Bila berniaga, jangan kedekut bayar gaji, segera ambil pekerja dan besarkan perniagaan


A
da satu petua menarik tentang memilih orang yang anda mahu jadikan ketua paling tinggi di dalam organisasi yang anda bina. Carilah individu yang paling bijak dan dalam masa yang sama paling malas.

Jika individu sedemikian seorang yang punya cita-cita tinggi, maka dia akan jadi boss yang cemerlang untuk membantu anda membina organisasi ke tahap yang paling tinggi.

Untuk cari pekerja bawahan pula, pastikan anda ambil mereka yang tak berapa bijak tetapi sangat rajin. Letakkan mereka di bawah individu yang saya sebut di atas tadi, maka organisasi anda akan melonjak naik dengan hebat.

Secara ringkasnya, hanya 2 kategori di atas saja yang perlu anda pertimbangkan untuk diambil pekerja. 'bijak tetapi malas', dan 'kurang bijak tetapi rajin'

Selain dari 2 kategori itu, tak payah pertimbangkan.

Maksudnya, pastikan tak ada pekerja anda yang masuk kategori bijak dan rajin, tak perlu juga ada mereka yang bodoh dan malas.

  1. Bijak & Malas - YES, Jadikan Boss Besar
  2. Bodoh & Rajin - YES. Jadi orang bawahan Boss Besar di atas
  3. Bijak & Rajin - NO, buang dan biarkan dia kerja sendiri saja.
  4. Bodoh & Malas - NO, tak perlu risau sebab mereka tak akan keluar cari kerja.

Ingat petua tersebut dalam menguruskan organisasi anda. Saya tak akan terangkan rasional kenapa jadi begitu di sini. Insyaallah dalam artikel lain mungkin akan di terangkan.

Ambil pekerja secepat mungkin

Jika anda berniaga, waktu awal menjalankan perniagaan memanglah perlu usaha kurangkan kos serendah mungkin. Itu boleh difahami untuk pastikan bisnes anda dapat bertahan dan maju ke depan.

Sebab itu usahawan yang tulin, hampir semuanya akan bermula dengan melakukan sendiri hampir semua kerja yang dia boleh. Disamping menjimatkan kos, dia juga perlu selami selok belok perjalanan dan segala masalah yang perlu dilalui.

Tapi jangan kekal buat semua kerja sendiri terlalu lama. Berusaha sebaik mungkin sehingga anda mampu merekrut pekerja dengan cepat. Itu juga sebabnya kenapa anda perlu lalui fasa di mana semua kerja perlu dibuat sendiri terlebih dahulu supaya anda dapat ajar orang bawah bila dah mampu merekrut pekerja nanti.

Dengan buat semua kerja sendiri terlebih dulu, kemudian mula rekrut dan ajar orang bawah, anda boleh pastikan tugas yang perlu diserahkan kepada pekerja bawahan. Sebagai usahawan, anda akan hidup susah jika tak tahu atau tak mahu serahkan tugas pada orang bawahan.

Kalau boleh, semua tugas elok diserahkan pada orang bawah saja. Anda hanya buat kerja yang strategik iaitu, berfikir bagaimana nak memudahkan lagi semua tugasan, dalam masa yang sama meningkatkan kecekapan.

Mula uruskan pekerja

Untuk pastikan syarikat berkembang anda perlu segera mengambil pekerja sebaik saja kewangan mengizinkan.

Paling kurang mulakan dengan mengambil kerani yang melakukan kerja-kerja remeh-temeh seperti menaip surat, mengisi borang, menyusun fail, angkat telefon, buat inbois, hantar surat, fax, pentadbiran mudah dan lain-lain lagi.

Saya ada kenal beberapa kawan usahawan yang buat semua kerja perkeranian yang disebut di atas itu sendiri. Kerja remeh yang banyak sehingga seluruh ahli keluarga yang tak ada kena mengena terpaksa turun tolong laksanakan kerja-kerja tersebut. Jangan sampai jadi sebegitu.

Bila dah ada pekerja, berikut beberapa petua bagaimana anda boleh menguruskan mereka dalam memberikan tugasan. 

Ingat! setiap pekerja tidak sama keupayaannya. Ia bergantung pada tahap mana anda harapkan dia bertugas, samada tahap perkeranian ataupun tahap pengurusan rendah, sederhana atau tinggi.

Ini apa yang anda perlu lakukan.

  • Memberi arahan – jika pekerja anda baru mula bekerja atau sedang belajar perkara yang baru. Jangan main lepas dengan anggapan dia sudah tahu semua.
  • Memberi bimbingan – jika pekerja anda sedang belajar perkara baru tapi memerlukan kebebasan melakukan kesalahan untuk belajar. Biasanya jenis ini nampak berpotensi dan berani mencuba dan ada sikap mahu maju.
  • Memberi sokongan – Jika pekerja anda berpotensi tinggi tetapi kurang berkeyakinan. Jenis pekerja sebegini berpengalaman, cuma tidak pernah diberikan tanggung jawab penuh untuk mengepelai sesuatu tugasan.
  • Mewakilkan – Jika pekerja anda bermotivasi tinggi, cekap dan berpengalaman. Jenis ini biasanya berpotensi untuk anda lepaskan membuat kesemua tugasan tanpa pemantauan yang ketat. Anda cuma perlu dapatkan maklumat darinya sekadar untuk tahu dan bukannya untuk mengajar. Anda perlukan jenis pekerja sebegini untuk membolehkan anda tak ke pajabat sebulan tanpa memberikan apa-apa kesan pada perjalanan syarikat.

Jangan ragu-ragu untuk membentuk satu kumpulan yang mantap dalam syarikat anda dan biarkan mereka menjadi orang penting dalam membawa syarikat ke tahap yang lebih bagus.

Anda sebagai boss tak perlu buat apa-apapun selain daripada menggunakan otak dan mencari idea bagaimana untuk buat 2 perkara penting berikut.

  • Bagaimana nak jadikan syarikat sebagai majikan yang semua orang hebat berebut nak kerja.
  • Bagaimana dapat jadikan syarikat di mana semua orang yang ada duit berebut nak berurusan. Bank nak bagi anda duit, pelanggan nak beli produk atau servis, pelabur nak suntik dana masuk dan sebagainya.

2 perkara itu saja yang paling penting buat pemilik syarikat. Selain dari urusan itu, serahkan pada orang bawah atau kumpulan mantap yang telah anda bentuk.

Post a Comment

Previous Post Next Post