Apa yang saya faham tentang berwaspada ketika sihat sebelum datangnya sakit


Jaga ketika sihat sebelum sakit ni merupakan satu rumusan yang ringkas tapi sangat padat dan mendalam nasihatnya.

Ia merupakan salah satu dari nasihat yang sangat popular didengari sejak kecil dulu lagi.

Anda tentu dah pernah dengar nasihat tentang perlunya jaga 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara ni.

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.”

Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi

Untuk artikel ni, saya nak fokus hanya kepada bab sihat dan sakit saja.

Jom kita lihat nasihat itu dan cuba memahami agar perjalanan hidup jadi lebih baik di dunia dan di akhirat.

Sihat sebelum sakit

Semenjak dilahirkan, sehingga ke saat ini, sihat dan sakit sentiasa datang dan pergi. Ada 3 faktor utama yang mempengaruhi kesihatan anda.

  • Keturunan - Faktor ini memang tak boleh nak buat apa-apa. Ia bukan satu pilihan. Tapi telahpun tersurat. Terima dan anggap saja ianya satu ujian untuk menilai keupayaan diri dalam menerima cabaran dan melayari kehidupan.
  • Keadaan sekeliling - Sekalipun genetik yang anda ada jenis tak ada penyakit keturunan, faktor sekeliling masih mampu berikan kesan terhadap tahap kesihatan anda. Tapi faktor ini mampu untuk ditangani berdasarkan pilihan yang kita sendiri buat.
  • Amalan gaya hidup - Faktor ini berkait rapat dengan kedua-dua faktor di atas. Dilahirkan dari keluarga yang mencintai makan banyak, akan berikan pengaruh yang sama terhadap cara anda menerima amalan tersebut. Juga dibesarkan di bawah satu suasana sekeliling tertentu, mampu berikan idea akan cara menjalani kehidupan. Namun tetap masih dalam kawalan diri sendiri seandainya anda mahu menggunakan akal yang Tuhan berikan.
Dalam banyak-banyak masalah kesihatan, yang paling penting untuk diperhatikan adalah jenis yang terbentuk secara perlahan-lahan. Datangnya ambil masa dan apabila datang, tak akan balik lagi dah.

Contohnya seperti masalah kencing manis terutamanya jenis 2.

Ketiga-tiga faktor di atas mainkan peranan dalam menentukan samada masalah itu akan hinggap atau tidak pada anda.

Sakit sebegitu tak datang secara mengejut. Anda tak akan terus kena kencing manis selepas minum air gula 3 timba berturut-turut.

Amalan berterusan dalam tempoh yang lama, suka kepada bahan makanan yang mampu berikan masalah kencing manis akan berikan masalah itu bila tiba masanya.

Bila dah kena, tak boleh nak patah balik. Sudah terlewat.

Oleh itu, perhatikan keturunan, perhatikan suasana sekeliling dan perhatikan gaya hidup untuk cuba jauhkan masalah kesihatan jenis yang terbentuk perlahan-lahan ini.

Hanya gaya hidup sahaja yang paling berkesan dalam memelihara diri anda berhadapan dengan perkara ini.

Kuasai keinginan ketika sihat

Bila ada penyakit samada dari keturunan atau akibat gaya hidup tak sihat, ada makanan dan amalan hidup yang terpaksa di jauhkan jika mahu kawal kesan buruk dari penyakit itu.

Dalam contoh kencing manis, ada banyak makanan dan minuman yang anda tak boleh belasah sesuka hati jika dan menghidapinya. Contohnya karbohidrat dan lain-lain makanan yang banyak gula.

Jika dah tahu ada keturunan memang terkenal dengan penyakit kencing manis, maka belajarlah kuasai nafsu keinginan terhadap semua benda yang mengundang masalah tersebut ketika diri masih sihat.

Memang betul. Ketika masih sihat, kenapa nak pantang?

Pantang bukan sebab tak boleh makan. Tapi bertujuan untuk kuatkan emosi agar tidak ketagih lalu terikat terhadap semua benda itu.

