4 perkara yang perlu anda gabungkan untuk jalani kehidupan yang baik


Soalan yang paling banyak bermain dalam kepala saya sejak dulu sampai sekarang adalah ..

Bagaimana nak jalani sebuah kehidupan yang baik?

Dengan tekanan hidup sekarang, ramai yang tak sempatpun untuk fikirkan soalan itu. Tapi jika diberikan ruang, saya yakin, menjalani sebuah kehidupan yang baik adalah idaman semua orang yang normal.

Hidup dengan baik ini dalam ertikata lain bermaksud, menjalani hidup yang berbaloi. Setiap apa yang dilakukan dirasakan penuh bermakna.

Dunia moden kelihatan serba maju dan lengkap. Tapi jika direnungkan baik-baik, segala kemajuan ini membuka lebih banyak ruang kosong dalam perasaan anda.

Dalam satu kajian yang saya baca, saintis dapati masalah kesunyian sudah menjadi satu wabak penyakit yang melanda manusia zaman moden.

Seperti yang saya sebutkan berkenaan ruang kosong dalam jiwa di atas tadi. 

Dengan teknologi moden, manusia mudah berhubung dengan siapa saja, sejauh manapun. Kita ingat kemudahan itu sangat membantu. Tapi sebenarnya, kemudahan itulah juga yang membuatkan makin ramai orang rasa hidupnya sunyi!.

Baca laporannya kat sini.

Ditambah pulak dengan seribu satu macam tekanan hidup yang melanda setiap saat, dah tentu akan timbul fikiran merasakan hidup macam tak berbaloi. Rasa dah gibab untuk teruskan apa yang anda lakukan sekarang.

Jalani kehidupan yang baik

Macam mana nak buat supaya hidup rasa berbaloi?

Salah satu sifat yang ada pada orang yang jalani kehidupan yang baik adalah, dia sentiasa tak sabar untuk bangun tidur awal pagi keesokkan harinya, terjun dari tilam, mandi dan bersiap untuk selesaikan satu hari lagi pusingan kehidupan hariannya. Ini kehidupan yang semua orang nak.

Terbalik pula dengan mereka yang jalani kehidupan yang tidak bermakna. Mereka rasa sukar nak tidur malam. Bila dah tidur, susah pulak nak bangun pagi. Kemudian malas nak bersiap untuk keluar rumah teruskan satu lagi pusingan hari itu. Itu kehidupan yang tak ada orang sanggup berterusan hadapinya.

Untuk pastikan anda dapat nikmat kehidupan yang baik, perlu gabungkan 4 perkara berikut.

1. Cari perkara yang anda suka

Ini dah biasa sangat kita dengar. Hampir semua orang sebut perkara yang sama. Kalau anda tahu apakah perkara-perkara yang anda suka, dan habiskan lebih masa untuk buat perkara tersebut, masa terasa singkat dan anda tidur malam sambil tersenyum manis.

Cuba luangkan masa untuk buat senarai perkara-perkara yang anda suka dan cintainya dengan sepenuh hati. 

Kalau masih tak dapat kenal pasti, cuba beli buku nota untuk dijadikan sebagai jurnal harian.

Setiap malam sebelum tidur, cuba buat refleksi semula perjalanan hidup anda satu hari itu. Tulis satu persatu aktiviti yang dah anda luangkan masa melakukannya. Tanya samada anda rasa puas gembira atau tidak buat aktiviti tersebut.

Dari catitan demi catitan setiap hari yang dikekalkan dalam tempoh yang lama, anda akan dapat jumpa apakah aktiviti atau perkara yang anda memang suka sangat melakukannya.

2. Cari perkara yang anda cekap

Kalau umur dah lebih dari 30 tahun, saya yakin anda sudah tahu apa perkara yang anda cekap dan apa perkara yang lemah.

Dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke tahap umur lebih kurang 30 tahun, anda sepatutnya dah banyak mencuba buat perkara baru dan dah puas meneroka dunia kehidupan.

Oleh itu dah tiba masa untuk kenal pasti apa yang cekap dan apa yang tidak.

Kecekapan memerlukan latihan. Dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, samada terpaksa atau sukarela, anda mesti telah tempuh berbagai latihan hidup dari segi fizikal mahupun mental.

Jaringan kenalan juga biasanya paling banyak terbentuk dalam tempoh 30 tahun itu. 

Jadi anda perlu ambil masa sekejap untuk buat renungan dan imbau kembali segala yang telah dijalani dan kenal pasti lingkungan kemahiran yang anda dah berjaya himpun dalam diri.

3. Cari sumber jana pendapatan

Apa sumber yang memberikan duit kepada anda selama ini?

