Jadikan syarikat dan perniagaan anda lebih baik tak semestinya lebih besar

Dalam artikel ini saya nak kongsikan idea kepada anda, peniaga kecil, untuk lebih tumpukan usaha jadikan bisnes yang anda sedang buat tu lebih baik.

Bukannya terlalu ghairah nak jadikannya lebih besar.

Ada beza tu antara 'lebih baik' berbanding 'lebih besar'.

Untuk faham apa yang dimaksudkan, teruskan baca maklumat di bawah terlebih dahulu.

Anda pernah dengar pasal Marketoonist tak?

Baca sekali lalu perkataan atas tu, dah dapat agak. Ada dua perkataan penting dalam Marketoonist.

Pertamanya Market.

Keduanya Cartoon.

Boleh faham terus, yang nama itu tentu ada kena mengena dengan aktiviti pemasaran dan kartun.

Kalau budak kampung jenis suka melawak, dia akan terus kata, "tentu Mat yang empunya nama 'Marketoonist' tu jenis buat pemasaran yang bertahap kartun."

Ertinya buat kerja pemasaran yang tak real. Tak masuk akal.

Itu memang makna yang saya, seorang budak kampung, faham. Kalau anda jatuh dari bangunan 20 tingkat, tak akan mati. Itu dunia kartun.

Selepas jatuh, hancur, masuk separuh badan dalam tanah, tak jadi apa-apa. Bangun gabuih punggung dan terus jalan.

Alam kartun, alam imaginasi. Alam yang tak real.

Walau apapun yang anda tafsir dengan nama tu, semuanya betul dan boleh pakai.

Memang Tom Fishburne merupakan pengasas kepada sebuah syarikat yang menggunakan kartun untuk tujuan pemasaran.

Isi kandungan dalam wadah pemasarannya adalah dengan menggunakan kartun.

Saya tahu pasal Marketoonist dan Tom Fishburne ini bila baca buku ‘Company of One’, tulisan Paul Jarvis. Bukut itu berkisar tentang, kenapa kekal kecil merupakan satu perkara besar dalam dunia bisnes sekarang dan akan datang.

Menarik kan tajuk buku tu?

Seorang kawan syorkan saya membacanya. Jadi saya cari dan baca.

Kandungan buku tu, memang sangat menarik. Sesuai dengan jiwa saya dan tentu baik untuk anda juga seandainya anda seorang yang cintakan hidup damai.

Damai dalam ertikata, cintakan kehidupan yang cool. Masih mampu jalan dengan tenang.

Bukan hidup macam tikus yang pecut dalam sangkar berpusingnya.

Henti kerja, berniaga ikut rentak sendiri

Tom Fishburne ni asalnya kerja di sebuah syarikat besar dalam industri makanan. Jawatannya, Vice President di jabatan pemasaran.

Dia letak jawatan, tinggalkan syarikat tempat kerjanya, sebab nak lukis kartun!

Kalau kawan yang anda kenal baik, sedang kerja sebagai seorang pengurus besar di syarikat korporat, bagi tahu dia nak berhenti kerja. Nak jadi pelukis kartun sepenuh masa.

Apa reaksi anda?

Kalau memang selama ini sakit hati kat dia, rasa jealous sebab dia sukses dalam kerjaya, mungkin anda support 100% hasratnya itu.

Boleh ada peluang tengok macam mana dia rasa susah peritnya menyungkoq cari makan kat bawah sebagai rakyat marhaen.

Tentu perkara sama berlaku pada Tom Fishburne.

Tapi, sebaliknya. Keputusan yang dia buat itu, sangat baik untuk dia. Baik dari segi kepuasan hidup dan juga kewangan.

Dia susun baik-baik semua perancangan yang dah dibuat untuk berhenti dan melukis kartun sepenuh masa.

Memang itu yang dia suka selama ini sejak zaman kanak-kanak lagi.

Bila sambung belajar buat MBA, dia jadi penyumbang tetap lukisan kartun untuk akhbar kampus.

Lepas habis belajar, dia minta kerja korporat. 

Itu tindakan logik.

Lagipun dia bukan calang-calang.

Lulusan Harvard, takkan nak kerja lukis kartun kot.

Lukis kartun tinggal sebagai hobi masa lapangnya. Hobi yang dia lukis untuk kawan-kawan. Dia suka buat lawak pasal gelagat pemasaran korporat dalam bentuk kartun.

Kemudian orang mula share hasil lukisannya.

Lama kelamaan mula dapat perhatian.

Lepas itu dia mula dapat permintaan lukis kartun untuk syarikat yang inginkan hasil lukisannya.

Dia buat lepas kerja dan di hujung minggi.

Makin hari, pelanggan makin panjang tunggu giliran.

Duit yang dia dapat dari situ disimpan sampai mencukupi. Akhirnya dia lambung surat berhenti kerja.

Bisnes tambah baik bukan tambah besar

Selama 7 tahun dia buat kerja lukis kartun secara full time itu, pendapatannya adalah jauh lebih baik dari semua pelukis kartun lain.

Juga lebih baik dari hasil yang dia dapat  masa makan gaji dulu.

