10 perkara tanpa modal yang anda boleh buat untuk jadi kaya cara hidup ringkas


Secara umum, semuaorang nak jadi jadi kaya. Jarang sangat untuk menemui orang yang memang dengan sesungguh hati tak nak jadi kaya.

Kalau ada yang berkata dia tak nak jadi kaya, berkemungkinan besar itu hanya perkataan yang sekadar keluar dari mulutnya saja sedangkan dalam hatinya dia ada keinginan nak jadi kaya. Itu lumrah kejadian manusia.

Salah satu kerja besar setiap kerajaan yang memerintah sesebuah negara adalah untuk pastikan rakyatnya keluar dari lembah kemiskinan dan menuju kepada lembah kekayaan. Itu janji setiap kerajaan yang naik sebab mereka tahu semua orang mahukannya.

Solannya, adakah untuk menjadi kaya itu, terlalu sukar dan ia hanya untuk segelintir orang sahaja?

Bagi saya, sudah tentu tidak. Sebaliknya menjadi kaya agak mudah asalkan anda tahu cara nak jadi kaya. Ia akan jadi lebih mudah jika anda pegang falsafah jadi kaya cara hidup ringkas.

Kaya cara hidup ringkas bermaksud mempunyai jumlah pendapatan yang melebihi dari keperluan. Kaya bukan bermakna perlu ada banyak dari orang lain. Cuma perlu ada lebih dari mencukupi buat kegunaan sendiri.

Jumlah pendapatan melebihi keperluan = Kaya cara hidup ringkas

Untuk itu, saya kongsikan beberapa langkah yang boleh anda lakukan seperti senarai di bawah.

1. Ada keinginan untuk kaya

Ini merupakan perkara asas kalau nak jadi kaya. Kalau anda benar-benar tak mahu kaya dengan ikhlas dan lebih suka untuk jadi miskin, saya hormati hasrat anda dan tak perlulah meneruskan pembacaan artikel ini. 

Kebanyakan orang ada hasrat disudut kecil hatinya untuk jadi kaya tapi tak pernah dinyatakan. Kita lebih mudah dan biasa menyebut aku tak mahu menjadi miskin daripada menyebut aku nak jadi kaya. Ada sedikit perasaan malu untuk menyebut ayat sebegitu.

2. Nyatakan hasrat mahu kaya

Biasakan diri berterus terang dengan diri anda dan juga orang yang rapat dengan anda. Jangan sekadar simpan dalam hati, luahkan dia dengan kata-kata walaupun ketika berseorangan. Anda boleh buat sekarang juga dengan sebutkan ayat ini sampai anda sendiri dapat mendengarnya, “aku mahu jadi kaya!”. Buang rasa malu untuk berterus terang mahu jadi kaya malah itu bukanlah satu dosa yang perlu anda jauhi.

3. Jangan benci orang kaya

Ramai orang yang kesempitan hidup sekarang ini menaruh rasa benci pada orang kaya sedangkan dia sendiri mengaku mahu juga jadi kaya. 

Bagaimana anda dapat jadi kaya sedangkan anda benci orang yang kaya. Manusia jarang mampu menjadi apa yang dia tak suka. Itu perkara asas yang anda sendiri pun tahu.

Cari alasan kenapa anda perlu suka pada orang kaya dan buang semua penyebab yang membuatkan anda benci pada orang kaya. 

Biasanya anda benci pada orang kaya kerana percaya bahawa. orang kaya itu sombong.

Jangan silap faham, pencuci longkang juga ramai yang sombong. Orang yang sombong tidak ada kena mengena dengan status kewangan masing-masing. 

Anda betul jika membenci orang yang sombong, tapi jangan kaitkan sombong dengan orang kaya.

Ada juga yang rasa orang kaya itu kedekut. Kes ini sama saja dengan perkara di atas. Ada pengemis yang teramat kedekut. Kedekut adalah salah satu sifat jelek manusia dan tak ada kena mengena dengan status kekayaan.

Jangan percaya yang orang kaya kuat menipu untuk kaya. Ini juga satu salah faham yang ketara. 

Tak ada orang yang kuat menipu dan dalam masa yang sama menjadi kaya. Kalau kayapun ia hanya sebentar saja.

Makhluk yang bernama kaya itu hanya akan kekal bersama dengan orang yang jujur saja. Jika tuannya tidak jujur lambat laun dia akan tinggalkan orang itu.

