali apa namanya benda yang anda lihat itu. Kalau tak tahu jadikan ia satu tugasan untuk mengetahuinya. Setelah tahu dan anda terlihatnya semula, sebutkan namanya dengan jelas.
Biarlah orang kata nak jadi macam kanak-kanak. Memang itupun matlamat untuk tanam semula nilai kehidupan yang tidak sepatutnya berserabut dan terlalu cepat.
Biarkan sifat ingin tahu anda itu berkembang seperti kanak-kanak. Ingat!, kehebatan Nabi Adam antaranya adalah keupayaannya mengenali nama benda-benda yang dilihatnya setelah Allah mengajarnya.
Anda tentu akan dapat rasakan perbezaan apabila dah mula mengenali apa yang dilihat dan boleh menyebut namanya. itu juga secara lansung membuatkan diri anda merasa lebih sedar dan mula menyaksikan segala tanda-tanda kewujudan Pencipta.
Semakin banyak yang anda lihat, maka semakin banyak yang anda nampak semakin terasa timbulnya kesedaran terhadap kehidupan.
3. Jangan tergesa-gesa
Jalankan amalan rutin anda dengan lebih perlahan.
Jika anda biasa melakukan perkara rutin dengan pantas, atas faktor dah terlalu biasa dan boleh dilakukan dengan hanya pejam mata. Perlahankan sikit dan hayatinya.
Contohnya seperti anda terjun masuk dalam kereta lalu terus cucuk kunci dan hidupkan kereta dan jalan tanpa perlu sedar apa yang sedang dilakukan.
Anda mula masukkan gear dan dalam masa yang sama tarik talipinggang keselamatan dan pasang. Kemudian tekan minyak berdesup melintasi rumah jiran.
Anda buka mata tetapi tidak pernah melihat apa ada di sekeliling, sedar-sedar dah terpaksa berhenti di lampu isyarat merah. Sebelum itu apapun tak ingat. Hanya melayan perasaan dan ligat otak berfikir atau kerkhayal.
Anda merenung ke depan seolah-olah melihat, namun hanya berkhayal dengan tugasan atau masalah. Seolah-olah ada satu hijab menutup antara mata dengan apa yang berada di sekeliling anda.
Apa salahnya perlahankan ia sedikit dan nikmati kesempurnaan apa yang anda sedang lakukan itu. Perlahankan masa anda.
Jika anda makan umpamanya, jangan kelam kabut dan gelojoh.
Suap perlahan-lahan, tengok bagaimana rupa nasi yang ada dalam pinggan anda tu, besar mana butiran nasi itu, perlahankanlah dan nikmati betul-betul kunyahan dan rasai keenakan makanan yang merupakan rezki anda pada hari itu.
4. Betulkan cara bernafas
Ini ramai yang dah tak perasan.Anda tentu sangka bernafas adalah dengan mengembangkan dada apabila kita menarik nafas masuk ke dalam rongga badan. Itu salah!
Sebenarnya anda perlu menyedut nafas melalui perut.
Perut sepatutnya kembung atau mengembang bila menyedut udara. Perut perlu kempis bila menghembus udara.
Semuanya berpunca apabila anda berhenti melihat.
Bila kali terakhir anda melihat seorang bayi yang sedang lena tidur. Bila kali akhir anda renung muka bayi yang sedang menarik nafasnya laju. Bagaimana alun badannya ketika dia menarik nafas adakah dadanya yang beralun atau perutnya yang beralun.
Jika anda mula melihat, tentu akan mula bertanya kenapa perutnya kembang dan kuncup kenapa bukan dadanya yang kembang dan kuncup. Kenapa dia bernafas melalui perut dan apakah cara bernafas yang sebenarnya.
Kawal semula cara bernafas dan secara sedar anda akan perasan yang anda sedang hidup dan sedang bernafas. Bernafaslah secara perlahan-lahan dan rasai pernafasan anda, insyallah masa akan perlahan semula.
Cubalah amalkan apa yang disebutkan di atas untuk kembalikan masa kini anda lebih berkualiti dan bermakna dan seterusnya meletakkan semula masa kini pada landasannya yang betul.