Ubah kehidupan tambah duit simpanan bermula dengan kemas almari pakaian


Tajuk di atas tu orang putih panggil 'clickbait'. Tajuk yang sengaja dibuat untuk menarik orang agar teringin nak baca. Tentu anda tertanya-tanya apa kaitan tambah duit simpanan dengan kemas almari pakaian.

Teknik ni boleh diguna pakai oleh anda yang selama ini cukup pendapatan, tapi tak pernah dapat menabung. Duit simpanan tak dapat diadakan. Jika berlaku apa-apa keperluan terkejut, tentu gelabah untuk selesaikannya.

Saya rasa itu masalah paling kerap berlaku kepada golongan makan gaji yang ada pendapatan tetap masuk setiap bulan. Banyak mana masuk, banyak itulah juga yang keluar ngam-ngam sehinggalah datang semula bulan yang baru.

Yang peliknya, bila pendapatan bulanan ada peningkatan, maka secara automatik, belanja juga akan turut sama naik. Masih tak dapat kekalkan cara belanja sebelum itu supaya jumlah kenaikan itu dapat dijadikan tabungan. Kena sumpahan apa pun tak tau lah!.

Semua itu dapat diubah seandainya anda ada 2 ciri-ciri berikut di bawah.

  1. Rumah berselerak - Anda tinggal di sebuah rumah yang penuh berselerak dengan barang-barang
  2. Suka membeli - Rajin keluar rumah cari duit untuk membeli barang-barang lagi, bagi menambah koleksi simpanan barang-barangnya di rumah.

Kebiasannya, anda yang punya ciri-ciri di atas, akan turut sama ada penyakit suka beli barang bila ada duit. Ia dah jadi tabiat, iaitu berlaku secara spontan tanpa perlu dipaksa atau tanpa disedari.

Tabiat itulah yang mahu diubah sekarang dengan menggunakan teknik kemas almari rumah. Ia mampu dijadikan sebagai permulaan membina sikap hidup ringkas supaya anda mampu jadi kaya.

Permulaan kemas almari ini diharapkan dapat membuatkan wang anda berlebihan sedikit daripada kebiasaan. Dari situ, diharap dapat dijadikan motivasi melebarkan teknik ini pada sudut dalam rumah, yang lain pula.

Kemas almari rumah

Pergi buka semua almari pakaian yang ada dan keluarkan semua pakaian kepunyaan anda yang ada di dalamnya satu persatu.

Asingkan  mengikut jenis seperti berikut:

  1. Pakaian yang sering anda gunakan
  2. Pakaian yang jarang digunakan
  3. Pakaian yang tak pernah digunakan

Ada dapat perhatikan berlakunya fenomena 80/20. Anda akan dapati dalam keseluruhan baju yang ada, hanya 20% sahaja dariya yang anda gunakan 80% daripada masa. Lebihan 80% daripada pakaian dalam simpanan itu hanya digunakan 20% daripada masa kita.

Dalam bahasa mudahnya jika jumlah pakaian anda 100 helai, anda akan dapati, lebih kurang 20 helai sahaja yang paling kerap di pakai, iaitu 80% dari masa yang anda ada.

Anda akan dapati jenis pakaian dalam kategori kedua dan ketiga menjadi koleksi paling banyak dalam almari pakaian.

Kemas semula almari

Setelah selesai mengklasifikasikan ketiga jenis pakaian di atas. masukkan semula jenis yang pertama ke dalam almari. Iaitu jenis yang memang anda sentiasa pakai dan gunakan.

Anda akan dapati ruang almari menjadi cukup luas dan lapang.

Semak semula pakaian jenis kedua dan simpan satu atau maksimum dua saja pakaian yang anda gunakan untuk:

  • Majlis perayaan seperti hari raya atau
  • Majlis formal seperti makan malam atau lain-lain seumpamanya.

Simpan hanya yang terbaik, tercantik, terbaru dan paling anda suka sahaja untuk kategori ini. Selebihnya jadikan ia sebagai kategori yang ketiga.

Biasanya jumlah pakaian dari jenis ketiga ini masih tetap jauh lebih banyak daripada kategori pertama.

Semak lagi untuk kali terakhir

Mulakan membelek satu persatu pakaian jenis ketiga ini buat kali terakhir.

Biarkan jenis ini melekat dalam kepala kerana kenangan sedih ini akan digunakan dalam kehidupan anda seterusnya. Setelah puas membelek, anda boleh buat keputusan samada mahu hadiahkan pada kawan baik atau orang susah.

Anda boleh juga jual dalam bentuk bunddle atau hadiahkan pada organisasi kebajikan. Kalau tak ada yang layak buang sahaja dan jadikan sebahagiannya sebagai kain buruk.

Perhatikan semula jenis yang pertama

Kini tiba masa untuk membuat sedikit kajian terhadap pakaian daripada jenis yang pertama tadi. Fikirkan dan buat analisa kenapa anda suka pakai pakaian tersebut secara rutin.

Kenal pasti apa ciri-cirinya dan buat catitan pada buku nota. Spesifikasi yang telah disenaraikan tadi perlu digunakan setiap kali anda mahu membeli pakaian baru jika perlu. 

Ini akan membuatkan setiap pakaian yang dibeli akan lebih terjamin bukan satu pembaziran dan bukan dibeli semata-mata atas tipudaya promosi jurujual.

Mulakan gaya hidup baru

Selesai semua aktiviti kemas almari rumah di atas menandakan satu permulaan kehidupan ringkas dalam hal berpakaian.

Anda hanya mempunyai pakaian yang benar-benar berguna dan sering dipakai. Anda juga akan secara automatik menghindari kesilapan membeli pakaian yang tidak diperlukan apabila sering teringatkan semula berbakul-bakul pakain jenis itu yang telah disingkirkan dari almari pakaian dirumah.

Wang pendapatan bulanan akan mula ada lebihan sedikit untuk dijadikan wang simpanan sebagai modal untuk diternakkan agar membiak dalam jangka panjang.

Anda sudah mula menjadi orang kaya baru. Orang kaya dalam makna hidup ringkas.

Selamat mencuba kemas almari rumah untuk permulaan membentuk sikap jadi kaya, semoga berjaya, Insyallah!

2 Comments

  1. tip yang sangat menarik untuk dicuba dan jika belum biasa untuk melakuknanya memang akan rasa kesukarannya

    ReplyDelete
Previous Post Next Post