4 keburukan yang terhapus dari diri anda hanya dengan mengamalkan sikap rajin mengemas rumah


Lihat rumah anda sekarang.

Hanya ada 2 jenis orang dalam kes keadaan rumah ni. Pertama, rumahnya berselerak. Kedua, jenis yang rumahnya sentiasa dalam keadaan kemas rapi, tersusun dan kelihatan selesa dan lapang.

Anda jenis yang mana satu?

Ada orang rumahnya beterabur di sana-sini tidak tersusun sehinggakan nak jalan pun susah, terpaksa menyelit elakkan diri dari halangan. Jika ditanya kenapa jadi begitu, jawapannya mungkin, “aku jenis orang yang simple!"

Dia rasa, amalannya begitu adalah lambang hidup ringkas!

Bagi saya, untuk mengamalkan satu kehidupan yang ringkas anda tidak dapat mengelak daripada melakukan pembersihan, penyusunan dan penyingkiran semua barang yang tidak digunakan.

Maksudnya, hidup ringkas bukan amalan seorang pemalas yang membiarkan rumah berselerak. Malah mengemas rumah merupakan salah satu dari ciri-ciri hidup ringkas yang utama.

Untuk hidup ringkas, akal perlu sedar. Hanya mereka yang menggunakan akal dan sentiasa rajin membaiki keadaan sahaja yang akan berjaya untuk hidup ringkas. Tujuan utama untuk hidup ringkas adalah untuk berada di jalan yang selamat dunia akhirat.

Perkara penting yang nak saya beritahu di sini adalah, walau apapun yang terjadi anda perlu mengemas rumah!

Keadaan sekeliling yang berterabur mampu memberikan kesan negatif yang mungkin anda tak sangka. Keadaan persekitaran negatif sebegitu mampu menyerang kacau tubuh badan dan juga minda anda tanpa di sedari.

Sikap suka campak dan longgok apa saja barang dalam rumah membuatkan anda menjadi terbiasa dan menerima keadaan tersebut sebagai normal. Itu apa yang anda rasakan secara sedar. Tetapi perlu diingat bahawa minda separa sedar anda tidak begitu, ia memberikan kesan yang negatif.

Kesan rumah berselerak

Berikut saya senaraikan beberapa perkara penting yang boleh berlaku kepada mereka yang tidak mengemas rumah dan membiarkan keadaan rumah berselerak. Semua yang saya sebut di bawah adalah berdasarkan kajian oleh mereka yang pakar.

1. Takut kepada masa hadapan.

Jika rumah berselerak anda bakal berhadapan dengan masalah kerisauan untuk menghadapi masa depan. Keadaan itu berlaku dalam minda tanpa disedari.

Anda tenggelam di belenggu kisah silam yang ada terpendam pada barangan yang berterabur di merata tempat dalam rumah anda.

Hasilnya, perkembangan masa hadapan anda jadi terbantut.

Anda mungkin tak sedar perkara itu adalah jawapan kepada persoalan kenapa anda masih di takuk lama sedangkan ramai kawan-kawan yang lain sudah jauh ke depan, maju meninggalkan anda.

Untuk mengesahkan perkara yang saya sebut ini, sila buat kajian pemerhatian sendiri. Pergi lihat keadaan rumah atau pejabat rakan anda yang sudah maju.

Jangan hanya lihat seorang dua, perhatikan seramai mungkin kawan-kawan yang sukses sebagai bahan kajian anda. Bandingkan keadaan rumah dan pejabat mereka dan lihat keadaan rumah atau pejabat anda sendiri.

2. Gemuk 

Samada anda percaya atau tidak keadaan rumah yang berterabur merupakan salah satu penyumbang kepada keadaan badan anda yang gemuk berlebihan.

Itu merupakan penemuan seorang pakar, Karen Kingston, setelah melakukan kajian yang lama terhadap masalah rumah berselerak ini.

Beliau dapati, mereka yang berselerak rumahnya seringkali berhadapan dengan masalah kegemukan. Ia ada kaitan dengan sikap dan cara berfikir yang  terperangkap pada masa silam dan badan juga mengambil sikap yang sama dengan menyimpan berbagai lemak dan tenaga sebagai reaksi dari cara anda berfikir.

3. Suka bertangguh. 

Anda yang tidak menyusun dan mengemas rumah, sering dibiarkan dalam keadaan berselerak lazimnya berhadapan dengan masalah suka menangguhkan kerja.

Keadaan yang berselerak itu membantutkan selera anda untuk bekerja. Ia juga mampu menghilangkan motivasi serta daya tumpuan.

4. Masalah kewangan 

Membiarkan keadaan rumah berselerak menyebabkan kos kehidupan anda jadi meningkat.

Ini berkisar daripada sikap anda yang membeli sesuatu barang yang dirasakan akan digunakan (konon) pada satu masa nanti. Anda beli dan menyimpannya sehingga memenuhi ruang rumah.

Kes yang sama berlaku jika anda merupakan seorang penggemar barangan unik seperti barang antik dan seumpamanya. Sering berlaku, minat itu menyebabkan pembaziran sedangkan anda menaruh harapan ianya akan mendatangkan faedah pada satu masa nanti.

Ia juga ada hubungan dengan sikap menyimpan nostalgia masa lalu yang menghalang anda dari maju ke depan.

Anda juga amat mudah terpengaruh dengan tawaran istimewa pada barang diminati. Anda dengan mudah berbelanja untuk membelinya.

Semua sikap sedemikian yang saya sebut di atas membuatkan anda banyak hutang terutamanya hutang kad kredit.

Elak dari merosakkan diri

Cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada menghadapi 4 masalah yang saya sebutkan di atas adalah dengan segera membuat langkah drastik untuk mengemas rumah.

Simpan apa yang perlu saja dan buang atau berikan pada orang lain yang memerlukan segala barang yang tidak digunakan. Dengan berbuat begitu anda akan dapat merasakan satu tenaga baru muncul dengan segar dalam diri.

Minda seterusnya mendapat isyarat bahawa anda sudah bersedia mahu maju ke depan. Itulah yang akan dilakukannya pada hari-hari yang mendatang. 

Anda pasti akan berubah menjadi manusia yang baru dengan  hanya mengemas rumah dan meluaskan semula ruang tempat penginapan anda.

Apa lagi nak ditangguh, jadikan mengemas rumah satu tabiat semula jadi anda dan berubah menjadi orang yang berjaya. Mulakannya sekarang juga kemaskan persekitaran dan buang semua yang tidak berguna.

Post a Comment

Previous Post Next Post