Jadikan amalan meringkaskan apa saja yang ada di hadapan sebagai amalan berterusan


Jika anda seorang lelaki, tentu sedar bahawa, hidup jadi lebih bermakna, terasa lebih lelaki, apabila anda berjaya sibukkan diri, bertindak untuk melakukan sesuatu. Secara ringkasnya, lelaki rasa puas apabila dapat selesaikan masalah.

Memang perangai bangun dan buat sesuatu dah ada dalam DNA seorang lelaki. Seorang lelaki akan rasa puas bila dia berjaya membina sesuatu dari kosong hingga berjaya.

Sebagai lelaki matipun tidak mengapa, apabila dah berjaya membina keluarga, menyediakan keperluan untuk anak dan isteri, keluar cari makan saban hari pastikan anak dan isteri di rumah ada makanan yang mencukupi dan seterusnya anak-anak membesar jadi manusia berguna. Macam tulah lelaki.

Disebabkan perangai itu juga isteri sering berselisih angin dengan suami. Ambil contoh bila suami balik dari kerja. Isteri yang sehari suntuk menunggu untuk bercerita apa yang berlaku hari itu akan mula buka mulut supaya suaminya dengar.

Suami pula bila isteri bercerita, diasangkakan ada masalah. Itulah yang dia suka. Dia nak dengar apa masalahnya dan bersedia untuk bertindak.

Tapi dari awal cerita sampai habis isterinya bercerita, lansung tak ada masalah. Dia sekadar nak bercerita. Potong stim terus suaminya sebab tak ada apa-apa yang perlu diselesaikan. 

"Itu saja?" herdik suami.

Ayat itulah yang isteri meluat dengar. Di anggap suaminya tak suka menyembang pulak. Masam muka la pulak.

Itu sekadar selingan.

Point yang nak saya sampaikan adalah, anda akan rasa puas jadi lelaki jika masa sentiasa di isikan dengan aksi bertindak.

Permulaan tindakan

Sekarang jom tengok bab bertindak pula.

Ada 2 sebab yang membuatkan anda bertindak.

Sebab pertama, apabila berhadapan dengan masalah. Anda bangun, malah hampir semua orang akan bangun, melakukan sesuatu, sebaik saja ada masalah. 

Jika tak ada masalah, hidup macam biasa secara automatik, bergerak menjalankan segala rutin harian dengan aman dan sentosa. Boleh diringkaskan seperti di bawah:

Normal ===> Timbul masalah ===> Bertindak ===> Normal

Sebab kedua, tak perlu tunggu ada masalah. Anda bertindak melakukan sesuatu agar keadaan menjadi lebih baik dari apa yang sedang anda nikmati.

Normal ===> Bertindak ===> Lebih baik dari Normal

Saya nak kongsikan sebab ke-2 di atas. Iaitu bertindak tanpa perlu tunggu munculnya masalah.

Kenapa nak fikir bab bertindak ni?

Sebab saya dah sebut di atas, kepuasan hidup dicapai apabila anda dapat bertindak, melakukan sesuatu dan seterusnya berjaya selesaikan masalah. Jika dah tahu itu penting, maka logiklah untuk fikirkan jalan bagaimana perkara tersebut memenuhi kehidupan.

Formula asasnya adalah jadikan hidup ringkas sebagai gaya hidup.

Amalan hidup ringkas

Anda perlu berikan perhatian untuk cuba ringkaskan apa saja yang berkaitan dengan diri anda. Sekalipun masalah tak ada.

Dengan berbuat demikian, kehidupan sentiasa berada dalam keadaan bergerak yang memerlukan anda bertindak sebab nak cari jalan ringkaskan lagi perkara yang ada di depan.

Idea meringkaskan apa saja yang boleh ini timbul sejak saya membaca buku pengurusan yang ditulis oleh Peter Drucker. Dalam bukunya, dia berikan maklumat penting tentang tanda-tanda sesebuah organisasi sedang menuju kejatuhan.

Tandanya adalah, apabila proses perjalanan, proses buat kerja dan lain-lain seumpamanya dalam organisasi itu makin lama makin berserabut (complicated). Boleh juga kita panggil birokrasi, prosedur atau seumpamanya.