Bila dah jatuh sakit, tak boleh minum manis dan makan nasi banyak. Jika selama hidup sihat berajakan nafsu terhadap semua makanan dan minuman sedemikian, maka teramat sukar nak pantang bila dah kena penyakit.

Itulah tujuan berpantang ketika sihat masih tak ada apa-apa masalah. 

Satu ketika nanti, dah terkena akibat penyakit keturunan tu. Bila doktor kata tak boleh makan itu tak boleh minum ini, mudah saja diamalkan. Sedikitpun tak ada masalah untuk dilakukan.

Kan mudah begitu?

Berpantang ketika sihat tak semestinya dapat elakkan terus penyakit keturunan itu. Tapi paling besar faedahnya adalah keupayaan mengawal emosi keinginan terhadapnya bila diperlukan.

Makan sekali sekala ok saja ketika sihat. Yang pentingnya jangan sampai terikat dan menggemarinya.

Ziarah orang sihat

Dah jadi amalan kita setiap kali dengar saudara atau kawan rapat sakit akan pergi ziarah.

Apatah lagi jika ibubapa atau adik abang yang sakit.

Tapi yang lebih bagus adalah ziarah ketika mereka semua masih sihat. Ketika itu lebih bermakna menjalinkan perhubungan. Bukan ketika dah jatuh sakit baru nak berhubung.

Jika ketika sihat kita ziarah, apatah lagi ketika sakit. Lagipun anda yang sering ziarah kawan yang sihat, sudah tentu kawan akan ziarah dan bantu ketika anda sakit. 

Terutamanya kedua ibubapa yang dah tua. Waktu terbaik menziarahi mereka adalah ketika kedua-duanya masih sihat. Bila dah sakit biasanya dah terlewat.

Amalkan petua mudah ini dalam bab penjalinkan perhubungan kekeluargaan atau kenalan. 

Waktu terbaik untuk jaga perhubungan adalah ketika masih tiada apa-apa masalah dalam perhubungan"

Belajar tingkatkan kesabaran

Masa sihat boleh juga diumpamakan dengan kuat. 

Bila tengah kuat, belajar tahan diri dari menggunakan kekuatan itu sekalipun anda berada di pihak yang benar. Jika tidak perlu, tidak mendatangkan sebarang kebaikan, berlalu saja.

Tanya dulu samada bertindak sekadar nak puaskan ego atau atas faktor keselamatan. Jika hanya ego yang mahu dipuaskan, beredar saja adalah lebih baik.

Bukan penakut, bukan lemah. Anda sendiri tahu dengan kekuatan yang ada boleh saja bertindak.

Mampu kawal diri dalam keadaan itu adalah kekuatan yang paling penting yang sangat diperlukan ketika lemah.

Bila sakit, tak kuat, orang akan berani dan ambil sikap tak endah dengan diri kita. Jika selama hidup, ketika kuat layan kekuatan itu, maka ketika lemah, cubaan nak tunjuk kuat akan makan diri sahaja.

Nak sabar dah tak mampu sebab selama ini tidak belajar kendalikan dan tingkatkan kesabaran.

Maka di saat kesabaran tinggi amat diperlukan, anda tentu akan kecundang dan merana jiwa. Namun tak dapat buat apa-apa.

Ingat, ketika sihat dan kuat, gunakannya untuk baiki tahap kesabaran dengan menahan diri dari melepaskan kekuatan tersebut.

Keupayaan itu amat berguna ketika sakit dan lemah.

Tak ada hebatnya seorang yang kuat sasa, belasah orang lain sampai masuk hospital. Namapun kuat. Apa nak heran?

Tapi yang jauh sangat hebat adalah seorang yang kuat sasa, tahan diri dari belasah orang yang jauh lebih lemah dalam keadaan dia berupaya dan layak melakukannya.

Banyak kali saya lihat sendiri bagaimana orang yang jenis panas baran layan semahu-mahunya keadaan itu ketika dia masih sihat dan kuat. Bila diri dah sakit lemah, masih cuba nak layan barannya tapi orang hanya tertawa dan jentik telinga saja.

