5 cara mudah yang anda boleh buat untuk tingkatkan keuntungan dalam perniagaan


Saya kongsikan dalam artikel ini satu pedoman terbaik, bagaimana nak tingkatkan perniagaan yang sedang anda usahakan sekarang.

Tak perlu pergi seminar bisnes anjuran sifu handal diluar sana. Tak perlu bayar mahal-mahal untuk dapatkan bantuan 'mentoring' dari pakar terbalikkan bisnes.

Jika betul-betul serius nak majukan bisnes tu, saya bantu anda sekarang buat langkah mula. Tips yang saya kongsikan di sini sangat “power”

Tapi yang lebih penting adalah ianya sangat 'ringkas'

Kalau saya ubah tajuk di atas tu ke dalam Bahasa Inggeris, mungkin dapat berikan gambaran yang lebih jelas akan kuasa tinggi yang ada pada 5 formula yang dikongsikan di bawah ini. Kita boleh panggil panduan ni sebagai ..

The 5 powerfull tools to improve your business!

Haaa!, nampak lebih jelas sikit apa yang cuba saya sampaikan.

Saya ingatkan sekali lagi bahawa formula ini sangat berguna, berkuasa tinggi tapi menjadi satu rahsia kepada ramai usahawan berjaya di luar sana.

Rahsia sebab ramai yang tak perasan betapa mudahnya langkah asas nak besarkan bisnes.

Walaupun satu rahsia. ia sebenarnya sangat mudah. Sebab kesemua asas untuk tingkatkan bisnes anda tu, sebenarnya ada dalam semua 5 proses yang menghasilkan duit dalam perniagaan anda sekarang.

Saya terangkan satu persatu secara ringkas di bawah.

1. Berapa ramai yang tahu bisnes anda

Ini angka pertama yang perlu anda tahu, dan pantau.

Anda perlu sedar bahawa inilah pencetus mula, membawa kepada berlakunya jualan dalam apa saja perniagaan yang dibuat.

Selagi tak ada orang yang tahu bisnes anda wujud, selagi itu lah tak ada pelanggan.

Mustahil ada manusia yang akan datang secara tiba-tiba tanpa sedar lalu membeli produk atau servis yang anda tawarkan. Takkan berlaku dalam dunia sebenar.

Dalam proses ni, tumpuan anda sebagai Taukeh adalah, fikirkan macam mana semua orang di seluruh kawasan, sasaran perniagaan anda, tahu yang bisnes anda wujud dan ada di situ.

Ada tak satu cara paling mudah nak tahu samada orang tahu ke tidak?

Ya! memang ada dan mudah sangat.

Anda hanya perlu bertanya.

Setiap orang yang anda jumpa, cuba tanya tahu tak pasal syarikat atau bisnes anda?

Selagi jumpa ada orang yang geleng kepala kata tak pernah dengarpun nama syarikat macam tu, tak tahupun ada produk macam tu, selagi itulah kerja anda masih belum selesai.

Saya berikan contoh.

Andaikan anda buka workshop di pekan sebuah daerah. Dengan sedikit usaha semakan samada melalui google, majlis perbandaran atau mana-mana yang mampu berikan maklumat penduduk, anda dapati terdapat lebih kurang 100 ribu buah kenderaan di sekitar daerah itu dalam lingkungan 30 kilometer radius.

Anda mula lancarkan bancian secara mudah.

Setiap kali jumpa indivdu dengan kereta di daerah itu, anda akan berbual dapatkan maklumat di mana dia tinggal kemudian tanya samada dia tahu tentang workshop anda di pekan tersebut.

Hasilnya, anda dapati dalam setiap 10 orang yang ditanya, hanya seorang saja yang tahu.

Secara kasar, anda boleh rumuskan ada 10 ribu orang dah tahu pasal workshop anda sekarang.

Selesai dapat satu angka. Simpan baik-baik angka tu.

Kita pergi ke proses 2 pula.

2. Berapa ramai jadi pelanggan

Orang tahu saja tak cukup.

Perlu dilanjutkan lagi supaya dia datang dan beli buat pertama kalinya produk atau servis anda.

