Jika ditanya samada mahu berjaya dalam hidup atau tidak, pasti semua orang akan jawab Ya!.
Saya yakin semua yang jawab YA itu jujur terhadap pengakuan mereka. Memang tak ada orang yang tak mahu berjaya dalam kehidupan mereka. Walaupun takrifan kejayaan pada setiap orang berbeza-beza, namun semuanya sepakat bersetuju bahawa hidup adalah berbaloi jika anda berjaya.
Untuk permulaan, cuba fikirkan soalan ini.
Apa erti berjaya bagi anda?
Erti berjaya bagi saya
Sebelum diteruskan artikel ini, saya berikan garis panduan makna kejayaan yang saya pegang selama ini. Ada 4 elemen penting yang perlu ada untuk melayakkan diri anda diiktiraf sebagai telah mencapai kejayaan.
4 elemen tersebut adalah seperti berikut.
1. Pencapaian - Manusia akan rasa bangga dan berpuas hati sekiranya dia mensasarkan sesuatu, berusaha sehingga berjaya mendapatkannya. Tak kisah apa yang anda sasarkan samada anda sendiri yang tentukan atau sasaran itu ditentukan oleh orang lain. Apabila ia dicapai, anda dianggap berjaya. Orang yang hidup tanpa ada satupun pencapaian adalah seumpama tongkol kayu yang hanyut di dalam sungai.
2. Kepuasan diri - Ada orang yang berusaha jadi cikgu, masuk maktab, belajar sampai tamat dan akhirnya dinobatkan jawatan sebagai seorang guru, semua itu dilakukan atas kehendak ibubapa. Bukan dia yang mahu. Ibubapa yang teringin nak tengok anak dia jadi cikgu. Ia merupakan salah satu dari elemen kejayaan bila anda berjaya penuhi harapan ibu bapa tersebut. Tapi jika itu bukan kemahuan anda sendiri, tidak ada kepuasan diri sekalipun anda telah berjaya mencapainya. Oleh itu, elemen kepuasan diri ini mesti ada untuk pastikan ia memenuhi kriteria kejayaan yang ke-2.
3. Ada sumbangan kepada masyarakat - Berjaya melakukan sesuatu untuk kebaikan diri dan kepuasan diri sendiri saja masih tidak lengkap seandainya apa yang anda capai itu tidak ada apa-apa sumbangan kepada masyarakat. Kajian menunjukkan rasa bahagia dapat menyumbang sesuatu kepada orang lain akan kekal dalam tempoh masa yang sangat lama. Itu kebahagiaan yang semua orang cari dalam kehidupan.
4. Ada warisan yang baik - Jika sumbangan kepada masyarakat dapat membahagiakan anda, tapi jika asyik berikan tumpuan hanya kepada orang saja dan abaikan keluarga, anda tidak akan dapat mencapai apa yang dikatakan sebagai kejayaan dalam hidup. Perlu tinggalkan sesuatu yang berguna kepada anak dan cucu. Perlu pastikan anak cucu anda rasa bangga dengan apa yang telah anda lakukan ketika hidup.
Dengan adanya 4 elemen tersebut di atas, insyaallah akan selamat sejahtera kehidupan anda dan yang paling penting hidup yang pendek dan sementara di dunia ini akan rasa sangat berbaloi.
Seperti yang saya sebut di atas tadi, semua orang nak berjaya, tapi lama kelamaan rasa nak berjaya itu tenggelam terus dek kesibukan hidup mencari makan saban hari sehingga sering keletihan. Akhirnya semangat umahu berjaya mula pudar dan hilang.
Untuk mendapatkan semula rasa ingin berjaya, saya gariskan 6 perkara yang perlu diamalkan seperti di bawah.
1. Ada kemahuan yang mendalam.
Ada sekali Socrates sedang berjalan kaki dengan salah seorang anak muridnya yang bertanya bagaimana caranya untuk berjaya menjadi seorang yang bijak dan berilmu seperti gurunya itu. Socrates tidak menjawab terus soalan tersebut sehinggalah mereka melalui sebuah kolam takungan air.
