Kenapa anda perlu berjalan kaki sahaja dan kurangkan bawa kenderaan


"Hang tak reti bawa motosikal ka?"
Tanya Abang Joe pada saya.

"Tahu, lesen pun ada .. kenapa Abang Joe?" saya jawab sedikit hairan kenapa dia tanya soalan tu.

Rupanya dia sangka saya tak tahu bawa motosikal sebab setiap kali kalau balik kampung, saya akan jalan kaki sahaja untuk ke pekan. Setakat 2 atau 3 kilometer, saya bedal jalan kaki saja. 

Salah satu kedai yang akan saya pergi setiap pagi adalah kedai Abang Joe. Ada nasi lemak gulai ikan kering kegemaran yang tak ada di tempat lain. Saya akan beli beberapa bungkus untuk di bawa balik sarapan di rumah.

Hampir semua orang dalam kampung tu kalau nak ke pekan, akan bawa motosikal atau naik kereta. Jalan kaki dah jadi perkara pelik sekarang. Baik orang tua mahupun anak muda.

Gaya hidup orang sekarang lebih mirip kepada orang malas apabila hampir keseluruhan urusan dilakukan dengan menggunakan kenderaan.

Mungkin ada yang dah terlupa bahawa kaki yang ada pada manusia bukan hanya untuk menekan pedal brek, minyak dan clutch sahaja. Salah satu kegunaan penting kaki yang dianugerahkan oleh Allah adalah untuk berjalan kaki di atas hamparan muka bumi ini.

Malas berjalan kaki

Dalam satu hari berapa banyak perjalanan yang anda gunakan dengan berjalan kaki?

Anda tentu seperti kebanyakan orang lain yang akan memilih untuk gunakan kenderaan berbanding berjalan kaki. Jika anda perhatikan, ada orang yang bawa keretanya sampai ke depan gerai nasi lemak dan buat belian dari situ tanpa keluar dari keretapun.

Jika parkir betul pada tempatnya, tentu akan ada jarak antara kenderaan sampai ke gerai tempat nak beli nasi lemak. Maka ada yang sanggup meletakkan kenderaan mereka betul-betul depan penjual nasi lemak tu. Jadi tempat parkit la pulak. Tidak ambil peduli samada mengganggu orang lain yang mahu membeli atau sukarkan lalu lintas.

Mereka seolah-olah tidak ada perasaan selain dari mementingkan diri sendiri. Dengan enjin kereta dibiarkan hidup menderam, menambahkan lagi rimas orang lain yang ada di situ. Ada bahang panas terkena pada mereka yang sedang sabar berdiri menunggu giliran.

Ke Masjid pun naik kenderaan

Ada juga yang pergi ke Masjid atau Surau dengan memandu kenderaan sedangkan jarak perjalanan antara rumah dengan masjid bukanlah jauh sangat. Tak sampai 2 kilometer pun.

Hadith yang telah didengari dari kecil sampai tua tentang setiap satu langkah terhapusnya dosa, sekadar dengar saja. Ramai yang lebih rela naik motosikal atau kereta dari berjalan kaki.

Untuk sedapkan hati, ditafsirkan satu langkah itu sebagai jarak perjalanan sahaja. Samada naik motosikal, naik kereta, atau jalan kaki, markahnya adalah sama. 

Macam itulah manusia zaman moden ini. Ke mana saja akan naik kenderaan. Lebih pantas, lebih kurang menggunakan tenaga, lebih tidak berpeluh.

Pergi kerja, sanggup keluar awal di subuh hari semata-mata untuk dapat pakir paling berhampiran dengan pejabat.

Pusing kawasan parkir di pasaraya 3 atau 4 pusingan semata-mata nak dapatkan tempat paling kurang berjalan kaki masuk ke pintu pasaraya. 

Apa salahnya letak kereta jauh sikit dan berjalan kaki sahaja. Samada nak ke pejabat, atau ke mana saja. Sekurang-kurangnya ia memberikan anda sedikit masa untuk melonggarkan otot dan mencari ilham sampai kuatkan kaki tu.

Bagi anda yang tak ada kenderaan, sebenarnya sangat beruntung sebab anda lebih banyak berjalan kaki daripada memandu.

Kelebihan berjalan kaki

Mari lihat apakah kelebihan berjalan kaki.

  1. Orang yang banyak berjalan kaki setiap hari biasanya lebih baik tahap kesihatan mereka. Mereka biasanya lebih slim dan awek muda.
  2. Lebih banyak jalan kaki boleh menjimatkan kos bahan api bermakna anda boleh gunakan wang tersebut untuk perkara lain yang lebih berfaedah atau menabung untuk membesarkan simpanan anda.
  3. Anda juga menjadi salah seorang warga dunia yang membantu kurangkan pencemaran udara dan pencemaran bunyi yang kini berada di tahap yang kritikal.
  4. Dengan kesihatan yang lebih baik hasil dari banyak berjalan kaki membuatkan masa sihat lebih panjang dan hidup anda lebih produktif. Kos perubatan yang amat mahal kini juga berjaya dijimatkan dan anda ada satu lagi sumber lebihan untuk menabung.
  5. Orang yang berjalan kaki dalam keadaan orang lain berkenderaan memotong dengan laju mampu mendidik jiwa merendah diri. Anda boleh menyelami perasaan orang lain yang memang tak ada kenderaan. Cuba jalan kaki di tepi jalan raya dengan berpakaian kemas sambil menyendeng beg kerja. Anda akan rasa risau atau malu kalau ada orang yang kenal melihat, timbul rasa segan jika disangka kereta kena tarik. Saya dah banyak kali lalui pengalaman ini setiap kali hantar servis kereta dan berjalan kaki sejauh 5 km ke pajabat merentas jalanraya dan lampu isyarat.
  6. Kebiasaan berjalan kaki membuatkan orang yang mengenali anda tidak terfikir yang anda dalam kesusahan apabila kereta kena tarik. Biasalah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Cuma anda mungkin berjalan kaki lebih daripada biasa. Ini memudahkan kerisauan yang mungkin akan timbul akibat malu pada orang.
  7. Berjalan kaki dalam tempoh lebih setengah jam secara berterusan setiap hari cukup untuk menjaga kesihatan anda dan dalam tempot tersebut banyak perkara yang boleh difikirkan termasuklah bermuhasabah dan berangan-angan akan kejayaan di masa akan datang.
  8. Otot kaki semakin kuat. Kelebihan anggota manusia cukup ajaib apabila semakin digunakan semakin kuat asalkan tidak digunakan secara melampau dan berjalan kaki bukanlah sesuatu yang berat. Kalau barang ciptaan manusia, semakin digunakan semakin lusuh. Cuba berjalan kaki ayam dan lihat perubahan tapak kaki, ia semakin kuat kematu berbanding tapak kasut yang biasanya haus. Jangan tunggu lutut menjadi lemah, takut anda akan mula kempunan nikmat berjalan kaki.

Cukup setakat itu sahaja kelebihan berjalan kaki berbanding memandu yang saya rasa kita patut pertimbangkan segera untuk diamalkan. Jadikan ia satu amalan hidup ringkas  agar anda dapat kecapi hidup yang lebih bermakna. Selamat mencuba.

Post a Comment

Previous Post Next Post