Panduan hidup ringkas urus kos sara hidup yang sangat mencabar sekarang


Kos sara hidup semakin hari semakin naik. Nampak gaya memang tak akan turun pun. Dengan kenaikan kos bahan utama seperti tarif eletrik, gaji minimum, jam bekerja berkurangan dan banyak lagi keputusan kerajaan yang membebankan para peniaga.

Peniaga akan salurkan semua kenaikan kos tersebut kepada pengguna. Mereka tiada pilihan untuk kekalkan perniagaan selain dari buat begitu. 

Semua keadaan ini memang mencabar kegigihan hidup mereka yang tidak dilahirkan dalam talam emas seperti anda dan saya.

Dengan semua cabaran hidup sedemikian, jika kehidupan tidak diringkaskan bermula dari sekarang, besar kemungkinan anda akan tenggelam dan karam dalam masalah tak cukup duit.

Sebelum saya teruskan intipati utama artikel ini, adalah baik untuk saya ulang sedikit definisi penting tentang kekayaan. Kaya di sini saya khaskan takrifannya hanya untuk orang yang mahu amalkan gaya hidup yang ringkas.

Erti kaya gaya hidup ringkas

Sebelum ini saya ada tulis dalam artikel yang lalu, bahawa untuk menjadi kaya amat mudah.

Jika kita jadikan hidup ringkas sebagai amalan hidup, makna kekayaan jadi ringkas dan mudah untuk semua orang berusaha mendapatkannya.

Berikut adalah perkara penting tentang kekayaan,

“Kaya bukan bermakna anda ada banyak duit. Tetapi kaya bermakna anda ada duit lebih sedikit, daripada apa yang diperlukan”

Dengan mengikuti falsafah ini, jika pendapatan yang anda dapat adalah sebanyak RM1,500 dan untuk menyara kehidupan selama sebulan memerlukan sebanyak RM1,455, maka anda sebenarnya tergolong dalam kumpulan mereka yang kaya.

Baki sebanyak RM5 itu anda boleh simpan dalam sarung bantal atau masukkan ke dalam akaun bank atau tabung Haji. Tak kisah banyak atau sikit, yang penting ada baki.

Panduan kuasai kos sara hidup yang mudah

Seperti yang saya sebut di atas, anda pun tahu kos sara hidup semakin hari semakin naik.

Samada suka atau tidak suka, bersedia atau tidak bersedia, kos sara hidup tak pernah minta izin terlebih dulu untuk naik sepanjang tahun.

Apa yang kebanyakan orang buat untuk hadapi perkara itu adalah bertungkus lumus mengejar wang bagi tingkatkan pendapatan. Ini perlu untuk tampung peningkatan kos.

Cara begitu memang terlalu ramai diamalkan di muka bumi sekarang. Robert Kiyosaki namakan kumpulan manusia yang sebegitu sebagai 'terperangkap dalam perlumbaan tikus' atau “Rat Race”.

Cuba lihat bagaimana seekor tikus yang diletakkan di dalam sangkar bergelung. Semakin kuat dia berlari, semakin kuat pusingan gelung yang memerangkapnya berpusing. Malangnya tikus masih tetap berada di tempat yang sama setelah berpenat lelah berlari dengan laju.

Itulah maksud Rat Race.

Pulun buat kerja tingkatkan pendapatan untuk bayar kos sara hidup. Semakin tinggi  ditambah pendapatan semakin tinggi pula kos sara hidup meningkat. Akhirnya tak ada perubahan dan keadaan diri masih tetap seperti dulu juga.

Jangan biarkan kehidupan anda menjadi kusut, buat pendekatan mudah dari sekarang. Bila kos sara hidup meningkat jangan lari lebih laju, sebaliknya lari lebih perlahan.

Caranya mudah saja:

“Dengan mengurangkan keperluan anda atau lebih tepat lagi kita namakan berjimat. Kalau dah tak mampu bayar ansuran kereta RM500 sebulan, jalan mudahnya adalah dengan bertukar kepada kereta yang ansurannya hanya RM250 sebulan.”

Bukankah itu bijak namanya.

