Semua orang diberi modal untuk berubah. Terpulang samada nak belanjakannya atau tidak.


Saya yakin anda tentu mahukan perubahan berlaku kepada diri atau kepada kehidupan, daripada buruk kepada baik, atau dari baik kepada lebih baik. Itu yang semua orang cari. Itu juga sebab utama kenapa sering berlaku hanya tubuh badan sahaja hadir di tempat anda berada sedangkan fikiran leka berkhayal ada di tempat lain yang anda rasa lebih baik. 

Secara umum, manusia sentiasa mahukan perubahan terhadap 6 perkara berikut.

  1. Kesihatan - Samada mental atau fizikal
  2. Ilmu / kemahiran - Dalam apa saja jurusan yang dapat membantu kehidupan anda sekarang
  3. Ekonomi - Pendapatan atau harta yang anda miliki
  4. Sosial - Pengaruh, kepercayaan dan kerjasama
  5. Hiburan - Ketenangan dan kegembiraan
  6. Kerohanian - Ideologi, agama atau perjuangan

Biasanya, jawapan yang paling biasa anda dengar tentang perubahan adalah tentang kejayaan. Semua orang mahu lebih berjaya dari apa yang dia dah capai sekarang.

Untuk mendapatkan kejayaan yang optimum, anda perlu memenuhi 4 perkara berikut.

  1. Pencapaian - Meletakkan satu matlamat dan berusaha mendapatkannya sehingga berjaya.
  2. Kepuasan - Melakukan sesuatu yang anda sendiri inginkan dan bukannya disebabkan orang lain.
  3. Jasa - Memberi sumbangan kepada orang lain atau masyarakat yang memerlukan.
  4. Warisan - Dapat meninggalkan warisan yang baik kepada anak cucu dari segi kebendaan dan nama. 

Kejayaan lengkap

Kebanyakkan orang terlepas pandang terhadap pentingnya untuk lengkapkan 4 perkara di atas bagi meletakkan erti kejayaan yang sebenar. Selalunya, mereka keliru dengan menganggap bahawa perkara No. 1 sahaja yang mengisi ruang kejayaan.

Fikir sejenak. Jika anda berjaya mencapai apa saja sasaran yang diletakkan di hadapan, sedangkan ia bukanlah sasaran yang anda sendiri mahukan, memang tak akan bahagia sepenuhnya.

Contohnya jika ibubapa mahukan anda belajar untuk jadi doktor perubatan. Lalu anda berusaha mencapainya. Orang mungkin melihat anda berjaya. Tapi bila anda sendiri sebenarnya mahu jadi jurutera, lambat laun, anda akan letih menjadi apa yang orang lain nak anda jadi.

Oleh itu perlu ada perkara No. 2, kepuasan diri. Perlu membuat pilihan dalam mencapai sesuatu yang anda sendiri benar-benar inginkan. Bukan masyarakat, bukan keluarga, bukan marka.

Namun begitu, kejayaan mencapai perkara yang diinginkan itu tidak kekal lama seandainya tidak ada kesan terhadap orang lain. Anda perlu buat sesuatu yang kesan dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan mereka yang mendapat faedah dari apa yang anda lakukan itu sangat menghargai sumbangan anda.

Contoh paling mudah yang anda sendiri tentu tahu adalah belanja makan. Katakan anda habiskan RM50 pergi makan seorang diri di restoran. Nikmat makan dan berbelanja itu hilang sebaik saja anda keluar dari restoran dan balik. Bandingkan dengan nikmat anda beli makanan RM50 dan sedekah atau hadiahkan semua makanan itu pada orang lain yang lapar. Nikmat berjaya meyumbang begitu kekal lama dalam ingatan anda dan orang yang anda bantu itu.

