5 soalan yang anda wajib tanya setiap kali temuduga ambil pekerja baru


Apa soalan yang anda tanya dalam temuduga setiap kali nak ambil pekerja baru?

Kalau ada pengalaman bekerja di syarikat besar, terutamanya dalam jabatan sumber manusia, anda tentu ada pengalaman yang lebih luas dalam bab temuduga ni.

Syarikat besar ada cara yang tersusun dalam proses pengambilan pekerja. Pegawai yang terlibat dalam temuduga akan diberi latihan yang mencukupi dalam proses melaksanakan temuduga yang berkesan.

Tapi kalau anda tak ada pengalaman kerja di syarikat besar. Pengalaman buat temuduga pun tak ada. Bila jadi usahawan, proses temuduga selalunya dilakukan secara spontan ikut selera sendiri sahaja. Semua berterabur dan tak ada cara yang sistematik.

Itu antara amalan yang saya buat bila berniaga bila nak ambil pekerja. Tak pasti apa soalan yang terbaik yang perlu ditanya pada calon orang yang datang temuduga.

2 kelayakan utama pekerja

Sebelum saya kongsikan pasal 5 soalan yang anda perlu tanya dalam temuduga, elok saya ulang lagi apa perkara utama yang perlu dilihat dalam proses pengambilan pekerja.

Ada 2 perkara utama:

  1. Kemahiran – Perlu pastikan orang yang nak diambil ada kemahiran yang diperlukan untuk laksanakan kerjanya. Kemahiran itu pula bergantung kepada jenis kerja yang dia minta.
  2. Sikap – Sikap yang sesuai penting untuk pastikan orang yang masuk sertai syarikat, dapat sesuaikan diri dengan cara anda jalankan bisnes. Itu kita panggil budaya syarikat.

Dari 2 perkara utama kat atas tu, sebagai usahawan, anda wajib tahu secara terperinci senarai semua kemahiran dan sikap yang sesuai yang semua pekerja perlu ada.

Ramai usahawan rasa dia macam jelas pekerja macam mana yang dia nak. Tapi bila minta disenaraikan bersama penjelasan satu persatu, baru sedar rupanya masih kabur.

Anda boleh selesaikan masalah ini dengan mula buat senarai kemahiran yang dipelrukan untuk setiap tugasan yang ada dalam syarikat.

Buat juga senarai sikap macam mana yang setiap pekerja perlu ada terutamanya yang unik untuk syarikat anda.

Jika dah dapat sediakan semua itu, barulah terbukti bahawa anda sudah jelas.

5 soalan perlu tanya dalam temuduga

Sekarang saya kongsikan 5 soalan yang perlu ditanya dalam setiap temuduga dalam proses ambil pekerja baru.

1. Tanya pasal syarikat anda

Setiap pekerja yang datang temuduga, saya akan tanya soalan penting ini.

“Apa yang anda tahu pasal syarikat ini?”

Kalau dia jawab tak tahu apa-apa. Malah syarikat buat bisnes apapun dia tak tahu. Saya akan pantaskan temuduga untuk ditamatkan dengan segera.

Saya berikan nasihat dengan baik agar dia ubah sikap selepas ini untuk luangkan masa, ambil inisiatif sikit untuk cari maklumat berkenaan syarikat yang dia nak minta kerja.

Ada calon yang jelaskan dia tak pentingkan sangat pasal syarikat. Dia hanya mahu ada kerja untuk cari makan.

Bagus ada sikap nak cari makan tu. Saya pun tak kata salah dengan sikap tak peduli syarikat apa dia nak mohon kerja. Itu hak dia.

Tapi saya ambil peduli tentang setiap pekerja yang nak jadi rakan sekerja saya. Saya harapkan para pekerja akan kekal selama mungkin. Membesar dan membangun bersama syarikat, susah atau senang.

Saya cuma wujudkan sebuah keluarga atas ikatan satu syarikat yang diperjuangkan bersama.

Kalau dia rasa syarikat tak penting, elok pergilah cari syarikat lain yang tak pentingkan perkara itu. Memang ada saja syarikat yang macam tu. Syarikat yang anggap setiap pekerja adalah hamba yang dibayar untuk diperah kerja sekuat mungkin.

Alasan tak tahu sebab syarikat saya tak popular tak boleh diterima.

Ini zaman teknologi maklumat. Hanya orang yang sangat malas dan leka saja yang tak tahu bagaimana nak cari maklumat. Hanya dengan sedikit usaha saja, anda akan berjaya jumpa maklumat syarikat yang ada di dalam negara ini. Apatah lagi jika syarikat jenis sendirian berhad.

2. Soalan untuk tengok perangai

Macam yang saya sebut kat atas tadi. Perangai adalah perkara penting untuk anda cuba selidik.

Adakah orang yang minta kerja itu ada perangai yang dah anda senaraikan macam saya suruh kat atas tadi.

Dalam satu artikel yang saya baca, separuh atau 50% daripada soalan temuduga perlu fokus kepada soalan-soalan berkaitan perangai atau mengenal sikap.

Katakan anda nak ambil pekerja customer servis. Anda perlu pastikan dia punya sikap penyabar dalam menguruskan pelanggan.