Jika anda sentiasa pantau kos atau perbelanjaan hidup semua urusan, anda akan dapat trim kepada jumlah yang lebih rendah tanpa ganggu prestasi kehidupan.

Penting di sini untuk abaikan apa orang kata. Lupakan perasaan takut turun martabat dan sebagainya. Itu semua mainan syaitan untuk menghancurkan hidup manusia. Badan anda, ada ukurannya yang tersediri. Jangan tiru ukuran baju orang lain.

Lagi bijak jika buat 2 sekali gus

Bagi anda yang lebih bijak, boleh amal kedua-dua teknik di bawah.

  1. Kurangkan keperluan seperti yang saya sebutkan di atas – lihat gaya hidup anda sekarang dan fikirkan bagaimana kos sara hidup dengan gaya hidup itu dapat dikurangkan.
  2. Turut sama tingkatkan pendapatan – Mengurangkan kos sara hidup dengan membuang atau melupakan apa yang tak perlu, membolehkan anda ada lebihan duit. Fikirkan pula bagaimana wang lebihan itu boleh dijana untuk tambah pendapatan.

Sebenarnya amalan sering bermuhasabah, bertanya pada diri sendiri untuk meringkaskan kos sara hidup membuatkan urusan seharian kita menguruskan kehidupan menjadi lebih lapang.

Dengan meringankan kos sara hidup kita telah meringankan bebanan kehidupan dan hasilnya simpanan meningkat dan masa bertambah.

Dari situ masa yang ada dapat pula digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.

Semakin cekap kita meringkaskan kehidupan, semakin banyak masa terluang dan semakin banyak wang tersimpan.

Oleh itu jangan biarkan kos sara hidup menentukan gaya hidup anda. Sebaliknya andalah yang menentukan apakah kos sara hidup yang anda mahu dan apakah kos sara hidup yang anda tak mahu.

Jangan buatkan kos sara hidup menjadikan diri kita macam serabai.

Meringkaskan kehidupan

Apa yang saya maksudkan dengan meringkaskan kehidupan?

Ia bermakna sentiasa menyedari apa yang sedang dilakukan agar apa yang anda buat hanya perkara yang diperlukan sahaja untuk mencapai sasaran.

Semua perkara tak perlu, sekalipun ianya adalah baik, abaikan dan tinggalkan saja.

Saya bagi contoh, katakan anda bekerja sebagai seorang guru. Kerja lain yang tidak membantu kerjaya seorang guru perlu ditinggalkan. Sebagai contoh, pergi jadi nelayan di waktu lapang untuk tangkap ikan.

Tangkap ikan memang baik, tapi ia bukanlah kerja seorang guru. Malah sedikitpun tidak tambah kebolehannya untuk menjadi seorang guru yang baik. Pergi sekali dua untuk merasai pengalaman boleh lah. Tapi setiap kali waktu lapang jadi nelayan bukanlah cara hidup ringkas.

Sebaliknya, setiap kali waktu lapang anda menziarahi pelajar untuk kenali mereka, keluarga mereka dan bagaimana cara kehidupan mereka adalah jauh lebih bermanfaat untuk menjadikan anda seorang guru yang hebat dalam jangka panjang.

Lihat dan fikirkan betul-betul apa sasaran yang anda mahu capai. Jalan apa yang anda ambil. Semua itu perlukan kesedaran yang tinggi untuk kenal pasti apa yang perlu dan apa yang tak perlu untuk mencapai sasaran.

Dalam masa yang sama kenal pasti apa kelebihan anda dan apa kelemahan diri. Gunakan kelebihan untuk dijadikan batu loncatan. Yang lemah cari jalan untuk serahkan saja pada mereka yang cekap.

Keseluruhan aktiviti kehidupan jika diamalkan seperti di atas, membantu meringkaskan hidup anda. Pembaziran masa terhadap perkara sia-sia makin lama makin berkurangan. Kualiti hidup meningkat dan anda akan dapati keluasan hidup yang lebih bermakna.

2 Comments

  1. usahakan jimat belanja dan tingkatkan pendapatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah yang terbaik!. Terima kasih tuan, komen !

      Delete
Previous Post Next Post