Ini punca utama kenapa anda terlajak habiskan duit beli barang yang tak perlu berulang-ulang

Berapa kali dalam hidup, anda beli barang tak perlu?.

Tak perlu ertinya, kalau tak beli pun tak apa. 

Bila tak perlu, maka tak berapa ataulansung tak pakai. Masa awal baru beli saja mungkin digunakan. Selepas itu terbiar begitu saja.

Kemudian ulang lagi kesilapan yang sama. Masih amalkan beli barang tak perlu. Ulang lagi dan ulang lagi sampai sekarang.

Bila agaknya nak sedar supaya berhati-hati dan hentikan perangai beli barang tak perlu?

Bagi yang hanyut, mungkin tak perasan yang selama ini anda asyik ulang beli barang tak perlu. Amalan tanpa sedar dari dulu sampai sekarang?

Semak jumlah barang tak perlu

Cuba semak semula segala barang yang anda miliki.

Di rumah, dalam kereta, di pejabat, di kampung, dalam beg, atas meja, dalam almari, dalam stor, bawah katil, dalam laci, dan di mana saja ruang yang anda ada.

Saya sendiri sebenarnya malu nak buat senarai barang tak perlu yang dimiliki. Sebab memang tahupun masih terlalu banyak barang tak perlu yang ada bersepah di segenap sudut.

Yang parahnya, walaupun sedar, asyik beli barang tak perlu, masih juga terlanjur buat kerja yang sama berulang kali.

Anda boleh cuba congak sendiri. Buat senarai kecil segala barang yang anda ada, yang memang sebenarnya tidak diperlukan. Kalau diperlukanpun mungkin hanya sementara waktu sahaja.

Yang hairannya, walaupun sedar barang itu sudah tak perlu lagi, masih simpan dan tidak diuruskan supaya ruang yang ada dikosongkan menjadi lebih lapang.

Jika dikosongkan, bukan sekadar lapang kawasan, malah dapat lapangkan dada dari rasa bersalah secara tidak disedari.

Bagaimana saya beli barang tak perlu

Saya baru perasan bagaimana semuanya bermula. Maksud saya, apa pencetus yang membuatkan pembelian barang tak perlu berlaku secara tak disedari.

Apabila perkara itu tercetus berlaku, maka akan dituruti oleh aktiviti beli barang yang tak diperlukan secara berangkai-rangkai. Susah nak berhenti.

Ini salah satu dari pengalaman yang memberi gambaran jelas bagaimana amalan leka beli barang tak perlu berlaku.

Sebelu ini, saya ada ubah suai rumah.

Hasrat ubah suai rumah itu asalnya memang suci murni. Hanya bermula di kawasan dapur. 

Dapur lama yang ada cuma dibuat unjuran dari bahan besi macam kontena. Tarik bumbung, tarik naik dinding, kemaskan lantai simen.

Dapur itulah yang selama itu digunakan dengan jayanya. Tak ada apa-apa masalah sangat. Jika dipertimbangkan faktor keboleh gunaan dapur itu, ia sempurna dan mencapai matlamat.

Cuma bila musim hujan, bunyi irama titisan air hujan yang jatuh atas bumbung tin itu memang kuat.

Satu lagi masalah kecilnya adalah pada ruang udara bahagian atas dinding yang jaraknya kurang sekaki dari bumbung. Berlaku tempias kalau hujan turun disertai angin yang kuat.

Alasan kurang selesa yang sedikit itulah, ditambah dengan wujudnya ruang untuk tikus boleh masuk ke dapur dari luar, membuatkan keputusan ubah suai itu difikirkan sangat perlu.

Maka saya buat keputusan untuk ubah suai dapur tersebut.

Projek ubah suai melarat jauh

Saya panggil kontraktor. Tunjukkan ruang dapur yang mahu diubah suai. Masa bincang, timbul idea alang-alang ubah suai dapur, apa salahnya ubah suai ruang bilik kecil selepas dapur itu sekali. 

Tambah projek ubah suai bilik kecil tu pulak.

Sebelah bilik kecil itu ada tandas dan bilik mandi. Terfikir elok juga ubah suai kat situ. 

Merebak pula kepada bilik mandi itu. Elok buat sekali gus. Nanti kalau tangguh, bila nak ubah suai kemudiannya, akan jadi mahal pulak.

Timbul pula hasrat untuk luaskan ruang dapur sekali gus.

Buang bilik kecil itu sebab tak digunakan sangat. Jadikan ruang dapur lebih besar. Tentu isteri akan gembira dan memasak dengan penuh kasih sayang.

