Nasihat berbeza dalam bisnes - 10 perkara yang perlu ada untuk buatkan perniagaan anda berjaya


Saya ada ikuti pendapat bagaimana nak jadikan sesebuah perniagaan itu berjaya oleh seorang bekas usahawan yang sekarang dah beralih arah lebih kepada falsafah kehidupan. Namanya Martin Butler.

Dia seorang ahli fizik teori yang habiskan doktoratnya terhadap teori umum relativity Einstein. Selepas habis belajar dia rasa agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Lalu dia mula membuat kerja-kerja analisa terhadap teknologi maklumat. 

Dia bernasib baik apabila kerja itu bertukar jadi sebuah bisnes yang berjaya bermula pada tahun 1990 dengan kosong, dan dia menjual bisnes yang dimulakan itu selepas 15 tahun menjalankannya. Ketika menjual bisnes tersebut, dia ada 150 orang pekerja di bawah syarikatnya.

Pandangannya terhadap usaha menjayakan sesebuah perniagaan agak berbeza berbanding apa yang semua orang selalu katakan. 

Bagi saya, ia sangat bernilai dan lebih realistik serta mudah faham. Berikut saya kongsikan nasihatnya di bawah ini.  

1. Nasib baik

Ini perkara utama yang perlu ada untuk membuatkan perniagaan anda sukses. Berada di tempat yang betul, pada masa yang betul dengan produk yang betul. 

Itu namanya bernasib baik sebab untuk merancang ketiga-tiga perkara tersebut berlaku serentak adalah hampir mustahil. Terlalu banyak pemboleh ubah atau faktor yang menentukan semua perkara tersebut berlaku serentak.

Jadi berdoalah sekerap mungkin, tanpa jemu agar anda dikurniakan rezeki yang sedemikian.

2. Cuba banyak kali

Ada orang yang mencuba 18 perniagaan tapi semuanya gagal kecuali satu. Dan yang satu itu benar-benar membuatkan dia menjana kekayaan dan kejayaan yang besar. Dan dia kekal dengan bisnes tersebut.

Oleh itu, jangan jemu mencuba banyak kali. Untung nasib anda baik, satu menjadi sudah memadai.

3. Leverage

Ambil kesempatan terhadap kelebihan yang anda ada pada tahap yang paling maksimum. Jangan lengah dan jangan buat separuh hati terhadap kelebihan itu. Pulun betul-betul dan pergunakan ia sesungguh hati.

Contohnya jika anda mendapat peluang sebagai satu-satunya ajen terhadap produk yang punya permintaan tinggi, buat betul-betul secepat kilat supaya produk anda sampai di segenap penjuru tempat tanpa gagal.

Jangan sampai ada orang lain cantas atau tiru atau ciplak. Pertahankan peluang itu dan jual dan jual sebanyak mungkin.

4. Jangan dengar nasihat profesional

Nasihat dari pro biasanya adalah untuk buat perancangan yang betul, buat unjuran, sediakan plan dan bajet yang tepat untuk pastikan bisnes anda berjaya. Hakikatnya semua itu tidak ada apa-apa makna ketika anda baru memulakan perniagaan.

Anda tak tahu apa bakal berlaku pada perniagaan yang baru bermula. Semua unjuran dan perancangan itu tidak berguna.

Malah jika perniagaan anda sudah berjalan dengan baik, semua bajet serta unjuran secara terperinci oleh ahli profesional itu tidak menentukan kejayaan bisnes anda.

Apa yang anda perlu lakukan hanyalah patikan duit anda dibelanjakan pada perkara yang mendatangkan hasil. Itu saja.

5. Peka

Anda perlu ada deria yang sensitif terhadap mengenal pasti apa yang boleh jalan dengan apa yang tak boleh jalan. 

Mana yang jalan, gandakan lagi usaha terhadap perkara tersebut. Manakala yang tak bergerak buang saja atau hentikan.

