Cara lembutkan hati orang tua yang marah bila anda berhenti kerja untuk berniaga


Bagi anda yang masih ada emak dan ayah, apa saja yang anda buat tak ada yang lebih mendatangkan kepuasan selain dari mendapat perkenan dan restu dari mereka.

Kali pertama saya berhenti kerja untuk berniaga dulu, ketika gawat di era 1997, mak tak tahu yang saya sendiri buat keputusan untuk berhenti kerja dengan ambil tawaran VSS. Dia cuma tahu ketika itu ramai orang kena buang kerja akibat dari kegawatan ekonomi negara dan dunia. Saya selamat dari kemarahannya dalam keadaan tersebut.

Selepas itu saya berhijrah ke Lembah Kelang. Dapat kerja di syarikat multinasional dengan kerjaya yang stabil serta pendapatan mencukupi. Kerjaya tetap itu membolehkan saya mendirikan rumah tangga dan kemudiannya dalam diam-diam mula buat rancangan untuk berhenti kerja pula dan berniaga lagi.

Untuk kali kedua letak jawatan dan berniaga ini, jika tindakan itu diketahui oleh mak, sudah tentu dia akan marah besar. Untuk elakkan diri daripada kena marah, saya rahsiakan terlebih dulu tindakan itu.

Dah berhenti baru beritahu

Selepas dah berhenti beberapa bulan barulah saya rancang untuk ceritakan semuanya pada mak. Untuk itu, saya ambil cuti dua tiga hari sebagai persediaan menghadapi leterennya. Sasaran yang paling penting adalah jangan balik selagi tidak berjaya meyakinkannya.

Bagaimana nak yakinkan mak?

Secara jujurnya saya memang tak tahu bagaimana nak berhadapan dengan perkara tersebut. Sebaik saja saya beritahu kepadanya, dia berastaga tak henti-henti. Jelas terpancar kerisauan pada riak air mukanya. 

Selepas penat berasraga dia hanya diamkan diri tak mahu bercakap dengan saya lagi. Saya buntu dan tak tahu nak buat apa, hanya bertenang dan biarkan mak layan perasaannya terlebih dahulu sehingga dia tenang semula.

Bila nak balik semula ke Lembah Kelang, saya bersalam dengannya. Dia masih tak puas hati ketika meluahkan perasaannya pada saya ketika itu. Dia risau dan memarahi perangai saya yang baginya, tidak fikir tentang keluarga dan anak isteri.

“Hang tak fikir ka pada anak-anak yang masih kecil?", tanya mak.

Saya beritahu padanya yang semua itu sudah saya fikir masak-masak. Sekarang semuanya bergantung kepada pilihan yang mak mahu kan. Saya berikan kepadanya 2 pilihan berikut di bawah.

  1. Mak terus marah dan tidak merestui apa yang saya buat. Hasilnya insyaallah dia akan dapat buktikan kebenaran rasa takutnya itu berlaku, iaitu saya berhadapan dengan kesusahan hidup. Atau ...
  2. Mak tenang dan bersabar serta beri restu terhadap apa yang saya lakukan, reda dengan minat saya diikuti dengan berdoa. Mohonlah pada Allah agar saya berjaya dan selamat, Insyaallah saya yakin, mak akan melihat saya berjaya.

“Mak pilihlah yang mana satu?”, tanya saya perlahan.

Mak terdiam panjang menghadam apa yang telah saya sebut itu. Kemudiannya dengan perlahan dia berkata.

“Aku pilih yang kedua" 

Sejak itu dia tidak pernah lupa mendoakan kejayaan saya siang dan malam.

Alhamdulillah, saya tidak menghadapi kesusahan berniaga walaupun nampak macam susah. Bila ada kesulitan saya telefon mak sekadar bercerita atau mengadu. Biasanya masalah mudah saja selesai bila tiba masanya.

Bagi anda para usahawan, jangan sesekali lupa kan orang tua. Jadikan salah satu tugas anda untuk bahagia kan mereka. Jika mak nak duit, berikan saja padanya semampu mungkin. Tak payah nak tanya dia nak buat apa dengan duit tersebut, berikan saja.

Jangan berikan alasan sibuk untuk lupa menziarahi orang tua. Jika anda tahu betapa mereka rasa gembira dengan kehadiran anda di sisi mereka, sudah tentu anda tidak akan teragak-agak untuk meluangkan masa sekurangnya seminggu sekali untuk balik rumah, semata-mata untuk melihat wajah redup orang tua anda.

Ramai yang sebut, dab bagi saya formula itu memang mujarab.

“Bahagiakan mak, anda akan lebih mudah berusaha dan perniagaan anda insyaallah lancar”

Saya teringat pesan dari seorang kenalan saya, seorang uncle tua berbangsa Cina. Beliau seorang yang kaya raya, namun berkongsi penyesalannya pada saya pada suatu hari.

Sambil air matanya bergenang dia berkata ..

”Seandainya ibu saya masih hidup sekarang, saya akan pastikan setiap hujung minggu untuk memandu dari KL ke Johor Bharu, semata-mata untuk melihat wajahnya"

Segalanya sudah terlambat, ibunya sudah tiada. Ketika ibunya masih hidup dia terlalu sibuk mengumpul harta. Ada saja alasan untuk tidak pulang menziarahi ibunya itu. Cina tua itu berkali-kali pesan pada saya jangan lakukan kesilapan yang telah dia buat. 

Luangkan masa untuk menziarahi ibu anda sekerap mungkin.

Post a Comment

Previous Post Next Post