Tubuh badan sihat adalah kekayaan paling utama dalam kehidupan - Petua mudah untuk amalan


Saya yakin anda tentu ingin kekal sihat bertenaga dan mengharapkan diri agar sentiasa dijauhkan daripada masalah kesihatan yang kronik.

Hanya orang yang pernah ditimpa masalah kesihatan saja yang tahu betapa besarnya nikmat punyai tubuh badan yang sihat. 

Saya sendiri makin sedar nikmat sihat ini bila umur meningkat tua. Masa muda tak berapa sedar diri sangat. Maklumlah masih kuat dan segar. Kebanyakan masalah datang sebab cari sendiri seperti terseliuh pulun main bola, jatuh basikal ketika buat lagak aksi berani dan seumpamanya.

Bila umur dah melebihi 5 siri, sakit datang secara tiba-tiba tak perlu cari. Ada saja masalah muncul. Bahu yang elok saja di waktu pagi, jadi lenguh dan sakit di waktu petangnya tanpa ada apa-apa sebab pun.

Perbezaan antara rasa tidak segar berbanding sihat sangat kuat dirasakan apabila anda meningkat umur. Makin kuat dapat merasakan perbezaan itu, makin kuat pula sedar betapa nikmat sihat itu dipandang remeh ketika muda dahulu.

Point nak bagi tahu kat sini adalah, ketika usia masih muda, masih kuat dan sihat, tolonglah jaga kesihatan diri. Disiplinkan juga diri anda untuk amalkan langkah berjaga-gaja dengan ikuti petua-petua mudah penjagaan kesihatan.

Buat sikit-sikit secara konsisten, dalam tempoh masa yang lama berkekalan dapat menghasilkan kesan yang sangat besar terhadap kesihatan tubuh badan anda bila umur makin meningkat.

Jalan pintas untuk sihat

Bagi anda yang ada duit lebih daripada mencukupi, tentu ada salurkan sikit kepada pembelian ubat-ubatan dan juga pil pemakanan tambahan yang banyak dijual di farmasi. Itu amalan kebanyakan orang yang ada duit lebih.

Ia juga amalan orang yang cari jalan pintas untuk kekal sihat. Rasa mudah macam itu. Telan pil siang dan malam kemudian duduk lepak tengok TV atau borak kosong berjam-jam di kedai kopi.

Jika memang duit banyak, pembelian seperti itu tidak menjadi hal, walaupun ia kurang bijak pada pendapat saya. Pemakanan tambahan, kalau anda rajin cari maklumat kajian yang banyak dijalankan di barat menunjukkan tidak ada apa-apa kesan untuk kesihatan tubuh badan.

Makan sayuran segar, ulam dan buah-buah yang pelbagai secara mentah adalah jauh lebih mujarab berganda-ganda dari makan supplement.

Tapi kalau anda percaya pada janji penjual pemakanan tambahan tersebut, tak apalah.

Bagi anda yang duit hanya sekadar cukup makan, masih juga nak beli pemakanan tambahan, sedangkan pembelian pil-pil seperti itu harganya amat mahal, akan membuatkan kehidupan anda jadi tertekan. Sedangkan ia tidak diperlukan sangat.

Kekal sihat cara mudah selamat.

Sebenarnya sistem tubuh badan anda amat cemerlang dalam aktiviti memulihkan kesihatan dengan sendiri.

Ia boleh diperkuatkan lagi melalui perkara-perkara mudah, yang anda boleh segera jadikan amalan. Dan semua amalan itu dapat anda lakukan secara percuma. Terpulang pada anda sendiri samada nak amalkannya atau tidak saja.

Berikut saya kongsikan antara perkara-perkara yang boleh elakkan anda dari jatuh sakit dan seterusnya dapat kekalkan kesihatan diri.

1. Ziarah orang sakit

Menziarahi orang yang sakit walaupun sekadar demam selsema membuatkan badan anda secara semulajadi memperkuatkan sistem ketahanannya.

Kesan yang sama juga terhasil walaupun anda sekadar melihat photo orang yang sakit.

(Sumber: “Mere visual perception of other people’s disease symptoms facilitates a more aggressive immune response.” dari Psychol Sci. 2010 May;21(5):649-52. Epub 2010 Apr 2.)