Nota: Untuk makluman, Peter Drucker ni memang pakar dalam pengurusan moden. Boleh google cari maklumat tentang dia.

Sejak itu saya mula perhatikan semua proses yang berlaku dalam perjalanan syarikat saya sendiri. Adakah ia menyulitkan atau ia ringkas dan berkesan. 

Jika satu kerja boleh disiapkan dengan hanya 2 langkah, kenapa nak serabutkan otak dengan buat 10 langkah.

Saya dapati para pekerja masih kekal buat 10 langkah juga sebab dah terbiasa. Itulah amalan selama ini sejak dia mula bekerja di mana saja. Lalu diteruskan setiap kali dia pergi kerja di tempat lain. Ia dianggap sebagai 'best practice'. Dah terbukti berjaya selama ini kenapa nak ubah. Itu alasannya.

Hidup ringkas di mana saja

Sejak terdetik nak ringkaskan apa saja, saya mula melihat gaya hidup ringkas itu ada di mana-mana. Itu merupakan fenomena biasa yang sering berlaku. Anda mula dapat melihat sesuatu yang fikiran anda mahu melihat?

Contohnya begini.

Pernahkan anda pada satu ketika membuat keputusan untuk membeli kereta Honda Civic. Atau apa saja model yang anda pernah terfikirkan.

Sebaik saja keputusan dibuat, secara tiba-tiba anda jadi begitu peka pada apa saja yang menyentuh berkenaan Honda Civic. 

Akan ada saja kereta Honda Civic melintas di depan ketika memandu. Tiba-tiba anda mula perasan ada orang yang pakai kereta Honda Civic di taman tempat kediaman.

Apabila menyelak helaian surat khabar, perkataan Honda Civic bagaikan magnet menarik penglihatan mata untuk anda perhatikan. Tengah berdiri dalam komuter mengelamun akan hilang khayal sebaik saja orang belakang menyebut kereta Honda Civic dan anda teringin untuk memalingkan muka melihat siapa yang menyebutnya tadi seolah-olah anda mahu kenal dia.

Begitulah seterusnya kesedaran segar menjalar dalam segenap urat darah apabila anda memberikan arahan pada otak untuk mencari sesuatu.

Itu yang berlaku pada saya tentang hidup ringkas. Semenjak buat keputusan untuk memahami gaya hidup ringkas dan mengamalkannya, saya secara magis menjadi amat peka dengan apa saja yang menyentuh ‘ringkas’.

Sentiasa mencari apa makna gaya hidup ringkas dan bagaimana memahami maksud sebenar gaya hidup ringkas itu. Bagaimana perkataan dan amalan gaya hidup ringkas menyentuh kehidupan. Sering berfikir adakah ia membantu dan sangat penting dalam kehidupan.

Hasilnya saya menemui beberapa perkara berikut di bawah yang mana ‘ringkas’ merupakan jalan penyelesaian yang cukup hebat.

Ringkaskan hidup

Usaha untuk fokus dan buat hanya perkara yang mendatangkan manfaat yang seiring dengan sasaran dalam hidup saja. Selain dari itu abaikan terus.

Berdisiplin untuk mengamalkan konsep ini membuatkan masa yang anda gunakan menjadi amat berkualiti.

Ringkaskan barang kepunyaan

Dengan beli dan menyimpan barangan yang benar-benar diperlukan saja membuatkan rumah anda tidak semak dengan barang yang tak disentuhpun. Ruang rumah akan jadi lebih lapang.

Ringkaskan keperluan

Susun semula keperluan hidup yang benar-benar diperlukan saja. Yang asas dan sedikit tambahn sekadar perlu saja.

Dengan amalan ini kedudukan ekonomi atau kewangan kita secara magik akan beransur pulih dengan baik dan akhirnya wang bukan lagi menjadi satu masalah dalam kehidupan kita.

Ringkaskan pergerakan

Dalam seni pertahankan diri, pergerakan adalah satu perkara yang amat penting. Amalan langkah yang paling ringkas dalam seni pertahankan diri merupakan satu senjata atau buah paling hebat dalam bertahan dan sekali gus menyerang musuh.

