Asalkan anda bersedia untuk belajar, akan ada orang yang datang mengajar


“Bila anak murid bersedia, cikgu pun muncul”
.

Pernah dengar ayat di atas tu?

Paling terkenal, ayat tu disebut daam Bahasa Inggeris berbunyi begini.

“When the student is ready the master will appear.”

Saya ada cuba cari maklumat dari mana asal usulnya ayat itu dalam carian Google. Dikatakan, ayat tu adalah berasal dari kata-kata Lao Tzu.

Ayat penuhnya berbunyi begini.

 “When the student is ready the teacher will appear. When the student is truly ready… The teacher will Disappear.”

Ada juga yang percaya itu merupakan ajaran yang datang dari Gautama Buddha.

Walau dari manapun datangnya ayat menarik tu, saya rasa yang lebih baik adalah untuk cuba selami apa maknanya dan fikirkan semula perjalanan hidup anda selama ini antara menjadi anak murid dan menjadi cikgu.

Anak murid bersedia jadi cikgu

Ini merupakan salah satu cara nak faham maksud ayat tersebut.

Saya pun sebelum ini tak nampak tafsiran dalam bentuk ini. Tapi kebetulan bila buat carian untuk mendalami maksudnya, terjumpa pula tafsiran ni.

Bila anak murid dah belajar, mendalami segala ilmu dari gurunya. Sehingga satu masa, satu tahap, dia telah berjaya menguasai ilmu tersebut. Maka ketika itu, muncullah pula seorang guru baru.

Ertinya anak murid tu dah naik darjatnya ke atas menjadi seorang guru pula.

Sebab itu ayat tersebut berkata, bila anak murid bersedia, cikgupun muncul. Dialah yang jadi cikgu tu sebab dah pandai dah bersedia untuk ambil peranan sebagai cikgu.

Cikgu muncul bila murid bersedia

Ini satu lagi fahaman yang biasa orang pegang.

Selama ini saya juga nampak kepada tafsiran ini. Dan artikel inipun saya nak tulis pada mulanya berdasarkan pengalaman dari sudut tafsiran ini.

Kebetulan saya sendiri ada pengalaman cuba untuk menjadi cikgu. Cuba untuk kongsikan sedikit ilmu yang ada kepada kawan-kawan yang berniaga.

Bila dah cuba, baru nampak sangat benarnya ayat itu.

Datanglah cikgu sehebat tara manapun, nak cuba mengajar. Kalau orang kat depan tu tak bersedia nak jadi anak murid, tak bersedia nak belajar, rasa dia dah tahu, dah sangat bijak dan tak perlu diajar, sia-sia sajalah kehadiran cikgu tu.

Buang masa dan kacau jiwa sahaja.

Terutamanya jiwa cikgu yang sanggup bersengkang mata, sediakan segala bahan dan luangkan masa bercakap dan cuba fahamkan. Tapi anak murid tak pandang pun, malah anggap semuanya buang masa dan membosankan.

Anak murid hanya tunggu masa cikgu berhenti sebentar untuk dia cabar dengan pertanyaan yang dianggapnya sukar. Soalan yang kadangkala sangat bebal.

Macam sebutan Lao Tzu kat atas tadi.

Bila anak murid dah rasa dirinya bersedia, cikgupun terus hilang. Walaupun cikgu secara fizikal masih terpacak kat depan tu, tapi martabat dan kegunaannya dah hilang. Sebab anak murid rasa dah pandai dan tak mau diajar lagi.

Bersedia jadi anak murid

Dari pengalaman saya sendiri. Yang saya lalui terutamanya ketika waktu awal nak berniaga dahulu.

Kalau anda benar-benar nak belajar, anda hanya perlu bersedia untuk menjadi anak murid sahaja.

Bila dah bersedia, tak payah tunggu lama. Cikgu akan muncul dari segenap sudut. Bukan macam cerita donggeng. Muncul Tok Sheikh dari udara berkepul-kepul datang ajar ayat pengasih atau ayat kebal tak lut senjata.

Tapi memang muncul kawan atau kenalan dan semua orang yang anda jumpa akan berubah bertukar menjadi guru. Ada saja perkara yang anda serap dan ambil pelajaran.

Perumpamaannya, bila anda usung gelas kosong tunjukkan pada orang, akan ada saja orang nak isikan air masuk ke dalamnya.

Masa mula beriaga dulu, saya memang sangat kosong pengetahuan. Memang saya sungguh-sungguh terasa macam tu. Rasa satu bebanan jiwa yang kuat mencari jawapan terhadap soalan berat masa tu.

“Macam mana nak berniaga?”

Apa yang perlu saya buat untuk mula berniaga.

