Kebanyakkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dalam perniagaan, pasti akan melalui 3 peringkat seperti berikut.
- Memenuhi tahap minimum - Semua produk yang baru masuk ke dalam perniagaan dalam menyelesaikan apa saja masalah yang ditawarkan, pada mulanya sekadar janjikan penyelesaian yang paling minima yang pelanggan boleh terima. Tak lebih dari itu.
- Memenuhi keinginan - Pada tahap ini, biasanya duduk sangat lama dalam pasaran, perniagaan yang ditawarkan cuba memenuhi apa saja keinginan tambahan yang terfikir oleh pelanggan. Setakat minima sudah tidak lagi memadai untuk buat produk atau perkhidmatan anda jadi pilihan.
- Mengejutkan pelanggan - Ini peringkat terakhir dalam perkembangan produk atau perkhidmatan yang anda boleh lakukan. Pada tahap ini, pelanggan sendiri sudah habis idea untuk sampaikan apa yang mereka ingin ada para produk. Anda sendiri yang perlu bayangkan apa yang tidak terfikir oleh pelanggan. Bila pelanggan lihat, ia jadi satu kejutan buat pelanggan. Mereka tak sangka produk sebegitu ada.
Evolusi industri kereta
Untuk mudah faham, boleh lihat perkembangan industri kereta di pasaran, sejak awal ia diperkenalkan.
Peringkat mula, tak ada apa-apa pilihan. Warna pun ada satu saja, hitam. Semua tawaran yang ada sekadar penuhi keperluan yang paling minimum. Dah tentu ada banyak kelemahan, tapi pelanggan abaikan saja sebab ia sangat berguna sekalipun pada tahap minimum. Lagipun anda seorang saja yang ada produk tersebut, buat apa-apa beri tawaran lebih-lebih. Buat duit dulu.
Lumrah perniagaan, apa saja produk baru yang ada sambutan pasti akan ditiru oleh semua orang. Tak dapat nak halang peniaga lain masuk ke pasaran. Untuk kekalkan penguasaan anda terhadap penerimaan pelanggan, masa ini dah perlu ada kecenderungan untuk banci dan ambil tahu apa keinginan pelanggan.
Perlu buat kajian dari produk asas yang pelanggan dah ada pengalaman menggunakannya, apa yang mereka harap ia jadi lebih baik. Terma mudah dalam peringkat kedua ini, anda berorientasikan pemasaran. Kereta dah mula diperkenalkan dengan macam-macam benda sampingan. Warna selain hitam dah mula ditawarkan. Ada radio, ada tempat abu rokok, boleh hisap rokok dalam kereta dan nampak lebih bergaya.
Ruang jadi lebih luas, kerusi pun dah berubah-ubah makin lama makin bergaya, nampak mewah, sampai ke tahap bau kulit kerusi kereta pun direka agar konsisten dan melekat ke otak orang yang masuk duduk dalam kereta itu. Dalam peringkat ini, takat keperluan minimum sahaja yang anda mampu berikan, alamat akan kalah dalam persaingan.
Sampai ke satu tahap, jika anda tanya pada pemilik kereta apa lagi yang mereka mahu, mungkin mereka akan jawab semua dah ada. Malah mereka tentu rasa kalau tambah lagipun nak buat apa. Dah berlebihan. Ertinya pemilik kenderaan dan hilang idea terhadap apa lagi yang mereka mahukan.
Ketika tahap ini, untuk kuasai satu pasaran baru, anda perlukan kreativiti imaginasi yang sangat tinggi. Bayangkan apa yang boleh anda reka lagi yang mungkin pelanggan akan suka. Elon Musk buat Tesla dan gemar satu dunia.
Atau anda juga boleh cuba nasib mereka. Sebagai contoh anda tawarkan kereta yang sekali beli, tak perlu isi minyak lagi sampai bila-bila sehingga kereta itu kondem.
Atau anda reka kereta jenis pakai buang macam seluar dalam orang bawa pergi mengembara. Imaginasi sebegitu sebenarnya pelanggan sendiri tak sanggup bayangkan sebab diluar keupayaan mereka. Malah ia dianggap seperti kartun yang tidak berpijak di bumi nyata.
Tapi anda sebagai usahawan, perlu keluar dari kekangan tak boleh itu dan bayangkan kemungkinan yang ada.
Bisnes anda tahap mana
Majoriti besar, termasuklah saya punya bisnes sendiri terperangkap dalam peringkat antara No. 2 ke No. 3 di atas. Duduk tengah-tengah cuba jadikan produk atau perkhidmatan anda dapat penuhi sekadar keinginan pelanggan sahaja.
Selagi kekal duduk di level itu tak payah lah harap nak muncul jadi macam Steve Job, Mark Zuckerberg, Jeff Bezos, atau Dietrich Markwart Eberhart Mateschitz.
Nama akhir tu mungkin anda tak pernah dengar. Dia merupakan warga Austria, asalnya hanya pekerja dalam bidang pemasaran untuk syarikat Unilever, anda tentu tahu syarikat itu, syarikat produk keperluan harian antarabangsa yang sangat besar dan berjaya.
Satu hari dia pergi atas urusan kerja ke Thailand dan beli minuman yang dah popular di sana, Krating Daeng. Minum air itu segelas, anda tak akan ada masalah letih. Sangat terkenal di kalangan pemandu lori dan pekerja kilang. Dia beli dan cuba air tu segelas. terus tak ada masalah 'jet lag', masalah biasa bila anda naik kapal terbang lintas waktu berbeza kitaran siang dan malam.
Dia nampak peluang besar. Ringkas cerita, dia tubuhkan syarikat Red Bull dengan pemilik asal Krating Daeng di Thailand, Chaleo Yoovidhya. Dan sekarang semua orang kenal Red Bull.
Ertinya, anda boleh jalan-jalan ke luar negara tengok idea yang meletup di sana dan bawa balik idea tu untuk pasaran tempatan di kampung anda. Dari situ anda sebenarnya masuk dalam industri peringkat 3 di atas seperti Red Bull yang masuk dalam industri minuman tenaga yang tawarkan sesuatu yang pengguna tak sangka ada.
Apapun, kalau nak cuba nasib manalah tahu kalau-kalau anda memang akan jadi salah seorang billionaire dunia dalam 5 ke 10 tahun akan datang, reka lah apa saja yang anda rasa pelanggan tentu terkejut.
Tapi, kalau selesa dengan apa yang ada sekarang, kekal saja berlegar duduk ditengah level 2 seperti saya sekarang. Jangan patah balik pergi ke level 1 dah la .. compom bungkus!