11 perkara yang anda boleh buat untuk bangun semula setelah jatuh dalam perniagaan

Perkongsian ini khas untuk anda yang sudah jatuh kecundang dan sedang mencari idea bagaimana nak bina semula tapak baru yang lebih baik.

Jatuh dan bangun adalah perkara biasa. Orang yang tak pernah gagal ialah mereka yang tidak pernah mencuba apa-apa yang baru.

Itu kata-kata yang saya petik dari Albert Einstein. Quote asalnya seperti kat bawah ni.

A person who never made a mistake never tried anything new.

Albert Einstein

Kalau kata Einstein itu kita zoom ke dalam dunia keusahawanan, mungkin lebih kurang sama seperti di bawah ni.

“Orang yang tak pernah buat silap dalam perniagaan ialah dia yang tak pernah berniaga”

Sekali lagi saya ulang, gagal dalam perniagaan adalah perkara biasa. Jika tak pernah gagal sejak mula berniaga dari dulu dan sekarang masih kekal berjaya, itu adalah sesuatu yang luar biasa.

Jika anda sedang hadapi masalah dalam perniagaan sekarang. Rasa macam dah teruk sangat sampai nak masuk peringkat tersungkur. Tak perlu berduka sangat terkenangkan segala apa yang dah berlaku.

Lupakan saja segala hasil yang dah jatuh dan hilang itu.

Bermula dari sekarang, fokus untuk lihat ke depan. Bangun bina semula diri dan perniagaan anda. Samada buat bisnes baru atau boleh saja kekal dan bina semula perniagaan yang lama.

Di bawah ini, saya berikan tips ringkas langkah-langkah yang anda perlu ambil untuk bangun membina semula diri.

1. Biarkan saja ia jatuh ke dasar

Ini langkah paling awal. Biar saja semuanya jatuh berkecai ke bawah.

Biar sentuh dasar paling bawah yang tak ada lagi dasar selepas itu. Bila dah sentuh dasar, senang untuk lonjakkan semula diri naik sebab dah ada dasar tempat berpijak.

Dalam ertikata lain, ini adalah satu proses menerima kenyataan. Proses untuk tidak lagi membuat penafian dan berlakon seolah-olah anda masih macam sebelum ini juga.

Masih terpuji dengan kejayaan bisnes anda macam sebelum ini.

Ramai kawan lama yang satu ketika dahulu sangat gah perniagaan mereka kongsikan petua ni pada saya. Punca utama mereka terus jatuh tak bleh naik semula adalah disebabkan terlalu lama duduk dalam dunia penafian.

Ramai orang ada masalah ini bila dari seorang usahawan yang berjaya kemudiannya bisnes mula jatuh ke bawah dan kebawah. Dia masih terbelenggu dengan gejala penafian.

Tak mahu terima kenyataan.

Nasihat saya, persetankan apa orang nak kata.

Orang nak hina dan pandang rendahpun biarkanlah. Apa nak buat. Memang anda dah jatuh. Tahan nafas dan tahan hentakan kuat pada dada anda tu. Lagi kuat anda bertahan menerima hentakan, lagi sedar anda kepada kenyataan.

Jangan terus nafi kejatuhan. Jangan hidup dalam lakonan. Marka nak laripun biarlah mereka lari. Kawan menjauhkan diri, biarkan saja. Hatta isteri atau pasangan serta anak-anak nak laripun relakan saja.

Anda dah tak perlu lagi teruk nak kena buat lakonan demi lakonan.

2. Kotorkan diri semula kerja teruk

Bila anda dah terima hakikat kedudukan sebenar, mudahlah untuk buat balik semua kerja kotor seperti masa awal anda mula berniaga dulu.

Bukan kerja kotor bukan dalam ertikata jenayah.

Tapi kerja main lumpur pecahkan keringat muka berminyak semula. Buat apa saja yang halal demi survival. Buang jauh-jauh ego ke maruah ke apa ke bagai ..

Rendahkan diri. Anda sendiri tahu dalam peringkat survival ini, disiplin adalah penentu kebangkitan. Kalau orang kata kerja macam lembu pun biarkan kata-kata itu. Abaikan saja.

Bangun awal, pergi kerja awal tepat pada masanya, balik lewat dan konsisten kerja teruk adalah satu perkara biasa untuk naik semula.

3. Beranikan diri dengan media sosial

Gunakan media sosial sebaiknya. jangan takut untuk dedahkan semua kegagalan dan kejatuhan anda.

Bukan untuk minta simpati. Tapi untuk kongsikan pengalaman real kehidupan pada semua orang. Itu cerita yang sangat menarik perhatian sesiapa saja. Orang ramai sukakan cerita. Tambahan pula cerita benar.

Ini dapat bantu anda keluar dari kegelapan dan berdiri di tengah lampu terang benderang. Insyaallah keajaiban akan mula berputik untuk anda.

4. Kata boleh walaupun rasa tak bersedia

Bila anda dapat apa saja tawaran yang dirasakan berat. Jangan nak tolak. Kata saja boleh dan berusaha jayakannya.

Kalau orang berikan tawaran dalam keadaan anda dah kongsikan semua kedudukan anda sekarang, itu ertinya mereka lihat anda mampu.

Terima dan kerja keras. Paksa diri anda untuk ke depan menjadi lebih elastik. jangan layan kesan down yang masih ada tu.

5. Baca buku motivasi dan pujuk diri

Pergi cari buku motivasi yang popular. Kalau perlu minta cadangan dari kawan-kawan yang rajin membaca. Pergi beli dan baca.

Baca betul-betul dan buat catitan untuk diamalkan.