Ada pula yang rasa orang kaya tidak peduli halal dan haram untuk jadi kaya. Ini juga salah. 

Orang yang miskin lebih ramai lagi yang langgar perkara haram. Kaki judi tak pernah kaya dalam hidup mereka dan mereka sentiasa melanggar perkara haram. 

Orang miskin merempat dan menagih dadah tak segan-segan mencuri untuk mendapatkan sedikit wang dan mereka tak pernah kaya dengan cara itu. Tak kenal mana halal dan mana haram tak ada kena mengena dengan status kekayaan.

Tak sikit juga yang rasa orang kaya itu kejam. Ini juga sangkaan pelik. 

Orang miskin lebih ramai yang kejam. Ada yang bunuh dan menyiksa anak. Ada yang kerjanya suka pukul orang bila tersalah sedikit sahaja. Ada yang panas baran tak tentu hala. Ini juga tak ada kena mengena dengan status kaya atau miskin.

Ada yang mengelak dari kaya sebab takut kalau kaya nanti ada banyak penyakit. Ini tak betul. Orang miskin juga terlalu ramai yang sakit. Sila pergi jenguk ke hospital dan lihat keadaan sebenar orang yang sakit. Adakah ia ada kena mengena dengan status kekayaan. Sudah tentu tidak.

Ada yang tak sanggup jadi kaya sebab dia rasa kalau nak jadi kaya kena kerja terlalu kuat sedangkan anda tidak sanggup buat begitu. Ini juga salah. Lihat di sekeliling. Berjuta manusia yang bekerja amat kuat saban waktu dan mereka tidak juga menjadi kaya.

Banyak lagi sangkaan salah yang lebih kurang sama dengan yang telah saya senaraikan di atas dan semuanya cuma satu andaian tidak rasional untuk tenteramkan hati yang merasa sukar untuk menjadi kaya macam orang lain yang dilihat kaya.

Apa yang anda perlu lakukan adalah bezakan sifat buruk dengan sifat baik sahaja tanpa kaitkannya dengan status kedudukan manusia. 

Benci saja sifat yang buruk dan tanam azam untuk jadi baik samada dalam keadaan sekarang atau bila kita kaya nanti.

4. Betulkan definisi kaya

Jangan ikut makna kaya sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Sila rujuk kembali definisi kaya cara hidup ringkas di atas. Jika anda faham definisi itu anda tentu sedar bahawa rupanya amat mudah untuk menjadi kaya.

Sering berlaku orang yang pada hakikatnya sudah kaya sebab pendapatannya jauh lebih mencukupi dari keperluannya. Tapi dia terus rasa tak kaya bila lihat ada orang lain ada harta wang ringgit jauh lebih banyak darinya.

Itu masalah dengki. Bukan masalah tak cukup kaya. Perlu tahu bezakannya antara tamak, dengki dan keadaan sebenar.

5. Pastikan ada pendapatan

Asalkan anda ada kerja yang halal tak kira banyak mana, anda telah melayakkan diri untuk tersenarai sebagai orang yang kaya. Yang penting sekali anda tidak perlu membandingkan jumlah kekayaan anda dengan orang lain. Ia kerja sia-sia yang terlalu memenatkan. Anda hanya perlu fokus pada definisi yang telah saya berikan tentang apa itu kaya. Insyallah anda selamat.

Untuk jana pendapatan, tak semestinya kena berniaga. Anda boleh saja jana pendapatan dengan kerja makan gaji. Malah, jika anda perhatikan betul-betul, ramai yang berniaga tetapi hidupnya tak senang. Pendapatannya tidak cukup untuk sara kehidupan yang selesapun.

Jadi usahawan dan berjaya bagi saya adalah satu anugerah dan bukan semua orang akan dapat. Ada seorang ahli falsafah yang saya dengar  berpendapat bahawa untuk sukses dalam perniagaan anda perlu ada salah satu dari 2 perkara berikut.

Pertamanya buat aktiviti jenayah. Ramai penjenayah yang sukses dalam perniagaan mereka. Cuba perhatikan sendiri.

Keduanya, anda bernasib baik. Anda ada produk atau servis yang kebetulan diperlukan orang ramai, dikeluarkan pada masa yang tepat, dengan harga yang betul dan kebetulan anda ada semua yang diperlukan untuk menghasilkan semua itu tepat pada masa dan ketikanya.

