Kehidupan adalah satu peperangan - Pilih tertempuran mana yang anda mahu masuk


Jika google tempoh jangka hayat penduduk Malaysia, anda akan lihat secara umum, orang lelaki hidup sehingga lebih kurang 72 tahun dan wanita pula sehingga 75 tahun. Angka itu naik dan turun sedikit sahaja dari tahun ke tahun tetapi dalam jangka panjang, ia menaik.

Jangka hayat penduduk Thailand lebih panjang sedikit dari Malaysia, hampir 80 tahun, manakala rakyat Singapura melebihi 83 tahun. menarik untuk dikaji apa yang membezakan antara jangkahayat penduduk negara kita dan mereka.

Apapun angkanya, yang pasti tempoh manusia hidup atas mukabumi ini terlalu singkat. Itupun jika maut tidak meragut nyawa anda lebih awal disebabkan malapetaka yang memang sudah tertulis sejak azali.

Hidup akan jadi lebih singkat walaupun punyai umur yang panjang seandainya anda habiskan tempoh 15 tahun terakhir hayat, dengan terlantar atas katil akibat di timpa penyakit.

Ada sekali saya ziarah saudara di Pusat Rawatan Jantung Negara. Di sebelahnya seorang lelaki berumur yang dari awal saya masuk sampai ke sudah keseorangan tiada yang ziarah.

Saya luangkan masa sebentar mendekati dan menegurnya bertanya khabar. Dia kena sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Orang panggil 3 serangkai. Bersungguh-sungguh dia nasihati saya supaya jaga kesihatan jangan jadi macam dirinya yang 20 tahun asyik keluar masuk hospital tak henti-henti.

Tak best hidup begitu, katanya. Orang pun dah meluat nak ziarah sebab dah biasa sangat. Mungkin ramai yang tunggu untuk dia mati saja, keluhnya agak sedih.

Bila mula sedar diri? 

Cuba renung semula dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang. Bila agaknya anda mula sedar tentang kehidupan dan ambil tanggung jawab penuh terhadap apa yang berlaku pada diri anda.

Dari mula dilahirkan sampai ke darjah 6, saya memang tak ingat apa-apa melainkan nak berseronok. Tak ada perasaan untuk pikul bebanan tanggung jawab lagi ketika itu. 

Habis sekolah rendah, masuk menengah, masih lagi tak ada perasaan untuk pikul tanggung jawab.

Sepanjang zaman sekolah, hati hanya memberontak sebab terpaksa buat banyak perkara yang orang suruh. Sedangkan diri sendiri rasa amat membebankan. Pergi sekolah, belajar, buat kerja rumah, duduk ambil peperiksaan, dan belajar tak habis-habis.

Apa yang membuatkan anda teruskan juga belajar hanyalah disebabkan tekanan dari keluarga, saudara mara dan masyarakat. Nasib baik mereka semua ambil peduli, maka tak tersesat jauh sangat.

Habis sekolah menengah, sambung belajar lagi. Masih kurang tanggung jawab. Tapi dah ada sedikit gambaran apa yang mahu ditempuh selanjutnya. Sehinggalah habis semuanya dan umur sudah lewat 25 tahun baru ada kesedaran diri.

Sedar pun disebabkan timbul rasa nak mencari pasangan berkahwin hidup macam semua orang lain dalam masyarakat. Mula tercetus pertanyaan apa nak jadi pada diri sendiri dalam hidup ini. Macam mana nak buatkan diri diterima orang untuk mendirikan rumah tangga. Itu merupakan satu permulaan untuk bersedia ambil tanggung jawab.

Begitulah lebih kurang rata-rata kehidupan kebanyakan orang. Biasanya kita jarang sedar diri selagi umur belum mencapai dalam lingkungan 25 tahun atau timbul keinginan nak kahwin. Itu dah kira bagus agak awal juga sedarkan diri.

Bila dicampur tolak semua itu, menjadikan baki hidup anda tinggal lagi 50 tahun saja, jika sihat sehingga kematian datang. Bila ditolak dengan kemungkinan sakit terlantar, tempoh anda hidup tinggal cuma 35 tahun. Itu satu tempoh yang amat pendek!

Makin tua masa makin laju

Bagi anda yang berumur 35 tahun ke atas, sekarang tentu sudah dapat rasakan betapa tempoh satu tahun berlalu begitu pantas sekali. Umur anda terasa meningkat laju sampai tak nampak apa yang telah dilakukan dalam tempoh setahun yang lalu.

Jika berterusan begitu, lalai sepanjang masa tanpa merancang kehidupan dengan baik, pasti sedar-sedar anda sudah nazak di atas katil. Ketika itu semuanya sudah terlambat.

Masa yang terlalu singkat yang ada membuatkan anda tidak mungkin mampu melakukan banyak perkara. Jika dilihat kawan-kawan yang asyik bertukar haluan, biasanya mereka berakhir dengan kerugian tanpa mencapai apa apa yang signifikan.

Cuba lihat mereka yang melanjutkan pelajaran sampai Phd. Masa dihabiskan cukup lama sebelum dapat menyumbang atau menggunakan ilmunya yang sedikit tetapi mendalam. Itu baru satu Phd!

Bayangkan jika anda sentiasa beralih hala tuju kejap buat itu dan kejap ini, sudah pasti Phd pun tak akan selesai. 