Boleh cuba tanya soalan seperti,

“Cuba kongsikan pengalaman paling teruk pernah anda hadapi ketika berhadapan dengan pelanggan yang tak puas hati?”

“Dan macam mana anda selesaikan masalah tersebut?”

Jika anda perlukan pekerja yang mampu datang kerja awal, soalan yang berkaitan dengan bangun awal perlu ditanya.

Anda boleh tanya soalan seperti,

“Apa pandangan anda terhadap orang yang suka tidur dan bangun lewat?”.

Atau,

“Pukul berapa yang anda anggap sangat awal pagi untuk waktu masuk dan mulakan kerja?”.

Kalau dia kata pukul 9 adalah sangat awal, anda tahulah macam mana dia punya ukuran tentang awal tu.

Jika anda tahu perangai macam mana yang diperlukan, mudahlah nak rangka soalan yang sesuai.

Jangan lah tanya soalan yang terlalu bendul atau direct.

Contohnya nak tanya samada dia sabar atau tidak anda tanya,

“Adakah anda seorang yang penyabar?”. Mike Tyson pun akan jawab “Ya!”.

3. Tanya pasal boss lama

Ini satu lagi soalan penting yang anda perlu tanya.

Suruh dia ceritakan pasal boss lama dia. Kekuatan dan kelemahan boss lama yang dia nampak.

Kemudian cuba tanya apa agaknya yang boss lama dia tu akan ceritakan tentang diri calon itu, anda telefon boss lama tu sekarang.

Dari jawapan yang dia berikan, anda boleh lihat dengan jelas macam mana dia menilai dirinya sendiri dari kacamata orang lain, terutamanya boss yang dia pernah kerja sebelum ini.

4. Bagaimana masa lapang diisi

Soalan ni nampak macam geli. Tapi sebenarnya sangat besar kegunaannya. Ia bakal menjawab samada calon yang anda sedang temuduga itu seiring dengan budaya syarikat yang nak diterapkan.

Kalau dia jawab, bersama keluarga. Itu tandanya dia punya pegangan kuat dalam amalan menjaga perhubungan dan kekuatan keluarga.

Mungkin dia akan jawab, pikat burung. Itu tandanya dia jenis suka layan hobi yang perlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu hasil. Tekun punya sikap tu.

Kalau dia kata main tenis atau badminton. Itu tandanya dia ada ciri bersaing. Jadi salesman bagus tu.

Bila dia kata suka mengembara. Tandanya dia seorang yang gemarkan cabaran dan mencuba pengalaman baru.

Orang yang suka habiskan masa lapang dengan membaca sudah tentu punya sikap ingin membina diri dan menjadi lebih bagus dari masa ke masa.

Bagi orang yang kata dia bersenam angkat besi atau pergi gym pula adalah orang yang pentingkan kesihatan diri dan penampilan diri.

Anda boleh cuba tafsirkan sendiri dengan apa saja jawapan yang dia berikan. 

Kalau nak lebih faham lagi, tanya dengan lebih mendalam. Kenapa dia suka habiskan masa dengan aktiviti itu dan lain-lain lagi seumpamanya.

5. Adakah anda selalu bernasib baik?

Ini soalan yang saya baru jumpa. Saya rasa ia soalan yang menarik untuk ditanya.

Anda boleh lihat apa yang dia jawab dan boleh baca perangainya macam mana.

Orang yang merasakan dia sentiasa bernasib baik biasanya ada satu sikap yang berbeza berbanding orang lain.

Bukan sebab nasib baik tu.

Tapi lebih kepada cara seseorang itu bertindak sebaik saja melihat peluang muncul di depan mata.

Orang yang boleh pergi jauh dan berjaya adalah jenis yang sentiasa buka mata melihat peluang dan mempergunakan peluang tersebut semaksimum mungkin.

Bagi orang yang anggap dia sentiasa tidak bernasib baik pula bukanlah sebab dia sentiasa malang. Tetapi sebab dia jenis tidak mencari peluang dan tidak konsisten berusaha terhadap sesuatu.

Bila peluang datang terbuka, dia tidak bersungguh-sungguh menggunakan peluang tersebut pula. Malah tak mampu untuk melihat adanya peluang.

Anda sendiri tentu boleh perasan macam mana sikap orang yang dipanggil dan ditawarkan jawatan naik pangkat atau pindah ke tugasan lain yang lebih mencabar.

Bagi orang yang tak cemerlang, dia akan cuba menolak apa saja tawaran atau peluang sedemikian. Alasan biasa yang diberikan adalah tak bersedia, tak layak dan macam-macam lagi.

Saya macam tulah satu ketika dahulu. Sekarang pun masih ada sikit lagi perangai macam tu.

Sepanjang yang saya ingat. Bila saya buang sikap menolak dan mula rebut setiap peluang yang diberikan. Lalu gunakannya semaksimum mungkin, kehidupan mula  berubah jadi lebih baik.

Saya yakin, bagi orang yang cemerlang, dia akan terus saja merebut tawaran dan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin. Sebab itu dia rasa yang dirinya sentiasa bernasib baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post