Maknanya dari sekadar prospek sebelum ini, dia dah bertukar jadi pelanggan. Dia convert jadi customers, kata orang putih.

Anda perlu kira peratusan setiap pelanggan yang tahu pasal bisnes anda tu menjadi pelanggan. Kita buat andaian yang peratusannya adalah 10%.

Ertinya setiap kali anda keluar beritahu dan terangkan pasal bisnes tu kepada 100 orang yang baru, akan ada 10 orang yang datang membeli.

Mungkin anda pergi jumpa sendiri, mungkin anda iklan kat FB atau Google dan ada 100 orang klik.

Dari 100 orang yang klik tu, 10 keluarkan duit dan beli produk atau servis anda.

Contoh:

Rujuk semula kepada contoh di atas tadi. Anda boleh kira berapa ramai data base pelanggan yang dah jadi pelanggan anda. Katakan setelah anada semak, ada seramai seribu pelanggan yang pernah datang.

Maknanya, dari 10 ribu yang kenal tadi, hanya seribu yang berjaya dijadikan pelanggan. Kadar dari prospek bertukar jadi pelanggan bisnes anda hanyalah 10% sahaja.

Dah dapat angka ke-2. Jom tengok proses selanjutnya di bawah.

3. Purata belian setiap pelanggan

Cuba kira setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, berapa purata seorang pelanggan anda berbelanja dapatkan produk atau khidmat anda.

Untuk dapatkan jawapan ini, anda terpaksa kira berapa orang yang jadi pelanggan setiap hari.

Kalau jual nasi lemak, kira berapa ramai datang. Beli saja tasbih eletronik tu, tekan setiap kali ada pelanggan datang dan beli, macam pramugari kira penumpang atas kapalnya.

Habis berniaga petang tu, anda dapat tahu berapa orang pelanggan anda.

Kemudian kira pula berapa sales yang anda buat hari tu. (Saya yakin amalan kira jumlah sales masuk dah dok buat dah selama ini. Itu asas yang tak payah nak beritahulah kan!)

Untuk kira purata setiap orang pelanggan anda berbelanja kepada bisnes anda tu, hanya perlu kira jumlah jualan bahagi dengan jumlah pelanggan.

Jika jualan anda hari tu adalah RM1,500 dan jumlah pelanggan adalah seramai 10 orang,

Purata belanja setiap pelanggan: RM1,500 / 10 = RM150

Buat kiraan yang sama untuk seminggu dan seterusnya untuk sebulan. Disebabkan anda kira setiap hari berapa jumlah pelanggan datang, mudahlah nak kira untuk seminggu dan sebulan. Campur saja keseluruhannya.

Setiap bulan anda wajib kira berapa jumlah jualan dan berapa orang pelanggan. Anda bahagikan jualan dengan jumlah pelanggan, maka dapatlah nilai belanja setiap seorang pelanggan anda.

Contoh:

Dalam bisnes workshop, jumlah pelanggan di sebut “Intake”

Pergi tanya kesemua pusat servis apa saja jenama kenderaan dari Jepun sampai ke Jerman, mereka boleh berikan angka ‘intake’ pusat servis mereka setiap hari. 

Mereka juga tahu dengan tepat purata belanja setiap pelanggan yang masuk ke pusat servis mereka dari sejak mula berniaga sampai sekarang.

Untuk anda yang bisnes lain, boleh pakai nama ini juga.

Sebut saja sebagai intake. Itu maklumat penting untuk anda kira, pantau dan hafal. Ia penting kalau anda ada niat nak maju dan tingkatkan perniagaan anda sekarang.

Sekarang kita pergi ke proses yang ke-4

4. Kekerapan ulang beli

Dalam tempoh setahun, jika anda punya bisnes jenis cepat ulang beli, kena kira kekerapan dalam tempoh sebulan atau mungkin sehari.

Untuk tujuan inilah kenapa orang berniaga terpaksa guna sistem. Supaya mudah kira dan dapat segala maklumat ini dengan jelas dan betul. 

