Terapkan budaya kemas dan susun di mana saja anda berada


Pada satu hari Andrew Carnegie dengan ditemani pengurus kilang, turun melihat keadaan sebuah kilang besi yang baru dibelinya. Dia beli kilang yang berada dalam keadaan yang teruk dan sedang mengalami kerugian.

Dalam lawatan itu dia lihat keadaannya sungguh kotor dan berselerak. Barang-barang besi dan semua peralatan bersepah tidak disusun dengan baik di serata tempat. 

Andrew Carnegie bertanya pada pengurus kilang.

“Kenapa pekerja tidak bersihkan kilang dan tidak menyusun dengan kemas semua peralatan yang ada?”

Pengurus itu dengan selamba menjawab bahawa memang itu sudah jadi amalan kebiasaan cara kerja di kilang tersebut sejak sekian lama. Masa mula beroperasi dulu sahaja mereka sentiasa bersih dan susun setiap peralatan kilang yang dah digunakan setiap hari sebelum balik.

Esoknya, bila datang dan mulakan kerja, keadaan kilang akan kembali berterabur dan berselerak balik. Lama kelamaan mereka buat keputusan untuk biarkan saja keadaan itu. Kalau dibersihkan pun kemudiannya akan kembali berselerak dan kotor semula.

Mendengar penerangan itu, Andrew Carnegie bertanya dengan nada hairan kepada pengurusnya itu.

“Kenapa kamu basuh berak setiap kali selepas berak, bukankah nanti nak berak lagi?”

Tanpa menjawab pertanyaan itu, pengurusnya terus bergegas kepada para pekerja dan mengarahkan mereka susun dan kemas seluruh kilang dengan kadar segera dan pastikan kilang berada dalam keadaan yang tersusun sebelum balik.

Bermula dari perubahan yang ringkas itu sahaja, kilang besi itu mula membuat lonjakan perubahan dan menjana keuntungan.

Budaya kemas dan tersusun

Cuba lihat bilik di rumah atau di pejabat anda. Ada tak benda atau keadaan yang anda malas kemas dan susun secara rutin sebab keadaan itu akan kembali berterabur setelah digunakan setiap hari.

Sama seperti andaian para pekerja kilang besi di atas. Anda sangka walaupun diuruskan dengan baik setiap hari, keadaan berterabur yang sama akan berulang kembali seperti biasa. Maka lebih baik dibiarkan saja begitu.

Ubah keadaan itu. Mungkin sikap itulah yang membawa kepada tahap pencapaian yang statik atau menjunam selama ini. Kemas dan guna kemudian berterabur kemudian kemas semula dan guna dan ulang lagi .. itulah yang buat kehidupan berjalan dan ada perubahan.

Post a Comment

Previous Post Next Post