Jika anda kerja untuk cari duit, pastikan anda tahu perkara asas tentang 'duit' ini


Apa yang anda perlu tahu pasal duit?

Ada beberapa perkara asas yang anda perlu faham tentang duit, untuk memudahkan tindakan dan amalan agar hidup jadi lebih tenang dan senang.

Ada orang terperangkap dengan kerja. Terpaksa kerja kuat, teruk, sentiasa rasa tertekan dan hidup dalam keadaan kelam kabut. Harap anda yang membaca ini tidaklah seteruk itu. Minta dijauhkan dari berada dalam keadaan sedemikian. 

Untuk elakkan dari duduk dalam situasi di atas, elok berikan sedikit perhatian untuk fahami duit yang saya kongsikan kat sini.

Sebelum saya teruskan. Perlu diingatkan bahawa saya bukan pakar dalam bidang kewangan. Masih tak layak untuk beri jaminan, “tak hensem takpa, janji kaya!”. Tiada janji jadi kaya dalam artikel ini.

Apa yang saya tahu dan kongsikan hanyalah perkara asas sahaja. Semua maklumat ini berdasarkan pembacaan, pertanyaan kepada kawan-kawan yang lebih pandai, juga dari  pengalaman dan pengamatan serba sedikit selama hidup sebagai seorang pengusaha bisnes kecil di negara ini.

Harap anda faham ya!. Teruskan bacaan di bawah.

Kenapa perlu kerja?

Ada dua sebab anda perlu kerja.

Sebab pertama.

Sebab anda sangat suka buat kerja yang sedang anda buat sekarang. Jatuh cinta dengan kerja tersebut sehingga, jika tak kerja boleh rasa murung dan naik biru muka tu. Dalam masa yang sama, anda dah punya segala keperluan yang mencukupi untuk hidup tanpa perlu memikirkan tentang bebanan cari duit lagi.

Kategori yang pertama di atas tu, amat jarang berlaku.

Jika anda salah seorang insan yang bernasib baik yang dapat macam itu, tahniah!.

Anda termasuk dalam kumpulan ‘rare’, mereka yang tidak perlu bekerja untuk hidup.

Sebab kedua, kenapa perlu kerja.

Untuk dapatkan duit.

Ini paling ramai ada di luar sana.

Duit diperlukan dalam kehidupan di zaman moden ini. Dengan duit, anda boleh tampung kesemua urusan kehidupan yang lain.

Saya pun sama saja. Masuk dalam kumpulan ni.

Memang ada kerja yang saya buat sebab suka buat kerja tu. Tapi, kebanyakan kerja saya, tujuan akhirnya sebab nak dapatkan duit juga.

Banyak kerja saya terpaksa buat walaupun tak suka sebab ia mampu berikan duit.

Tak faham pasal duit

Untuk anda yang sama seperti saya, yang kerja sebab perlu dapatkan duit, cuba fikir sejenak, pelik atau tidak?

Seandainya selama ini, anda pulun kerja dapatkan duit, tetapi, tak berapa faham bagaimana duit yang anda cari itu berfungsi!.

Tanda seseorang itu tak faham pasal duit apabila berlaku macam di bawah ini.

‘Pulun buat kerja, kerja kuat. Lagi kuat kerja, dapat lagi banyak duit. Bila dapat banyak duit boleh banyak berbelanja. Bila habis, pergi cari lagi, dapat dan belanja lagi’.

Macam itulah yang berlaku. Terutamanya pada yang makan gaji. Memang tak boleh nak mengelak dari berulangnya semua itu.

Untuk elakkan perkara tersebut berterusan, mari cuba fahami sedikit perkara asas tentang duit. Supaya kenal benda yang dicari selama ini, yang anda dapat hasil dari buat kerja.

Jom kita tengok apa perkara asas tersebut kat bawah ..

Duit banyak bukan perkara utama

Ramai orang yang berjaya cari duit dengan sangat banyak. Tapi bila dia tak faham macam mana duit bekerja, sekejap saja semua duit tu akan habis lesap.

Ada seorang kawan yang pernah ceritakan pada saya bagaimana dia boleh habiskan duit sebanyak 12 juta dalam tempoh setahun saja. Dia belanjakan RM1 juta sebulan!

Bayangkan! 12 juta tu !.

Bila dia cerita kat saya, masa tu saya terfikir panjang. Fikir untuk belajar macam mana nak buat, untuk jadi pandai habiskan RM1 juta sebulan tanpa teragak-agak. Itu satu ilmu yang sangat hebat.

Bukan senang nak cari 12 juta. Tapi dia boleh buat dengan kreatviti yang dia ada. Malangnya dia hanya pandai cari duit. Tapi tak berapa pandai nak buat apa dengan duit tu.

Tapi anda tak perlu pandai sampai mampu buat duit RM12 juta dengan pantas. Sebab yang pentingnya, anda hanya perlu ada sumber pendapatan.

Itu paling utama. Banyak atau sikit adalah tidak berapa penting sangat.

Jika anda fikirkan semula, dalam zaman sekarang ni, nak cari duit adalah satu urusan yang sangat mudah.

Buat bisnes secara online saja mampu membuatkan anda dapat duit dengan mudah. Cuba tengok orang buat kerja kat dunia cyber tu. Macam-macam mereka ketengahkan ..

Hanya kongsikan saja maklumat, anda boleh dapat duit.

Anda tentu perah tengok paparan kat skrin media sosial anda ayat macam ni kan ..

