Untuk berjaya, perlukah rancangan perniagaan disediakan sebelum mulakan sesebuah perniaagan


Dalam dunia teori, rancangan perniagaan adalah satu perkara yang perlu dilakukan jika anda mahu mulakan perniagaan.

Samada anda baca buku panduan perniagaan, sertai mana-mana kursus perniagaan atau tanya mereka belum berniaga, kertas kerja “Rancangan Perniagaan” perlu disediakan sebelum berniaga.

Antara alasan yang diberikan kenapa anda perlu sediakan rancangan perniagaan terlebih dulu adalah seperti berikut.

  1. Mudah mendapatkan bantuan kewangan
  2. Untuk mendalami selok belok perniagaan yang anda nak buat.
  3. Menyediakan plan B atau rancangan alternatif atau penyelamat kalau apa yang dirancang tak menjadi.
  4. Mendapat gambaran jelas terhadap apa yang perlu dilakukan
  5. Merangka lebih awal hala tuju perniagaan
  6. Meyakinkan dan menarik pelabur yang berminat terhadap idea perniagaan anda.
  7. Meyakinkan dan menarik rakan kongsi
  8. Jadikan panduan dan rujukan agar tidak terpesong dari matlamat asal.

Itu antara yang saya ingat dan saya dengar daripada ‘pakar-pakar’ juru perunding perniagaan samada di buku, radio atau TV. Mereka semua memberikan alasan yang sama.Malah merasakan bahawa antara punca orang gagal dalam perniagaan adalah kerana tidak menyediakan rancangan perniagaan terlebih dahulu.

Hakikat sebenar rancangan perniagaan

Bagi saya, rancangan perniagaan hanyalah idea juru perunding perniagaan. Kebanyakan daripada mereka yang mengajar bakal usahawan bagaimana mahu buat rancangan perniagaan biasanya berkongsi satu pengalaman yang sama.

“Mereka tidak pernah berniaga melainkan menjalankan pekerjaan sebagai juru perunding atau tenaga pengajar bagaimana nak berniaga”


Begitulah juga dengan para pegawai bank, pegawai dari agensi kewangan kerajaan seperti MARA, PUNB, Tekun atau mana-mana institusi kerajaan lain yang kerjanya membantu dan menggalakkan usahawan atau bakal usahawan untuk berniaga. Mereka belajar tinggi mendalami segala teori tentang keusahawanan.

Para pegawai tersebut akan merujuk pada rancangan perniagaan yang terpaksa di sediakan oleh usahawan atau bakal usahawan sebagai syarat meluluskan pinjaman.

Yang agak lucu bagi saya adalah, mereka yang mengkritik kertas kerja rancangan perniagaan berdegar-degar, itu dan ini tentang aktiviti perniagaan yang mahu dijalankan pada hakikatnya tidak pernah berniaga. Malah ada yang pernah tetapi gagal.

Ada di kalangan usahawan yang bertungkus lumus menyediakan rancangan perniagaan dan kemudian dengan penuh harapan membentangkan pada para pegawai tersebut. Malangnya dia telah ditolak mentah-mentah tanpa belas kasihan siap dengan komen yang cukup memedihkan.

Yang biasa berlaku, usahawan kemudiannya campakkan saja kertas kerjanya itu ke dalam tong sampah dan dengan gigih meneruskan juga usaha niaganya itu. Kemudiannya dia berjaya. Dia berjaya tanpa merujuk pada kertas kerja rancangan perniagaan, dan tanpa bantuan kewangan daripada para pegawai yang tak pernah berniaga tadi.

Ada juga kes di mana bakal usahawan menyediakan kertas kerja yang hebat dan menarik minat para pegawai yang mendengarnya. Disebabkan idea itu hebat berdasarkan para pegawai, mereka lalu meluluskan pinjaman yang besar.

Tapi malangnya usahawan itu menjadi tidak ketahuan. Rancangan Perniagaan yang hebat dalam kertas kerja itu bila cuba dilaksanakan, lingkup. Cuba tanya pegawai MARA statistik mereka lulus pinjaman berbanding jumlah atau peratusan yang berjaya.

Berjaya tanpa kertas kerja

Kebanyakkan yang berjaya dalam perniagaan yang anda lihat sekarang, mereka mula tanpa rancangan perniagaan.

Sepanjang berkawan dengan para usahawan, hampir semua rakan usahawan saya yang berjaya, memulakan perniagaan tanpa menyediakan rancangan perniagaan terlebih dahulu. Mereka terjun berniaga berbekalkan apa yang ada di dalam kepala sahaja. 

Fokus kepada tindakan dengan pantas, kenal pasti kesilapan lalu dibaiki tanpa kenal erti putus asa. Bergerak maju sedikit demi sedikit dan mereka akhirnya berjaya.

Dalam satu buku yang saya baca semua orang paling kaya di setiap bandar Amerika berjaya dalam perniagaan masing-masing tanpa terlebih dahulu menyediakan rancangan perniagaan.

Bagi kebanyakkan usahawan diluar sana, sedang anda sibuk menyediakan rancangan perniagaan, mereka sudah mendahului idea anda. Mereka tidak pernah membuang masa menyediakan rancangan perniagaan.

Pengalaman sendiri berniaga

Adakah saya sediakan rancangan perniagaan masa mula nak berniaga dulu?

Bagaimana saya jalankan perniagaan Pest Control ini. Adakah saya menyediakan rancangan perniagaan terlebih dulu sebelum terjun berniaga dan berjaya membina syarikat yang ada sekarang?

“Tidak!”

Saya tak pernah buat rancangan perniagaan untuk perniagaan pest control ini.

Bagi saya yang diperlukan adalah, keyakinan tinggi untuk berjaya serta yakin dengan keupayaan diri sendiri. 

Jika anda punya tabiat bertanya, berfikir, belajar dan buat penambah baikan anda sebenarnya sedang membuat kertas kerja rancangan perniagaan di dalam kepala. 

Panduan yang terbaik yang saya tahu dalam bab perniagaan ini adalah, tembak terlebih dahulu, kemudian lihat dan baru sasarkan. Dalam erti kata lain, buat dulu, kemudian baru buat sasaran serta perbaiki sampai kena.

Siapa perlu kertas kerja

Habis bila perlu buat rancangan perniagaan?

Ia hanya perlu jika anda mengambil sijil atau diploma keusahawan. Atau apabila anda nak mulakan perniagaan dengan cara mendapatkan pinjaman sepenuhnya daripada institusi bantuan kerajaan seperti MARA, PUNB, atau mana-mana bank perniagaan. Mereka letakkan syarat itu, mahu tak mahu terpaksa lah ikut.

Anda juga perlu tahu serba sedikit berkenaan pemasaran dan jualan. Perlu ada keupayaan untuk belajar dan kenal pasti mana yang boleh pakai dan mana yang tak boleh pakai. Yang boleh gandakan manakala yang tak boleh, hentikan.

Boleh bukukan semua maklumat seperti dalam rancangan perniagaan, tapi tak perlu secara formal. Untuk buat semua itu anda hanya perlu ada buku 555 yang kecil sahaja.

Post a Comment

Previous Post Next Post