Sebaik saja sampai di kolam tersebut, tiba-tiba Socrates mencekak kepala anak muridnya dan ditekan masuk ke dalam kolam. Anak murid nya cuba meronta untuk melepaskan diri tapi Socrates memegang kuat menekan terus ke dalam air tersebut.
Setelah rontaan makin lama makin kuat, akhirnya Socrate mengangkat semula kepala anak muridnya keluar dari kolam air itu.
Tercungap-cungap anak muridnya, lega bercampur marah lalu bertanya kehairanan kenapa gurunya berbuat demikian. Socrates menjawab, bagaimana anak muridnya inginkan udara ketika berada di dalam air itu, begitulah keinginan yang sama kuat perlu ada untuk berjaya.
Barulah anak muridnya faham pelajaran penting untuk berjaya pada hari itu.
Mahu ni ada 2 jenis. Pertamanya masuk dalam kategori angan-angan ringan sahaja sekadar meluangkan masa lapang. Kemahuan begini tidak membawa sebarang kesan terhadap tindakan.
Perlu pupuk keinginan untuk berjaya agar ia membesar sama kuat seperti mana orang yang tak dapat bernafas inginkan udara.
Cuba buat senarai semua keinginan yang anda ada untuk berjaya yang lebih spesifik dan berikan penilaian antara 1 sampai sepuluh dengan markah 10 menunjukkan tahap yang paling anda dambakan.
Tapis semua keinginan yang mencecah angka 10 dan buang selain dari itu. Jangan banyak sangat keinginan buat sementara waktu ini. Cukup sekadar 3 saja dan akhir sekali pilih satu saja dari 3 itu.
Mula berdoa setiap hari mohon kepada Allah agar anda diberi petunjuk dan keazaman yang mendalam untuk mendapatkan apa yang anda inginkan tersebut.
2. Tak kenal maka tak cinta
Mula cari maklumat untuk mencapai kehebatan yang anda inginkan tersebut supaya lebih jelas dan mendalam kefahaman anda terhadapnya. Semakin kenal, maka semakin anda jatuh cinta kepada keinginan tersebut, semakin kuat keinginan untuk mendapatkannya
Layari internet, google, tanya pada yang tahu, membaca dan lain-lain sebagainya untuk dapatkan segala maklumat yang diperlukan agar jalan mendapatkannya ditemui.
3. Refleksi diri
Bertafakur setiap hari selama sekurang-kurangnya 27 minit. Mereka yang mengamalkan tafakur setiap hari mampu mengubah cara otak berfikir selepas 8 minggu. Amalkan sehingga ia jadi tabiat dalam diri anda.
Cari tempat yang sesuai, yang tenang dan sebaiknya biar ia tempat yang sama untuk diamalkan setiap hari. Itu akan membentuk tabiat yang melekat dalam diri anda.
4. Rehat bila penat
Cara terbaik untuk rehat adalah untuk jadikan amalan tidur siang sebentar selama sekurang-kurangnya 20 minit. Rehat dan sediakan minda anda untuk kerja yang seterusnya. Jadikan ia sebagai tabiat harian.
5. Jangan paksa diri
Lakukan perubahan atau latihan secara lancar tanpa ada perasaan risau dan tidak yakin. Berikan tempoh secukupnya untuk otak melaksanakan kerjanya.
Mereka yang berusaha menguasai sesuatu perkara baru secara tenang tanpa ada kerisauan mampu mencapai kemahiran baru itu 80% lebih tinggi dari mereka yang berada dalam tekanan untuk mendapatkannya. Jadi sila relaks.
6. Ulang dan ulang
Ini perkara wajib dan terbukti sentiasa berjaya untuk menguasai sesuatu.
Seperti kata Aristotle.
Anda adalah apa yang sering anda ulang lakukan, oleh itu kecemerlangan adalah sesuatu yang boleh dibentuk.
Kajian menunjukkan masa yang diperlukan untuk mengubah atau mendapatkan apa yang anda mahu melalui cara yang saya sebutkan di atas adalah selama 8 minggu sahaja.
Jom sama-sama kita lakukannya.