Apa yang boleh dipelajari dari semua itu adalah kesedaran terhadap penggunaan masa yang ada sebijak mungkin.

Jika ditanya pada mereka yang berjaya di tahap tinggi, apa perkara paling penting yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu yang ada impak, semua akan jawab "FOKUS".

Perlu fokus untuk hidup dengan baik.

Apa sasaran hidup anda?

Jalan penyelesaian untuk fokus adalah dengan mengamalkan gaya hidup ringkas. Iaitu memberikan tumpuan hanya pada perkara-perkara penting saja dalam hidup anda dan meninggalkan terus selain daripadanya.

Perkara penting itu pula mestilah sesuatu yang amat penting yang dapat membantu anda mencapai sasaran dalam hidup. 

Jadi, soalannya adalah, apa sasaran dalam hidup yang anda mahu capai?

Sebagai manusia, sudah tentu sasaran hidup adalah untuk sukses. Anda perlu jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan perkataan sukses tersebut.

Pernahkah anda terfikir apa yang dikatakan sukses?

Bagi yang masih tak jumpa makna sukses, saya kongsikan kriteria yang perlu ada untuk membuatkan anda sukses dan menjalani kehidupan yang baik.

Ada 4 elemen penting dalam sukses yang anda perlu capai.

1. Mencapai sesuatu yang penting

Ini elemen penting yang perlu ada. Lulus SPM contohnya adalah satu pencapaian yang penting diiktiraf oleh semua orang.

Masuk Universiti dan lulus cemerlang juga satu pencapaian. Mendapat sijil profesional sebagai penyelam laut dalam yang bertauliah juga satu pencapaian.

Membuka syarikat perniagaan sendiri dan membinanya menjadi syarikat yang menguntungkan juga satu pencapaian.

Terpulangkah kepada anda sendiri apa yang mahu dicapai dan pastikan ianya diusahakan sehingga dapat.

2. Mencapai kepuasan diri

Berjaya skor SPM, jadi pelajar Universiti terbaik atau membina syarikat menguntungkan adalah satu pencapaian. Tapi semua itu tidak lengkap jika anda hanya lakukan atas desakan keluarga atau masyarakat.

Oleh itu, adalah penting untuk pastikan apa yang anda capai itu benar-benar kemahuan diri dan anda merasa puas dengannya.

3. Menyumbang kepada masyarakat

Dalam banyak kajian membuktikan bahawa kepuasan paling bermakna adalah apabila anda dapat memberikan sumbangan kepada keluarga, saudara mara dan masyarakat.

Sebab itu elemen menyumbang ini perlu ada dalam setiap kejayaan yang anda mahu tempah. Jika tidak ada, anda akan rasa satu kekosongan dalam hidup.

4. Meninggalkan legasi

Akhir sekali, pastikan apa saja yang anda lakukan, apa saja yang anda capai, segala sumbangan dan lain-lain seumpamanya akan dapat meninggalkan nama baik buat diri anda dan keluarga walaupun selepas anda meninggal dunia.

Anda mungkin berjaya mencapai kesemua 3 perkara di atas tetapi tidak ada apapun nama baik yang membuatkan anak cucu anda rasa bangga menjadi keturunan anda. Itu akan mencacatkan segala apa yang telah di capai.

Apa yang anda nak buat?

Semua elemen yang saya kongsikan adalah secara konsep sahaja. Andalah yang perlu tentukan sendiri apa yang nak dilakukan bagi mencapai kesemua 4 perkara tersebut di atas.

Petuanya mudah saja.

Pastikan anda tidak keluar jauh dari lingkungan kemahiran dan bakat yang memang dah ada dalam diri sendiri.

Perumpamaan mudahnya adalah, kalau anda jadi katak, masuklah kerja yang memerlukan anda melompat. Anda akan mudah untuk berjaya dengan urusan tersebut.

Jangan sesekali masuk kerja yang memerlukan anda terbang. Itu bukanlah kelebihan anda. Merana jadinya hidup dan anda tak akan mencapai apa-apa pun terhadap usaha keras yang anda lakukan.

Untuk tahu apa kelebihan dan bakat yang ada dalam diri anda, lihat ke belakang. Tanya kawan-kawan, tanya orang dan paling penting lihat hasil yang anda dah capai selama ini.

Fokus terhadap kekuatan yang anda ada dan berusahalah sehingga anda berjaya mencapai kesemua 4 perkara yang saya gariskan di atas tadi.

Saya ringkaskan proses untuk menjalani satu kehidupan yang baik seperti di bawah.

  1. Lihat kekuatan dan kelemahn yang anda ada. Gunakan kekuatan dan tinggalkan kelemahan, bagi orang lain yang lebih pandai buat.
  2. Buat senarai apa yang anda nak capai berdasarkan kekuatan. tak kisah samada makan gaji atau berniaga.
  3. Senaraikan apa yang anda perlu buat untuk berjaya dan buat.
  4. Tinggalkan terus segala yang lain yang tidak penting.

Perlu ambil masa bersunyian untuk buat muhasabah diri bermula dari sekarang. Buat dengan serius sebab ia adalah hidup anda.

Masa sangat pendek, jangan lalai lagi.

Oklah setakat itu saja kali ini.

Mari kita cari satu masa sendirian yang sesuai untuk memerah otak kita dengan ikhlas bagi menyediakan senarai perkara penting dalam hidup kita. Saya juga sedang memikirkan senarai saya sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post