Kebanyakkan orang batalkan hasrat untuk berniaga sebab dia percaya bahawa kalau nak berniaga, perlu ada modal. Modal yang dimaksudkan adalah duit. Mungkin anda juga rasa begitu selama ini. Ketiadaan modal membuatkan idea bisnes terpendam jauh ke dalam lubuk minda anda.
Jika itu yang anda percaya, anda betul. Nak berniaga memang perlu ada duit. Tapi apa yang anda silap adalah, beranggapan yang modal itu semestinya milik anda dan perlu ada dalam poket anda sekarang.
Duit selagi ia masih diguna pakai sebagai alat pemegang nilai dalam transaksi umat manusia di muka bumi ini, selagi itu ia sentiasa ada di mana-mana. Cuma, duit itu masih tak masuk ke dalam poket atau akaun bank anda saja. Belum sampai masanya lagi, kekadang lalu tapi tak singgah.
Saya ulang sekali lagi. Jika ditanya, samada boleh atau tidak, berniaga tanpa duit, jawapannya memang tak boleh selagi duit tak singgah masuk ke akaun bank atau masuk poket anda dan bersedia untuk digunakan. Itupun hanya perlu isyarat saja. Tak ada duit secara fizikal pun tak apa. Ada banyak lagi mekanisme kewangan yang membolehkan anda diakui sebagai ada duit. Perlu cuba fahami perkara itu.
Mula bisnes tanpa duit
Saya sendiri mula berniaga tanpa ada apa-apa duit atau harta. Kerja makan gaji sebelum itu hanya cukup makan saja untuk teruskan kehidupan. Apa yang saya dapat, itulah juga yang dibelanjakan. Jika pendapatan bertambah, keinginan membeli juga meningkat sama naik dengan jumlah penambahan gaji. Saya yakin ramai seperti saya. Betul tak?
Berikut di bawah ini keadaan diri saya ketika buat keputusan untuk berhenti kerja makan gaji dan berniaga.
- Tiada duit simpanan dalam bank - Hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Keadaan ini membuatkan saya tak ada wang sendiri untuk dijadikan modal.
- Tidak ada rumah sendiri - Asyik sewa rumah orang saja dan tolong bayar installment pemilik rumah itu. Ini juga membuatkan saya tak boleh gunakan rumah sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman.
- Tak ada harta pusaka yang diwariskan - Tanah yang ada di kampung hanya sekangkang kera kepunya arwah bapak dan rumah didiami oleh mak. Kalau nak berebut harta pusaka kecil yang ada itu, masing-masing akan hanya dapat membina jamban sebanyak 2 pintu seorang. Tak berbaloi.
- Tak ada saudara yang kaya - Abang-abang dan adik yang ada juga sekadar cukup menyara kehidupan keluarga masing-masing saja. kalau mereka ada simpanan pun, tak kan bagi pada saya untuk berniaga. Mengharap duit dari mereka adalah mimpi di siang.
- Had kad kredit RM5 ribu saja - Tak cukup untuk sara kehidupan dan juga sebagai modal untuk membina perniagaan. Makin lama baki yang boleh digunakan makin sikit. Sangat menyedihkan.
- Tidak bekerja dengan kerajaan - Ini membuatkan saya tidak layak buat pinjaman peribadi pada bank rakyat. Isteri juga tak kerja. Siapa nak kasi pinjam?
- Tidak ada kenalan dari kalangan ‘Along’ - Ini membuatkan hilang keberanian memimjam wang pada mereka untuk memulakan perniagaan.
- Tak pernah ikuti kursus MARA - Langsung tak ada peluang untuk buat pinjaman perniagaan dari egensi kewangan itu.
Dalam keadaan itu, tanpa berfikir panjang saya berhenti kerja dan mula berniaga dalam industri pest control. Bukan saja mula berniaga tanpa ada duit sendiri, malah pendapatan bulanan saya juga hilang 75% dari kebiasaan ketika makan gaji sebelum itu.
Memang agak menyiksakan mental. Tapi ia tidak halang untuk saya bina perniagaan itu bergerak sedikit demi sedikit sehingga ia membesar dan jadi sumber pendapatan untuk saya tunaikan tanggung jawab membela keluarga, isteri dan anak-anak.
Apa yang telah saya harungi sejak awal menjadi usahawan sampai sekarang meyakinkan diri bahawa nak berniaga anda tak perlu ada modal duit atau harta dalam simpanan. Modal paling utama untuk memulakan perniagaan adalah diri anda sendiri.
Anda perlu ada rekod prestasi yang baik seperti berikut.
- Jujur
- Keazaman yang tinggi
- Yakin diri
- Kemahiran berguna
- Jaringan kawan dan kenalan bernilai tinggi
Jika anda ada semua di atas, itu saja yang diperlukan untuk memulakan perniagaan anda. Paling minimum anda perlu ada motivasi untuk jayakan bisnes, perlu ada kemahiran melaksanakan apa yang dirancang dan akhir sekali, wajib ada jaringan kenalan dan kawan yang baik.
Punyai jaringan kenalan atau kawan adalah yang paling penting kalau nak jadi usahawan. Banyak urusan dapat dilaksanakan dengan ada jaringan yang baik.
Mula dari sekarang
Jika anda rasa masih belum bersedia dari segi pembinaan diri sendiri ke arah nak jadi usahawan sebab masih muda atau selama ini leka pentingkan diri sendiri dan jadi kera sumbang, anda masih belum terlewat untuk mulakan sekarang.
Buat ketiga-tiga perkara penting ini secara konsisten.
- Cari idea niaga yang anda sangat teruja untuk jayakan
- Tingkatkan tahap kepimpinan dan pengurusan anda ketika makan gaji sekarang sehingga majikan sangat sayang pada anda
- Jadikan urusan membina jaringan sebagai perkara wajib dalam gaya hidup anda.