Semua kesakitan yang anda rasa perlu diubahkan kepada keazaman. Jadikan rasa sakit itu tonik untuk menjana tenaga kekuatan untuk berjaya.

Bila anda hadapi cabaran, cemuhan atau dugaan, sentiasa bertanya soalan ini, “apa perkara positif yang aku boleh serap dari semua ini?”

Buat perkara baru. Bersenam, kalau tak pernah bersenam. Joint seminar, cari kawan baru. Jumpa usahawan baru dan lain-lain yang anda belum pernah buat.

6. Buat perkara luar biasa

Cari sesuatu yang luar biasa untuk anda lakukan. Mungkin perkara yang tak pernah anda terfikirkan selama ini.

Public Speaking umpamanya.

kalau tak ada orang nak jemput anda berikan ceramah kongsikan pengalaman hidup dunia perniagaan anda, rakam saja dan post ke dalam YouTube.

Tak payah nak risau nanti apa orang nak kata ke apa.

Gunakan medium pemasaran baru dalam mempromosikan perniagaan anda sekarang. Mediaum yang anda tak berani buat dan tak terfikir nak buat selama ini.

Yang pentingnya, pastikan apa yang anda buat itu adalah luar biasa.

Bila nak buat tu, tanya terlebih dahulu, adakah ini luar biasa?

Kalau biasa-biasa saja, cari idea lain.

7. Banyak memberi secara percuma

Jangan sesekali rasa anda dah tak ada apa-apa dan tak boleh memberi secara percuma kepada orang lain. Fikirkan semua perkara, yang anda boleh berikan kepada orang lain secara percuma.

Ceramah, nasihat, pengalaman, penulisan atau apa saja, berikan secara percuma.

Kalau tak ada duit nak sedekah, banyak lagi benda pain yang anda boleh berikan percuma.

Ingat! banyakkan memberi. Tiap-tiap hari perlu ada yang diberikan percuma. Gunakan segala mediaum yang ada untuk tujuan memberi secara percuma.

8. Peka kepada kesihatan diri

Janji pada diri anda sendiri untuk berikan komitmen penuh terhadap menjaga kesihatan diri.

Bukan banyak perkarapun yang anda perlu buat untuk komitmen ini. Hanya 3 perkara ini sahaja.

  • Jaga makan – Pilih makanan yang sihat. Banyak makan buah dan sayur. Ambil tahu pasal pemakanan bermula dari sekarang. Kurangkan gula lebihkan senyuman. Kurangkan garam dan banyak minum air suam.
  • Jaga rehat – Beri keupataan untuk masa merehatkan diri terutamanya jumlah waktu tidur yang anda perlukan. Pastikan anda mula ambil berat terhadap ilmu tidur nyenyak. Cari buku dan belajar semua cara rehat ni termasuklah cara duduk dan cara bertafakur untuk rehatkan minda.
  • Banyak bergerak – Pilih jalan kaki dari berkenderaan. Parkir kenderaan jauh dari destinasi. Bersumpah untuk jogging atau jalan kaki 45 minit 3 kali seminggu. Jangan sampai kena makan sumpah!.

9. Buat catitan semua perkara

Kalau selama ini anda dah abaikan amalan mencatit ni, sila mulakan semula. Kalau memang masih amalkan, lebarkan sayapnya.

Catit apa saja. Idea dan buah fikiran yang terlintas dalam benak kepala anda. Bila nak berfikir, buka buku catitan dan mulakan catitan.

Tak boleh ada ketika yang mana anda sedang berfikir tanpa membuka buku catitan untuk dicatitkan.

Bila jumpa orang, bila berbincang, bila ke kelas atau seminar dan lain-lain seumpamanya, buka buku catitan dan catit.

10. Layan semua orang sebagai kawan

Samada memang kawan anda atau kenalan kerja atau pelanggan, layan mereka sebagai seorang kawan yang anda hormati.

Jaga hati mereka. Dengar masalah dan fahami mereka.

Sentiasa bersedia bersusah payah untuk bantu mereka jika dilanda dugaan.

11. Peka kepada amalan kebaikan

Sepanjang waktu anda berjaga, berikan perhatian pada sekeliling. Lihat di mana ada berlaku amalan kebaikan dan kagumi amalan itu.

Jangan habiskan satupun hari anda tanpa melihat dan mencatitkan amalan kebaikan yang berlaku di sekeliling anda.

Kalau dah nak habis hari itu masih tak nampak juga, ertinya anda sendirilah yang wajib buat satu amalan kebaikan kepada manusia atau makhluk lain.

Jangan main-main dengan azam ini dan jadikan dia komitmen hidup anda.

Istiqamah buat perkara ini dan tunggu keajaiban yang pasti akan berlaku dalam hidup anda. Tak percaya cuba buat dan tengok.

Masa untuk bangun semula

Saya dah kongsikan 11 perkara yang anda boleh lakukan untuk bangun semula setelah jatuh dalam perniagaan atau apa saja kejatuhan.

Mungkin ada yang bertanya kenapa tak masukpun bab solat dan doa?

Ada dalam tu. Cuba baca betul-betul ada terselit dalam salah satu dari 11 perkara yang saya sebutkan di atas tu. Cuma saya tak masukkan secara spesifik sebab saya yakin bukan semua yang baca artikel ni beragama sama macam agama saya.

Jadi saya hanya senaraikan perkara universal sebagai seorang manusia biasa yang boleh diterima pakai oleh semua orang di negara kita Malaysia. Ambil faham berdasarkan kedudukan diri masing-masing.

Semoga ada manfaatnya dan selamat beramal. 

Post a Comment

Previous Post Next Post