Semua rekod pelanggan akan dimasukkan ke dalam sistem. Jumlah transaksi setiap pelanggan akan dapat diketahui dengan tepat.

Penciptaan kad loyalty adalah proses untuk kira maklumat ni. Itu tujuan utama sebenarnya. Bukan nak bagi hadiah sangat pun.

Bila anda tawarkan point atau apa-apa saja bentuk kelebihan, maka setiap kali pelanggan datang, dia akan berikan maklumat kad kesetiaannya untuk kemas kini. 

Dan anda akan dapat kira berapa kali dia datang dalam tempoh semingu atau sebulan atau setahun.

Katakan setelah anda cari jalan untuk kira kekerapan setiap pelanggan datang adalah 2 kali setahun. Itu kiraan purata.

Kalau ada 10 pelanggan, ada yang datang 5 kali setahun, ada yang datang sekali saja setahun, ada yang datang 2 kali setahun. Kira jumlah semua kekerapan tu dan bahagikan dengan jumlah pelanggan. 

Dapatlah purata berapa kerap seorang datang dalam tempoh setahun.

Kesemua proses dari Proses 1 sehingga proses 4 membawa kepada jumlah jualan yang bisnes anda buat dalam tempoh setahun.

Nampak tak!

  • Dari 10 ribu orang tahu, 10% jadi pelanggan. Iaitu 1000 orang pelanggan
  • RM150 perbelanja setiap pelanggan
  • 2 kali datang beli

Anda menghasilkan RM300,000.00 jualan setahun !

Membawa kita ke proses terakhir dalam bisnes anda, iaitu ..

5. Berapa kadar keuntungan

Ini perkara paling penting yang anda wajib buat. Kira jualan, kira untung kasar kemudian kira kos tetap dan dapatlah jumlah untung bersih yang perniagaan anda hasilkan.

Jumlah untung bersih tu, bahagikan dengan jumlah jualan, anda dapat margin peratusan untung bersih perniagaan anda.

Katakan tahun sudah, anda buat 10% margin untung bersih.

Jadi, anda ada RM30,000 duit dalam akaun bank anda tahun lepas. Itu jumlah yang bisnes anda hasilkan setelah tolak kesemua kos termasuk gaji anda sendiri dan sebagainya.

Ada baki lagi RM30 ribu, kena bayar cukai perniagaan dan bayar zakat perniagaan dan bakinya, boleh sedekah kesemuanya kat masjid, jika itu yang anda mahu. Atau laburkan semula ke dalam perniagaan anda supaya jadi lebih mantap dan boleh bantu orang lebih banyak lagi di masa hadapan.

5 formula asas tingkatkan bisnes

Sekarang anda dah nampak kesemua perkara asas yang berlaku dalam perniagaan anda dari A ke Z sehingga menghasilkan keuntungan dalam bsines tu.

Apa yang anda perlu lakukan sekarang adalah aktiviti tingkatkan kesemua nombor yang dah diukur tadi.

  • Dari 10,000 orang tahu, naikkan lagi 10% supaya jadi 11,000
  • Dari 10% yang tukar jadi pelanggan, naikkan 10% kepada 11%
  • Dari purata belanja seorang pelanggan RM150, naikkan 10% kepada RM165
  • Dari kekerapa 2 kali datang, naikkan 10% kepada 2.2 kali
  • Dan dari untung bersih 10% naikkan 10% kepada 11%

Kesemua peningkatan kecil 10% dalam setiap satu dari proses bisnes anda itu akan membawa kepada peningkatan sebanyak 61% untung bersih yang anda hasilkan pada keseluruhan perniagaan anda.

Itulah formula rahsianya!

Sekarang pergi lihat semula satu persatu. Cari jalan macam mana nak naikkan angka setiap satu urusan tersebut.

Jika anda rasa semua ini bermanfaat, kongsikan pada seramai mungkin kawan-kawan yang berniaga. Jangan anda pula kemut, kedekut, tangkai jering tak mahu kongsikan apa yang anda belajar supaya semua orang lain dapat naik sama.

Kongsikan artikel ini juga pada kawan-kawan. 

Post a Comment

Previous Post Next Post