Hanya keadaan peka dalam melakukan kerja anda dalam perniagaan sahaja yang akan membantu untuk anda pilih mana yang jalan dan mana yang tidak.

6. Tiada nilai sentimental

Untuk pastikan perkara di atas berlaku, mesti ada keupayaan untuk menghapuskan apa yang anda sayang sekiranya ia tidak berjalan sebagaimana yang anda harapkan. Suka macam manapun, kalau tidak memberikan hasil, hapuskan atau hentikan saja.

Ini banyak menggagalkan para usahawan. Tak sanggup buang aktiviti, atau idea perniagaan yang dia sangat suka dan sayang. Anda tak kan mampu ajar orang untuk buat keputusan apa nak beli dan di mana nak belanjakan duit mereka. Kalau orang nak beli dia akan beli, kalau dia tak nak beli, tinggalkan saja idea tersebut.

7. Bisnes yang susah

Perlu ada sekatan yang baik untuk pastikan orang lain yang nak buat bisnes yang sama jadi susah. 

Lagi tinggi sekatan, lagi bagus. Kalau boleh biar semua orang tak boleh buat bisnes itu melainkan anda saja.

Jika anda buat bisnes yang siapa saja boleh mulakan, akhirnya anda akan lawan harga makin lama makin rendah. Tak ada bisnes yang akan berjaya bila jual sampai tak ada untung.

8. Jangan pertaruhkan segalanya untuk bisnes

Pertahankan apa yang anda ada, jangan sampai habis.

Sebab 9 dari 10 bisnes akan gagal dalam tempoh setahun pertama mereka jalankan perniagaan. Jadi jangan buat perkara bodoh untuk pertaruhkan apa yang anda ada untuk perkara berisiko tinggi begitu.

Perniagaan yang betul akan menjana pulangan yang baik tanpa perlu menyuntik modal yang terlalu tinggi sehingga habis apa saja harta kekayaan yang anda ada. Suntik duit pada bisnes yang nak mati adalah kerja sia-sia. Ia tetap akan mati juga. Perlu tahu bial nak berhenti.

Jika kena perniagaan yang dijalankan, anda akan mendapat pulangan lumayan. Jika tak kena, buatlah apapun, ia hanya akan menghabiskan tenaga dan duit yang anda ada saja. Terima hakikat jika bisnes yang anda buat itu tidak menguntungkan, tinggalkan saja dan cari bisnes lain.

9. Kerja keras tidak membantu

Sekeras manapun anda berusaha, kerja sampai 16 jam sehari, jika bisnes itu tak menguntungkan, ia tetap tidak akan berubah menjadi untung. Tak perlulah tambah lagi kerja keras anda 3 ata 4 jam lagi kerana ia tidak akan membantu.

Sama macam di atas tadi, kalau bisnes nak mati, ia tetap akan mati. Kerja keras tak membantu. Mula kerja keras hanya pada benda yang nak hidup sahaja. Ketika itu insyaallah akan ada impak.

Jadi, pastikan anda curahkan tenaga pada bisnes yang betul dan kerja yang ada hasil.

10. Perlu daya ketahanan

Dalam perjalanan anda berusaha menjayakan perniagaan, sudah tentu akan ada naik dan turun. Anda perlu bertahan, belajar dari apa yang berlaku dan melakukan perubahan jika perlu sehingga ia membuahkan hasil.

Jika tak ada daya ketahanan yang tinggi, anda tak akan mampu melakukan semua itu. Orang lembek tak ada tempat dalam urusan perniagaan.

Selepas anda berjaya membina perniagaan anda, fikirkan untuk menjualnya kepada entiti yang berminat. Tak payah cari venture capital atau angel capital untuk jual share perniagaan anda itu.

Cari sendiri mana-mana syarikat yang perlukan bisnes anda tersebut dan jual dengan harga yang betul. Dengan duit yang anda dapat, hidup aktif sebagai orang pencen.

Post a Comment

Previous Post Next Post