Tak ada sesiapa yang susah ketika anda tidak sabar dan bersikap panas baran ketika diri sakit dan lemah selain dari diri sendiri yang makan hati dan merana.

Kekangan ketika sakit

Untuk faham apa yng perlu dilatih dan cuba ditangani sementara masih sihat, perlu lihat apakah kekangan yang anda mungkin hadapi ketika sakit.

Secara umum bila tak sihat ada 2 perkara besar yang berlaku.

  • Tak boleh makan dan minum - Ada penyakit yang buatkan tubuh badan hilang selera dari makan dan minum. Ada pula yang buatkan mulut pahit dan tawar tak rasa apa-apa.
  • Pergerakan fizikal terbatas - Keupayaan diri menurun dengan teruk bergantung kepada tahap kesakitan yang dihadapi. Ada yang sampai tak mampu bergerak ada pula yang sekadar rasa tidak selesa sahaja.
  • Gangguan pernafasan - Ini antara satu lagi perkara biasa yang dihadapi ketika sakit. Rasa sesak nafas, kurang tenaga dan semput.
Dari cabaran sakit di atas apa yang boleh anda lakukan ketika sihat adalah melatih tahap kesabaran. Seperti yang saya dah sebutkan di atas.

Perlu sabar menunggu. Biasakan diri menerima pergerakan masa yang dirasakan sangat lembab. Jangan asyik tergesa-gesa nak cepat setiap kali bergerak atau mahu laksanakan sesuatu.

Oleh itu, ketika sihat, perlu latih biasakan diri untuk duduk tenang tak buat apa-apa. Hanya duduk lihat dengar dan rasa apa yang berlaku. Boleh buat samada di rumah atau ditaman atau di mana saja anda berada.

Latihan tenangkan diri begitu dapat bantu anda kuasai jiwa bergelora yang sentiasa cuba menghambat diri bersikap tergesa-gesa tak mampu bersabar. 

Lebih mudah buat latihan itu ketika masih sihat dari terpaksa makan hati tidak berupaya ketika tidak sihat.

Ketika sakit, makan tak sedap tak ada selera membuatkan tubuh badan jadi lemah. Jika tidak dilatih kekuatan tubuh menerima dan sesuaikan diri dalam keadaan tiada makanan dan minuman masuk ke badan, maka bila sakit datang, tentu keadaan jadi lebih teruk.

Oleh itu, ketika sihat, latih diri amalkan puasa. Paling sikit sebulan 3 kali. Di awal, pertengahan dan hujung bulan. Atau boleh buat puasa isnin dan khamis. Boleh juga amalkan alternate fasting.

Biasakan diri berhenti makan sebelum kenyang walaupun makanan itu teramat lazat. Sikap itu sangat membantu ketika sakit sebab diri dah berjaya kawal nafsu yang mendorong untuk berlebihan kecapi kelazatan.

Yang pentingnya latih diri kurang makan dan sesuaikan diri dalam keadaan itu ketika masih sihat. Bila dah sakit, semua kekangan yang perlu dihadapi lebih mudah ditangani dan buatkan diri lebih tabah.

Untuk hadapi masalah gangguan pernafasan pula, perlu latih diri amalkan cara bernafas yang betul agar pernafasan lebih optimum dan paling sikit menggunakan tenaga.

Perlu juga berlatih tahan nafas agar tubuh badan dapat sesuaikan diri dengan keadaan kekurangan oksigen. Semua itu jika dilatih ketika masih sihat, dapat membantu sesuaikan kekangan masalah pernafasan ketika sakit.

Nota: Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pemerhatian, bacaan dan amalan sendiri selama ini. Saya bukan pakar dan tidak juga mendalami apa-apa ilmu formal terhadap rawatan atau penjagaan kesihatan. Mana baik, ikut, tak baik, abaikan saja.

Post a Comment

Previous Post Next Post