Tapi apa yang menarik. Yang jadi fokus tulisan saya kat sini adalah, dia tak tingkatkan pendapatannya dengan besarkan bisnes.

Dia tak tambahpun jumlah pekerja, tak besarkan pejabat, tak tambah cawangan atau lantik ajen dan lain-lain seumpamanya.

Dia kekal dengan dirinya sendiri dan isterinya sahaja dalam syarikat.

Buat semua kerja dari rumah sahaja. Ada masa bila perlu pembantu dia pakai freelancers.

Banyak masa kerja dia habiskan kat rumah lukis kartun dan layan anak-anak lukis kartun juga.

Nak kata Tom Fishburne tak reti berniaga, tentu dia bukan macam itu. Dia lulusan universiti yang sangat top di dunia. Dia tahu apa yang dia buat. 

Paling penting dia tahu apa yang dia mahukan. Dia tak mahu ikut jalan biasa yang hampir semua orang meleleh air liur nak buat.

Jalan biasa kebanyakan orang akan buat bila bisnes dah bagus adalah, mula rekrut tambah staff.

Tambah seorang demi seorang sampai penuh. Kemudian buka cawangan.

Berulang lagi proses tambah staff.

Kemudian buka lagi cawangan.

Lepas itu, diversify bisnes. Tambah produk.

Contohnya, dari buka workshop repair kereta, dia tambah jual tayar. Kemudian dia buat brake pad sendiri pulak. Lepas tu cari ajen, tawarkan francais dan berterusan ke depan besar dan besar sehingga anda akan dengar dia buat daging perap bersama rempah ayam goreng pulak.

Kemudian anda dengar dia dah ada HQ. Ada holding company yang dibawahnya ada 7 company dalam berbagai industri.

Tak lama lepas tu anda dengar dia senaraikan syarikatnya di bursa saham.

Lepas itu dia ada cawangan di luar negara. Rakan niaga dari Bosnia dan Russia. Dah ada projek korek minyak di Balakistan.

Kemudian ceritanya difilemkan, masuk drama pukul 7 dengan bala tentera pekerja yang ramai sampai 200 ribu pekerja!.

Itupun bila interbieu, dia kata kerjanya masih tak habis.

Dia masih rasa kerdil dan ada perancangan untuk luaskan lagi empayarnya 10 kali ganda dari yang ada. Perghhhh …

Itulah kebiasannya.

Dunia korporat.

Tapi itulah yang Tom Fishburn tolak dan lawan arus.

Siapa kata itu cara terbaik dalam menjalankan perniagaan?

Siapa kata memang macam itu caranya bila ada syarikat?

Siapa kata semua orang kena ikut buat macam itu?

Dia lebih suka ambil konsep jadikan perniagaan lebih baik dan itu tidak semestinya bermaksud perniagaan perlu lebih besar.

Jadi, jika anda juga seorang yang suka lawan arus. Tak mahu ikut kepala mereka yang telah dibasuh oleh drama pukul 7 petang, anda boleh pertimbangkan konsep tersebut di atas.

Konsep untuk hanya berikan tumpuan kepada macam mana nak jadikan perniagaan, produk, servis dan lain-lain yang berkaitan, lebih baik saban tahun.

Lebih baik bermakna pelanggan beratur setia tak mahu cari orang lain.

Lebih baik bila anda terpaksa naikkan harga supaya lebih ramai yang tak boleh ikut dan anda tak perlu layan ramai orang sangat. 

Hanya yang terpilih saja yang akan kekal untuk anda layan. 

Anda dan pelanggan dah jadi umpama isi dan kuku terpisah tiada.

Paling penting, kehidupan anda kekal selesa. 

Anda berjaya jadi seorang manusia dan bukannya pelakon dunia korporat yang tak ada kehidupan selain dari meeting dan business trip.

Salah ke besarkan syarikat?

Mungkin ada yang tertanya soalan tu.

Jawapannya, sudah tentu tidak!.

Bagi saya secara peribadi. Fokus pada aktiviti jadikan perniagaan anda itu lebih baik. Baik untuk anda dan baik untuk pelanggan yang anda nak layan.

Jika besar diperlukan. Sebab itu saja satu-satunya cara untuk jadikan syarikat dan perniagaan anda lebih baik, maka besarkanlah.

Kalau ada pilihan lain, elok pertimbangkan pilihan lain itu.

Kenapa lebih baik buat macam itu?

Sebab ramai sangat saya jumpa kawan-kawan usahawan yang bila sembang pasal jadikan bisnes lebih baik, dia terus ingat pada besarkan syarikat.

Tambah staff untuk tambah sales, tambah cawangan, tambah isteri supaya ada orang kepercayaan jaga cawangan baru dan seumpamanya.

Jangan teruja sangat dengan nak tambah cawangan dan segala aksesori bergemerlapan dunia korporat.

Depa nak buka cawangan sampai ke Nepal, biarlah kat depa.

Kita fokus pada mencukupkan segala keperluan diri dan menambah baikkan lagi syarikat supaya kekal relevan, tahan lasak dan kukuh zaman berzaman tanpa perlu ke kutub utara dan selatan untuk buka satu lagi cawangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post