“Bukan MLM, bukan Skim Cepat Kaya, bukan bla-bla-bla, kata ‘nak’ saya akan kongsikan ..”

Jangan terkejut. Ada saja orang yang joint.

Ada saja yang akan dapat jana duit berbekalkan ayat-ayat macam tu saja.

Nak beritahu kat sini, nak buat duit sebenarnya memang agak mudah. Pegang maklumat itu dan tak perlu nak risau untuk ligan duit yang banyak.

Simpan banyak juga tak guna

Cuba kaji berapa banyak nilai duit RM1 kita telah menyusut dari awal tahun 60-an dahulu sampai sekarang. RM1 zaman P Ramlee sudah tentu lansung tak sama nilai dengan RM1 yang ada dalam poket anda tu sekarang. Betul tak?

Jadi, kalau anda buat kerja, dapat RM100. Belanja RM50 dan baki lagi RM50 tu anda simpan masukkan ke dalam bank.

Biarkan pendam saja kat situ. Sebab anda amalkan apa yang orang pesan, bila dapat duit jangan lupa untuk menabung.

Tambah satu lagi.

Jika anda tak suka riba. Tak mau simpan dalam akaun yang janjikan bayaran interest.

Katakan anda simpan duit RM50, sejak zaman P Ramlee dulu lagi. Sampai sekarang masih ada dan kekal duit tu dalam simpanan sebanyak RM50.

Jika di zaman P Ramlee dulu, anda boleh senyum lebar, layak bangga.

Tapi sekarang, anda cepat-cepat akan koyak penyata baki akaun yang keluar dari mesin ATM tu. Sikitpun tak rasa bangga dengan jumlah sebanyak tu!

Buat supaya duit bekerja untuk anda

Jika anda dah baca buku Rich Dad Poor Dad tentu dah biasa sangat dengar ayat ni. “Buat supaya duit bekerja untuk anda dan bukannya anda yang kena bekerja untuk duit”.

Kita dah baca kat atas tadi 2 perkara penting tentang duit.

  • Banyak bukanlah perkara utama dalam mencari duit
  • Menabung juga bukan perkara utama dalam mencari dan simpan duit.

Yang penting adalah usahakan supaya duit tu mula buat kerja untuk anda. Dalam ertikata yang betul, anda perlu melabur. Mat Saleh kata Invest. Itulah maksudnya yang dikatakan, duit buat kerja untuk anda.

Dan dalam bab melabur pulak. Tak perlu nak pandai macam Warren Buffet baru nak mula melabur. Anda boleh mula melabur dalam beberapa pilihan yang asas seperti berikut.

  1. Emas
  2. Hartanah
  3. Bond
  4. Pasaran saham
  5. Matawang Digital

Dengan meletakkan duit anda dalam pilihan tersebut, nilai duit itu tak akan menyusut teruk apabila masa beredar.

Pelbagaikan pelaburan anda

Ini satu lagi panduan tambahan yang sangat penting. Perlu pelbagaikan sumber di mana duit yang anda dapat tu dilaburkan. Jangan labur hanya pada satu tempat sahaja.

Cuma masalahnya, berapa dan nak letak kat mana.

Dalam contoh yang saya berikan kat atas tadi. Ada 5 tempat yang anda boleh laburkan duit sekarang. Cuba perdalamkan lagi pengetahuan anda terhadap ke semua perkara itu sedikit demi sedikit supaya lebih faham.

Jumlah yang perlu ditetapkan ke setiap saluran pelaburan itu juga bergantung pada umur dan jumlah duit yang anda ada sekarang.

Jika ada RM100 ribu lain caranya. Jika ada RM5000 pula lain lagi caranya.

Juga bergantung pada umur anda. Kalau RM100k dan masih muda dalam 20-an, anda ada masa panjang untuk ambil risiko naik turun ekonomi dalam pasaran saham.

Tapi kalau umur dah 60 tahun, elok pertimbangkan betul-betul kalau nak main saham di bursa yang biasanya sangat ‘volatile’.

Apapun, perlu selidik dan ambillah kursus atau seminar supaya mula faham sedikit demi sedikit. Faham tentang mekanisma setiap pelaburan dan mula tentukan berapakan peratusan yang sesuai untuk anda buat pelaburan.

Mungkin begini,

  • Emas – 10%
  • Hartanah – 40%
  • Bond – 20%
  • Pasaran saham – 25%
  • Matawang digital – 5%

Saya main letak saja peratusan tu secara spontan dengan sedikit pertimbangan berdasarkan umur saya dan jumlah duit yang ada. Mungkin untuk anda sendiri berbeza.

Bagi yang berniaga pula tentu bergantung pada kedudukan perniagaan sekarang. Ok ke tak ok. Stabil ke tidak. Anda perlu fikirkan kepantasan untuk cairkan pelaburan seandainya diperlukan untuk kegunaan perniagaan yang jauh lebih penting dari pelaburan kat atas tu.

Moga ada manfaat artikel ini. Saya ingatkan sekali lagi yang saya sekadar kongsikan maklumat asas. Bukan saya pandai dalam bab pelaburan ni. Sama macam anda juga. Silap hari bulan, anda lebih pandai dari saya.

Sama-sama lah kita cari maklumat dan mendalami urusan seterusnya bagaimana nak melabur. Yang pentingnya perlu melabur dan jangan simpan statik macam tu saja. Apatah lagi kalau simpan dalam tin milo!

1 Comments

  1. satu info dan ilmu yang pasti amat bermanfaat untuk saya juga

    ReplyDelete
Previous Post Next Post