Dari asal ubah suai dapur kecil di belakang tu, sekarang dah merebak masuk habis keseluruhan dapur kering. Membesar 3 kali ganda sudah.

Eh! dapur yang besar ruangnya tak kan tak ada kabinet. Takkan tak ada table top. Oklah, pasang sekali semua itu. Bertambah lagi saiz projek.

Masih tak habis!

Merebak pula ke ruang tamu, perlu kemaskan siling. Cat semula dinding dan pasang lampu baru. Pasang kipas baru.

Melarat sedikit demi sedikit di tingkat bawah sampai ke depan rumah sekali dengan pagar besi dan pintu besi rumah berserta tiang dengan lampunya.

Naik ke atas rumah pula.

Semua bilik mahu dibesarkan dan pasang siling ubah lampu dan tukar kipas angin. Tak habis lagi!

Tambah lagi buat unjuran bilik utama kat atas, ada balkoni…

Dan akhirnya, saya terlanjur ubah suai keseluruhan rumah. Dari kos hanya dalam lingkungan RM20 ribu lebih, akhirnya memakan belanja lebih RM200 ribu!.

Saya pujuk hati kononnya itu aktiviti sekali seumur hidup.

Tambah lagi barang tak perlu

Rumah siap. Semua orang senyum. Saya juga senyum puas hati. Tapi dalam hati perit juga sebab habiskan ratusan ribu untuk buat semua projek itu.

Tapi masih tak sedar lagi.

Rumah dah baru. Takkan perabut nak kekalkan juga dengan yang lama?

Mana boleh, tak serasi!.

Lalu saya tukar perabut.

Alang-alang tukar, elok tukar yang berkualiti. Saya borong perabut jati dari ruang tamu sampai ke dapur.

Atas rumah juga tak kan nak biarkan!

Tukar juga dan ada tambahan pulak!.

Sekali lagi berlaku aksi berangkai yang membuatkan saya beli dan tambah kesemua isi rumah dengan segala barang yang hakikatnya tak perlu.

Termasuklah dengan tukar TV, peti ais, dapur masak dan lain-lain, habis merebak ke segenap penjuru yang lansung tidak ada dalam perancangan dari awal.

Pencetus beli barang tak perlu

Dari cerita di atas tadi. Kalau dihalusi, aktiviti yang agak perlu hanyalah ubah suai dapur sahaja.

Yang selain dari itu memang tidak ada dalam dalam senarai keperluan. Tak ubah suaipun pun tak mengapa. 

Tapi fenomena pergerakan berangkai membeli barang yang tak perlu itu berlaku tanpa dapat disekat.

Bila direnung semula, baru saya sedar rupa-rupanya begitulah kejadian amalan beli segala barang yang tak perlu berlaku selama ini.

Semua tercetus dari tindakan awal yang asalnya betul, perlu dilakukan. Kemudiannya merebak jadi berangkai kepada semua perkara atau barang yang ada hubungan emosi dengan aktiviti atau barang pencetus tadi.

Oleh kerana tidak ada satupun barang yang anda miliki tidak ada hubung kait antara satu sama lain, maka kesan berangkai akan berlaku tanpa disedari.

Bukannya ada hubung kait secara fizikal. Tapi hanya berhubung secara emosi. Mungkin warna, mungkin status, mungkin sepadan atau sedondon dan lain-lain lagi seumpamanya.

Moral cerita

Bagaimana nak halang tindakan bodoh kesan berantai beli barang yang tak perlu?

Paling mudah adalah jangan buat tindakan pertama seandainya benar-benar tidak terdesak. Pertahankan dan kemutkan tangan berkira macam tangkai jering.

Itu akan menyelamatkan anda dari kesan berantai beli barang yang tak perlu.

Kalau terpaksa beli juga belian pencetus itu, tahan diri dan kuatkan semangat untuk membuat penilaian secara objektif.

Pertimbangkan betul-betul secara rasional dan objekitf, adakah kekalkan barang lama menghalang matlamat asal.

Macam yang saya sering katakan.

Ekonomi adalah kesan dari emosi. Untuk kuasai ekonomi, anda perlu kuasai emosi.

Kalau duit ada tak apa juga, walaupun ternyata masih tidak bijak.

Tapi kalau duit tak ada, masih buat juga beli barang yang hakikatnya tak perlu, maka kad kredit akan digunakan.

Dan semua itu membuatkan anda masuk jebak hutang yang dalam.

Cuba renungkan…

Post a Comment

Previous Post Next Post