Sama juga macam kat atas tadi. Kalau anda dah berumur 30 ke atas, sudah pasti dah tahu apakah aktiviti yang dapat menjana pendapatan untuk anda hidup.

Itu adalah sumber ekonomi anda.

Mungkin ada hanya satu, iaitu kerjaya anda sekarang.

Apa kemahiran yang ada yang membuatkan anda dibayar. Mesti ada sesuatu. Tak akan ada orang sewel yang bagi duit secara percuma, saja-saja.

Cuba buat senarai tambahan apakah lagi perkara yang ada pada anda yang boleh menjana pendapatan. Tak semestinya dibayar dalam bentuk duit. Mungkin anda dibayar benda lain sebagai tukar ganti, masa, keistimewaan, pertukaran benda bernilai dan lain-lain lagi yang ada nilai.

4. Cari apa keperluan masyarakat

Semak semula masyarakat sekeliling anda. Tak kisah samada lokal atau nasional. Apakah yang mereka perlukan?

Biasanya masyarakat amat membutuhkan solusi kepada masalah yang mereka hadapi. 

Masalah ini berbagai, tapi boleh diringkaskan hanya kepada 2 perkara sahaja. Pertama adalah keluar dari kesukaran dan keduanya adalah mencari yang lebih baik.

Buatlah semua senarai keperluan masyarakat yang anda boleh fikirkan dan nampak. 

Cara mudah adalah dengan merenung kerjaya anda sekarang. Apakah masalah masyarakat yang anda selesaikan.

Kemudian, kembangkan lagi satu persatu supaya lebih banyak.

Hobi

Kalau anda gabungkan perkara #1 dengan #2, aktiviti tersebut akan membentuk hobi anda. 

Itulah yang boleh membuatkan anda rasa puas hati dan lega setiap kali melakukannya. Kalau ada hanya 2 perkara itu saja, ia tak akan membuatkan anda berkekalan rasa bahagia dan hidup berbaloi.

Nak makan apa kalau tak ada sumber pendapatan?

Kerja makan gaji

Jika anda gabungkan #2 dengan #3, ia akan membentuk kerja makan gaji.

Anda cekap dan dibayar pulak untuk kecekapan tersebut, maka sudah tentu ia jadi satu profesi atau kerja makan gaji.

Tapi masih tak cukup.

Ramai orang yang buat perkara yang dia cekap dan dibayar dengan jumah wang yang banyak, tapi hidupnya dirasakan masih tidak bermakna. Ia sekadar memenuhi profesi kerja makan gajinya. Hidup masih terasa kosong dan tak berapa nak puas.

Kerjaya

Kalau digabungkan #3 dengan #4 aktiviti tersebut mampu membina kerjaya yang bermakna untuk anda.

Anda akan rasa lebih tekun dan seronok jika tahu semua aktiviti yang anda dibayar untuknya menyumbang kepada keperluan masyarakat.

Itu kita boleh kategorikan sebagai satu kerjaya yang disukai.

Anda rasa tekun dan buat dengan ikhlas bila tahu ianya membantu memenuhi keperluan masyarakat.

Tapi masih tak sempurna lagi sebab tak semestinya itu kerja atau aktiviti yang anda suka dan jatuh cinta.

Misi hidup

Misi hidup akan terbentuk kalau anda buat aktiviti yang diperlukan oleh masyarakat dan dalam masa yang sama anda amat mencintai aktiviti tersebut.

Iaitu gabungan #1 dan #4

Ini ramai yang dah amalkan. Mereka digelar sebagai aktivitis kemasyarakatan. Mereka pulun buat tanpa jemu dan penuh tekun.

Tapi misi hidup saja tanpa ada sumber duit masuk tak akan mampu kekalkan anda bahagia. Lama-lama parah juga kalau asyik korbankan masa laksanakan misi hidup. Kalau anak orang kaya yang ada harta pusaka bertimbun takpa lah!.

Hidup yang baik

Kalau anda nak hidup rasa berbaloi, loncat dari katil setiap pagi untuk teruskan satu lingkaran kehidupan sehari lagi, setiap hati, hari demi hari, perlu gabungkan kesemua 4 perkara yang saya sebutkan kat atas tadi.

Orang yang berjaya gabungkan kesemua 4 perkara tersebut dipanggil mereka yang telah menemui IKIGAI dalam hidup mereka.

Orang tersebut akan rasa diri berguna, yakin diri, kehidupan yang penuh dan kekayaan yang mencukupi.

Itulah yang membuatkan hidup rasa berbaloi…

Nota: Pedoman di atas memberi fokus pada hubungan sesama manusia. Sudah tentu dengan anggapan anda percaya dan sudah melengkapi hubungan dengan Allah yang menjadi satu kewajipan untuk semua manusia yang berakal.

Post a Comment

Previous Post Next Post