Untuk cari kesempurnaan tepat, produk, masa dan ketikanya itu adalah satu anugerah.

Jika anda dah ada duit simpanan, hasil dari kerjaya makan gaji yang anda suka, yang halal dan baik, teruskan saja. Tak payah gatai cuba nasib untuk berniaga melainkan anda terpaksa.

6. Tuliskan hasrat ‘aku  nak jadi kaya’

Itu samada dalam diari atau dalam buku nota anda. Anda juga boleh menulisnya dalam blog yang baru anda buat. 

Tak perlu ada orang lain membacanya, cukup sekadar untuk diri anda sendiri. 

Tuliskan juga bagaimana anda anda akan lakukan untuk menjadi kaya berdasarkan definisi kaya sebenar yang saya berikan. 

Tulis juga gambaran diri anda apabila anda sudah menjadi kaya, ini akan memberikan motivasi yang kuat untuk anda istiqamah. 

Ulang baca sekurangnya seminggu sekali dan buat perubahan jika perancangan anda berubah.

7. Masa untuk diri sendiri

Luangkan masa sejam sehari berseorangan.

Ini sudah terbukti amat berkesan. Jika anda istiqamah selama dua tahun ia sudah cukup untuk membuatkan anda benar-benar jadi kaya.

Fikirkan bagaimana anda boleh tambahkan pendapatan anda dalam masa sejam itu dan buka minda anda kepada segala kemungkinan yang masuk akal.

Fikirkan juga bagaimana anda boleh kurangkan lagi keperluan anda. Kadangkala anda sengaja menjadikan sesuatu itu keperluan kerana terikut-ikut apa yang orang harapkan daripada diri anda. Jiran dan kawan-kawan juga memainkan peranan mempengaruhi diri anda mencipta keperluan yang tidak perlu.

Kuatkan semua pemahaman itu dalam waktu sejam bersendirian.

8. Bahagia tanpa syarat

Buat keputusan untuk bahagia. Jangan letakkan apa-apa syarat. Bahagia ertinya tiada sesalan dan tekanan dalam menjalani kehidupan. Bahagia juga bermakna redho dan akur terhadap keadaan semasa diri anda. Menghargai semua kelebihan yang anda ada untuk digunakan bagi berusaha mencapai apa yang anda sasarkan. Itu bahagia sebenar.

Jangan jadi silap seperti kebanyakan orang yang mengandaikan mereka tentu bahagia jika mereka kaya. Jangan letakkan syarat untuk kaya. 

Hampir mustahil untuk anda bahagia dalam keadaan anda tidak bahagia sekarang. Hanya bahagia yang mampu membuatkan anda bahagia. Anda hanya akan bahagia jika anda mula menerima keadaan diri anda seadanya.

9. Redho dengan apa yang ada

Belajar untuk suka pada diri sendiri dan apa saja yang anda ada. Lihat, renung, fikirkan faedahnya dan bersyukur pada Tuhan. Cerita positif atau negatif adalah rekaan anda sendiri. Cari yang positif.

Jika anda suka dengan diri sendiri, anda akan mula berhenti dari membandingkan diri dengan orang lain. Biarlah anda botak dan orang lain rambutnya lebat ia tak ada kena mengena dengan bahagia.

10. Duduk depan cermin sebentar

Setiap hari berdiri depan cermin sebentar. Lihat orang di depan itu dan bisikkan dengan perlahan, “itulah orang yang aku suka…”. Orang yang di depan itu juga yang akan membantu aku menjadi kaya dan aku boleh berharap padanya. Jadikan amalan ini setiap hari sehingga anda berjaya.

Saya rasa senarai cara nak jadi kaya di atas sudah cukup baik untuk diamalkan segera. Tak perlu keluarkan modal sedikit pun untuk lakukan apa yang saya senaraikan di atas.

Tak perlu lagi untuk memberikan langkah yang terperinci untuk membuatkan anda jadi kaya sebab jika kesemua itu anda lakukan, jalan menuju kekayaan akan datang sendiri sedikit demi sedikit pada anda.

Selamat mencuba dengan cara nak jadi kaya di atas.

1 Comments

  1. Petua yang sangat bagus dan praktikal....perkara asas...wajib ada pendapatan dan berusaha menambah pendapatan ...in shaa Allah

    ReplyDelete
Previous Post Next Post