2. Haiwan peliharaan

Membelai binatang peliharaan seperti anjing atau kucing dapat menguatkan sistem ketahanan badan. Ia tidak semestinya kucing sebenar, malah sekadar patung anak kucing juga dapat memberikan kesan yang sama. (sumber dari buku: “59 Seconds: Change Your Life in Under a Minute“)

3. Bersenam

Ini tak payah nak diterangkan lagi, semua orang tahu mengenai kelebihan bersenam tapi malangnya ramai yang lebih suka mencari alasan kenapa tidak dapat bersenam daripada mencuri masa untuk melakukannya

Sematkan dalam minda bahawa bersenam adalah satu dari keutamaan dalam hidup anda sama seperti makan dan minum. Insyaalah anda akan mula cari masa untuk melakukannya dan abaikan perkara lain yang kurang penting dari itu.

4. Kawal tekanan

Elakkan daripada hidup dalam keadaan tertekan. Tekanan atau stress adalah salah satu daripada punca terjadinya kacau bilau dalam sistem ketahanan badan anda.

Rajin carai maklumat cara untuk hilangkan stress. Keluar berborak secara berjadual sesama kawan yang anda senangi adalah satu dari cara terbaik lupakan tekanan.

Masuk hutan berkelah atau jungle trracking juga sangat mujarab hilangkan tekanan. Malah di Scotland, kalau tak silap saya, arahan untuk luangkan masa dengan alam semula jadi adalah satu dari ubat yang doktor berikan. Boleh bagi pada majikan supaya anda dibenarkan cuti pergi masuk hutan sebentar.

Satu lagi cara mengelakkan tekanan hidup adalah dengan mengamalkan kehidupan yang ringkas mudah dan sederhana. Kemas dan buag semua barang tak perlu. Buang juga amalan tak perlu dan sebagainya. Rajin baca blog ini untuk amalkan hidup ringkas. :)

5. Menulis

Ya! menulis.

Tentu anda terkejut mendapat tahu bahawa menulis boleh membantu anda menjadi sihat.

Kajian mendapati mereka yang mencurahkan keluar dalam bentuk tulisan, kisah kehidupan trajik atau trauma yang telah dilalui sebelum ini dapat meningkatkan tahap kesihatan. 

Ini berikutan kajian yang menemui masalah kesihatan seseorang ada hubung rapat dengan kisah zaman silam dan juga trauma kehidupan yang telah dilalui.

Jadi untuk sihat, ceritalah pengalaman anda. (Sumber: Disclosure of traumas and psychosomatic processes.” from Soc Sci Med. 1988;26(3):327-32.)

6. Tidur

Tidur dengan secukupnya. 

Tidur sebenarnya salah satu daripada keajaiban sistem pemulihan tubuh badan manusia. Tidur secukupnya jangan disalah faham dengan belasah tidur cukup-cukup sampai lebih daripada 8 jam sehari.

 Jika anda seorang yang kaki jaga malam seperti spesis burung hantu, pastikan anda gantikan semula pada waktu tengahhari.

7. Buat keputusan untuk bahagia. 

Hanya mereka yang bahagia sahaja kebiasannya sihat.

Mereka yang tidak bahagia kebiasannya dilanda berbagai penyakit, pening, sakit urat, pitam, stroke dan lain-lain. 

Jangan berikan syarat untuk bahagia seperti .. 

“Aku rasa bahagia, jikalau kesihatan aku pulih semula”.

Sebaliknya anda perlu buat keputusan untuk bahagia sekarang juga walau apapun yang terjadi. Angkat tangan mohon pada Tuhan, minta dikurniakan ketenangan. Kesihatan tentu akan menyusul.

8. Placebo

Placebo membuatkan rawatan yang anda ambil kerkesan 4 kali ganda daripada biasa. Walaupun anda tahu ianya hanyalah placebo, ia tetap berkesan.

Sebab itu sekali sekala bila ada masalah yang misteri atau tak tahu punca, saya akan pergi jumpa kawan ustaz yang pandai perubatan alternatif. Bagi dia buat apa yang dia pandai buat, ketuk dengan kayu, hembus ke telinga ayat Al-Quran pakai corong kertas panjang dan lain-lain. Buat saja lah. Biasanya masalah hilang juga.

9. Pilih doktor

Jika anda masih tidak sihat sekali sekala, pastikan berjumpa doktor yang baik hati dan anda suka, kerana ia lebih banyak membantu untuk mempercepatkan kesihatan berbanding dengan doktor yang biadap, berlagak atau tidak anda sukai.

Saya sarakan anda amalkan semua yang saya sebutkan di atas agar tidak lagi perlu untuk memikirkan tentang kesihatan.

Anda juga dapat mengurangkan kos ubat merawat sakit dan wang tersebut dapat digunakan untuk menabung dan seterusnya mencapai status cemerlang manusia yang hidup ringkas.

Post a Comment

Previous Post Next Post