Bagi melengkapkan erti kejayaan yang penuh bermakna, segala amalan dalam kehidupan anda perlulah mampu meninggalkan warisan yang baik kepada anak cucu. Tak semestinya harta pusaka sahaja, malah yang lebih penting adalah mereka bangga menyebut nama anda. Orang kampung kenang nama baik anda dan hormati keluarga yang anda tinggalkan hasil dari apa yang anda lakukan.

Apa yang saya kongsikan di atas melengkapi makna perubahan yang sebaiknya anda usahakan. Jika perubahan yang dicari, anda perlu berubah menuju ke matlamat seperti tersebut di atas. Cuma persoalannya, bagaimana nak berubah. Apa yang perlu dibayar untuk berubah dan berapa harganya serta adakah anda mampu membayarnya?

Kos untuk berubah

Tak ada benda percuma atas dunia ini. Setiap perkara ada pasangannya. Setiap usaha ada tindak balasnya. Semua perubahan yang berlaku secara alami akan menuju ke arah keseimbangan. 

Jika anda tolak meja yang berat, perlu tolak sampai pecah titik seimbang bagi membolehkan meja itu bergerak. Selagi daya tolakan anda dapat diimbangi oleh berat meja, selagi itu ia tak bergerak Sehinggalah daya itu lebih kuat dari berat meja, maka daya lebihan akan disalurkan kepada tenaga pergerakan, baru seimbang.

Kalau anda belajar sains, itu prinsip newton yang pertama. Jumlah keseluruhan daya yang ada pada satu objek yang seimbang adalah kosong.

Sama seperti keadaan diri anda sekarang kekal tiada perubahan dengan segala rutin yang berlaku dan hasil yang anda bawa balik setiap bulan ke rumah, tak akan ada perubahan, selagi amalan yang sama anda gunakan setiap hari. Dalam erti kata lain, sebarang cara yang jadikan anda tak selesa anda akan elakkan diri darinya.

Maknanya nilai mata wang yang digunakan dalam melakukan perubahan hidup dan diri adalah "keselesaan". Anda ada banyak stok mata wang tersebut. Anda hidup dalam keadaan selesa dan tak sanggup belanjakan keselesaan tersebut untuk membeli perubahan.

Semua orang ada duit

Tak kira di mana kedudukan anda sekarang,miskin atau kaya, pengikut atau ketua, tua atau muda, anda sentiasa ada keadaan selesa. Itulah duit yang anda miliki. Jika sanggup melepaskan keselesaan itu demi mengejar impian menjadi lebih baik daripada apa yang anda ada sekarang, Insyallah, anda pasti akan dapat.

Keselesaan merupakan tabiat anda. Perkara yang diulangi sehingga jadi sebati dalam darah daging. Tak perlu banyak tenaga untuk buat. Tak perlu berfikir secara sedar untuk diamalkan. Semua bergerak secara automatik lancar dan cemerlang.

Jika anda sekarang berada dalam keadaan selesa, tiada kerisauan, semua jalan lancar tak payah pakai tenaga dan tak perlu pakai otak, ertinya anda sangat kaya dan ada banyak mata wang yang boleh beli perubahan diri.

Jual keselesaan yang ada itu untuk membentuk sesuatu yang baru. Ulang dan ulang perkara baru tersebut sehinggalah ia terbentuk menjadi tabiat baru. Pada masa itu anda berada pada satu tahap keselesaan yang baru. Ada 2 makna. Pertama anda sudah berubah naik ke tahap lain. Kedua bermaksud anda sudah ada modal keselesaan baru untuk dijual bagi membuat satu lagi lonjakan perubahan.

Dan begitulah seterusnya setiap keselesaan yang terbentuk perlu dijual semula untuk menghasilkan satu tahap keselesaan yang baru, sehinggalah anda meninggalkan dunia ini.

2 Comments

  1. Berbelanja untuk diri sendir susah pasti nikmatnya tidak sama seperti bersedekah kepada mereka yang memerlukan

    ReplyDelete
Previous Post Next Post