Bagaimana anda boleh belajar untuk hidup ringkas dari aktiviti pengembaraan yang anda sering buat


Pernahkah anda keluar dari rumah untuk pergi mengembara?

Jika belum pernah, elok buat. Agar tidak terlepas peluang untuk memahami apa itu kehidupan.

Bagi orang Islam yang percaya adanya hari akhirat, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara.

Kita singgah sebentar, dalam satu tempoh waktu tertentu sahaja. Hanya sebagai pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi sebenar iaitu Negeri Akirat.

Perumpamaan manusia sebagai pengembara di atas mukabumi ini sering diguna pakai oleh orang Islam. Saya diperkenalkan kepada konsep pengembara ni sejak zaman kanak-kanak lagi. Masa tu kami belajar membaca Al-Quran di Masjid. Arwah Tok Guru yang juga Imam kampung dimana saya tinggal, sering ingatkan kami bahawa hidup ini hanyalah sekadar satu pengembaraan yang pendek sahaja. Jadi jangan buang masa!

Pernahkah anda terfikir kenapa perkataan 'pengembara' itu menjadi pilihan?.

Cuba renung sejenak untuk cuba selami keadaan diri anda jika sedang mengembara. Di bawah adalah antara soalan-soalan yang boleh ditanya dan dijawab dalam proses membuat renungan tersebut.

  • Apa istimewanya seorang pengembara
  • Bagaimana rasanya menjadi seorang pengembara
  • Apa yang perlu dilakukan oleh seorang pengembara
  • Apa persediaan yang perlu dibuat oleh seorang pengembara
  • Apa amalan yang terbaik sebagai seorang pengembara
  • Apa yang dicari atau ditemui dalam pengembaraan
  • Bagaimana sikap pengembara terhadap segala benda atau perkara yang dia temui.
  • Bagaimana seorang pengembara berfikir
  • Apa reaksi pengembara apabila menemui halangan atau kemalangan
  • Apa reaksi pengembara apabila menemui kenikmatan dan kesenangan
  • Apakah seorang pengembara akan berhenti sebelum sampai ke destinasi

Semua soalan di atas adalah sebagai contoh saja. Anda boleh renungkan sendiri untuk membuat refleksi. Banyak lagi soalan yang boleh anda fikirkan.

Yang pastinya, jika anda mahu menghayati segala persoalan di atas dan mendapatkan jawapan, tidak dapat tidak, perlu terjun untuk mengembara sekurang-kurangnya sekali dalam kehidupan. Lebih kerap lebih banyak penemuan baru yang anda dapat belajar.

Kalau tak buat, memang anda tak akan benar-benar dapat menghayati bagaimana rasanya diri ketika menjadi seorang pengembara.

Luangkan masa mengembara

Tak perlu mengembara lama-lama atau jauh sangat. 

Anda boleh mula dengan melakukan pengembaraan yang singkat dan dekat terlebih dahulu. Perlahan-lahan untuk ke arah pengembaran yang jauh atau panjang satu masa nanti.

Sekurang-kurangnya dengan melakukan aktiviti mengembara, bila anda pulang, dapat melakukan satu refleksi. Berfikir sebentar dan cuba bandingkan antara kehidupan ketika anda mengembara sebelum dengan keadaan kehidupan anda sekarang. Apa persamaan dan apa perbezaan.

Anda dapat rasa apa yang perlu diubah terhadap cara kehidupan sekarang supaya ianya sesuai sebagaimana seorang pengembara yang sedang menuju ke destinasi sebenar, iaitu akhirat.

Keperluan material pengembara

Cuba anda mulakan dengan berfikir tentang apakah barang-barang yang perlu dibawa oleh seorang pengembara.

Kalau anda dah ada pengalaman mengharungi cabaran mengembara, tentu setuju jika saya katakan seorang pengembara perlu pastikan barangan yang dibawanya hanyalah terdiri daripada barangan yang mudah dan betul-betul berguna bagi meneruskan perjalanan tersebut.

Jika anda mahu masuk ke Taman negara umpamanya, adalah tidak bijak berfikir untuk membawa dapur gas, kusyen tempat melepak, TV, set audio, video dan lain-lain lagi. Sekalipun memang best jika semua itu ada.

Tapi kalau nak melepak macam duduk di rumah ketika kembara dalam hutan, lebih elok tak payah masuk hutan. Betul tak?

Sebolehnya anda akan minimumkan barang yang dibawa. Lebih ringkas persediaan dan kelengkapan, maka lebih mudahlah perjalanan anda nanti.

Sepanjang perjalanan pula, anda hanya akan ambil dan gunakan setakat apa yang anda perlukan sahaja. Selebihnya anda akan tinggalkan atau letak semula ditempat asalnya. Biarlah orang lain yang akan melalui tempat tu dapat menggunakannya nanti.

Tidak guna anda mengambil apa sahaja yang menarik dan masukkan ke dalam beg sepanjang perjalanan kerana ini akan menyusahkan perjalanan sahaja. Makin jauh makin susah.

Dengan menggunakan perumpamaan ringkas di atas saya yakin cara hidup ringkas amat bersesuaian dengan hakikat diri anda sebagai seorang pengembara.

Kita tidak perlu memiliki terlalu banyak barangan dalam kehidupan, melainkan sekadar yang diperlukan dalam meneruskan perjalanan hidup ini sahaja.

Barang yang tak berguna bagi diri anda perlulah ditinggalkan atau  berikan saja pada orang lain yang memerlukannya.

Apa yang amat berguna bagi seorang pengembara adalah kekuatan mental serta ilmu bagi mencari jalan yang selamat dalam menempuh perjalanan.

Jiwa yang kental membuatkan anda tidak mudah kecewa dan putus asa bagi meneruskan perjalanan selepas ditimpa kesusahan.

Rumusannya di sini adalah. Anda perlu hidup ringkas dengan memiliki sekadar apa yang diperlukan sahaja sebagai kegunaan untuk meneruskan perjalanan hidup.

Anda boleh lanjutkan lagi refleksi ini dengan cuba menyelami apa lagi budaya dan pemikiran lain yang diperlukan dalam kehidupan yang sementara ini sebagai seorang pengembara.

The miracle is not to fly in the air, or to walk on the water; but to walk on the earth - Chinese Proverb

Post a Comment

Previous Post Next Post