Kalau anda pernah kerja line pembuatan di kilang Jepun, anda akan dapat lihat semua proses buat kerja diringkas ke tahap yang paling minima. Lagi kurang bergerak lagi pantas line berjalan.

Ringkaskan ayat

Jika boleh diterangkan dengan ayat yang mudah dan pendek, jangan cuba dipanjangkan dengan menyelit perkara dan perkataan yang tak perlu. Penulisan anda akan lebih berkesan dan mudah difahami dalam menyampaikan maksud.

Ringkaskan proses

Perniagaan anda akan sentiasa meningkat maju selagi setiap proses dalam melaksanakan transaksi di ringkaskan ke tahap yang minimum. 

Ringkaskan cara temui perniagaan anda. Ringkaskan cara berhubung, cara membeli dan ara membayar. Ringkaskan cara pulangkan barang bermasalah, ringkaskan cara clain dan segalanya ringkas.

Urusan menjadi mudah. Pelanggan lebih selesa dan cepat sesuaikan diri. Syarikat akan ke depan berbanding pesaing.

Ringkaskan perniagaan

Model perniagaan yang paling baik adalah perniagaan yang paling ringkas produknya. Lihat coca cola, hanya jual minuman dan dia menjadi salah satu syarikat yang cukup hebat di dunia. Lihat Mc Donald, budak-budak lepasan sekolahpun mampu kendalikan keseluruhan cawangannya.

Jangan serabutkan diri dengan terlalu banyak produk dan tawaran. Ringkaskan saja supaya bisnes anda lebih cekap.

Ringkaskan imej

Antara petua mengambil gambar dalam dunia kamera adalah jadikan imej yang kita rakamkan seringkas mungkin, gambar akan lebih menarik dan menyampaikan mesej yang lebih tepat.

Dalam seni lukisan juga melukis objek dengan konsep ringkas mampu menghasilkan nilai seni yang hebat.

Jika anda ukir kepala orang pada kayu, anda akan ringkaskan kayau itu dengan membuang semua sudut yang bukan gambarkan kepala orang. Akhirnya akan jadi ukiran kayu kepala orang.

Ringkaskan rekaan

Dunia fesyen amat teruja untuk menghasilkan konsep fesyen ringkas dan ia menjadi kegilaan ramai.

Ringkaskan masalah

Permudahkan jangan menyusahkan. Itu ayat terkenal dalam mengamalkan agama dan berdakwah.

Ringkaskan perjalanan

Ambil jalan yang lurus, ia merupakan jalan yang paling ringkas dan cepat. 

Anda sentiasa berdoa agar ditunjukkan jalan yang lurus. 

Lurus maknannya ringkas dan berbelit bengkang bengkok maknannya berserabut.

Ringkaskan rekabentuk

Rumah berkonsepkan minimalism amat praktikal, kemas manarik dan tersusun. Ruangnya luas dan lebih luas lebih mudah untuk lalu lalang. 

Konsep rekabentuk ringkas juga membuatkan IKEA gergasi industri perabut besar dunia mendapat sambutan ramai.

Ringkaskan masa

Kerana mahu ringkaskan masa dan tinggikan produktiviti berbagai inovasi hebat dunia terhasil.

Telefon bimbit, kenderaan, mesin automatik, calculator dan berjuta barangan lagi semuanya sebab manusia mahu meringkaskan urusah hidup mereka.

Ternyata apa saja yang anda buat tidak dapat dielakkan daripada terpaksa mengamalkan gaya hidup ringkas.

Untuk mengamal dan mencapai matlamat gaya hidup ringkas, malangnya bukanlah sesuatu yang ringkas. Ia menuntut anda mengejar ilmu dan menggunakan akal sebaik mungkin bagi merealisasikannya.

Dengan sentiasa ingatkan diri untuk meringkaskan segala yang tidak ringkas, pasti anda akan mula bergerak laju ke arah yang lebih baik dalam apa sahaja yang sedang dilakukan.

Buang semua yang tidak perlu dan hanya tinggalkan apa yang perlu saja, bakal melapangkan kehidupan dalam segenap segi.

Post a Comment

Previous Post Next Post