Paling penting berniaga dengan betul. Maksudnya dapat menjana pendapatan dan dapat menampung hidup untuk diri sendiri serta kesemua tanggungan yang ada.

Berniaga dengan betul supaya tidak menyusahkan orang. Sebaliknya memudahkan kehidupan orang. Biarlah diri sendiri bersusah-susahan. Asalkan banyak orang mendapat manfaat dari usaha yang dijalankan dalam perniagaan itu.

Bila ada pertanyaan secara ikhlas muncul dari dalam sudut hati yang paling dalam, maka itu tandanya sudah muncul seorang anak murid dalam diri anda sendiri.

Tak tunggu lama, muncullah guru yang sudi memberikan pengajaran. Tak jemu memberi tunjuk ajar tanpa minta dibayar. Ramai yang muncul ketika itu.

Antara orang awal yang sangat saya hargai ialan kawan di kampung. Saya sangat berterima kasih pada seorang kawan senior Zolkifly Mat Lazim namanya. Seorang Taukeh Hospital. Dia antara kawan-kawan awal yang banyak ajar saya tentang dunia bisnes.

Mungkin dia pun tak sedar yang dia jadi guru saya. Tapi saya sedar banyak benda yang sudah dipelajari dari dia. Masa mula-mula nak berniaga dulu, dialah yang banyak ajar saya. Dari dia, saya jumpa lebih ramai lagi usahawan lain.

Kalau nak senaraikan terlalu banyak.

Tapi semuanya muncul dan seribu satu ilmu saya belajar dari mereka. Samada saya ikut atau tak ikut itu perkara lain. Tapi semua maklumat dan pengajaran itu membuatkan saya rasa mula faham sedikit demi sedikit.

Mula membuatkan saya lebih yakin untuk membuat keputusan dan pergerakan dalam menjalankan bisnes sendiri. Sehinggalah sampai ke saat ini.

Rasa sukar untuk dapatkan guru

Dah sekian lama saya rasa sangat gundah gulana (pinjam ayat P Ramlee).

Gundah sebab memikirkan saya perlukan seorang guru yang boleh saya belajar dan tambah banyak ilmu. Untuk membolehkan saya keluar dari cengkaman atau belenggu statik di tahap yang saya tengah berada sekarang.

Dah banyak tahun jadi macam tu.

Kebanyakan masa, bila duduk berjumpa dengan orang, sayalah yang akan banyak bercakap. Sayalah yang akan banyak berikan pandangan dan nasihat.

Bila selalu jadi macam tu, saya mula rasa bosan. Saya mula rasa takut kalau-kalau saya selama ini hanya perasan pandai. Sedangkan orang tak hargai lansung apa pandangan saya. Mereka angguk sekadar nak ambil hati saja.

Itu tak pa lagi.

Paling risau adalah tahap statik yang ada sekarang. Rasa macam dah beberapa tahun tak bergerak naik. Itu lebih merisaukan. Saya perlukan munculnya seorang guru. Untuk itu saya perlu banyak mendengar dari banyak bercakap. Tapi …

Bila saya cuba diamkan diri, biasanya tak akan jadi juga.

Apa masalah saya?

Kenapa guru tak mucul-muncul?

Sekarang baru saya sedar dan dah jumpa jawapannya. Kalau anda juga sedang alamai masalah yang sama. Saya nak kongsikan jawapannya kat sini hari ini.

Perlu bersedia jadi anak murid

Guru tak akan muncul selagi anda sendiri tak bersedia nak jadi anak murid. Tak ada pertanyaan yang ikhlas yang anda ingin tahu datang dari sudut hati anda yang paling dalam.

Ya saya tahu!. Memang semua orang ada pertanyaan.

Tapi tak berapa nak ikhlas lagi apabila, sebaik saja orang jawab soalan tu, anda bantah dan mencabar untuk menolak jawapan yang diberikan. Bukannya nak hadam dan cuba merungkai dengan lebih banyak lagi pertanyaan untuk mendalaminya.

Itulah yang sebenarnya berlaku pada diri saya selama ini.

Dalam bahsa kasarnya, saya dah mula jadi perasan pandai.

Nak tolak nak bantah semua pendapat orang. Kononnya pendapat saya lebih baik dan lebih matang. Tahap gurulah katakan. Itulah perasan yang membuatkan anda tak akan jadi anak murid.

Maka sampai bilapun guru tak akan muncul.

Walau apapun, eloklah saya dah sedar diri. Saya doakan hati ini segera menjadi rendah. Moga hati lebih tertunduk. Hilanglah perasaan perasan. Dan semoga menjadi kecil ego yang dah naik tocang tu.

Ya Allah, jadikah aku seorang anak murid yang dahagakan jawapan tentang kehidupan ini! Amin.

Saya harap anda yang membaca juga dapat manfaat dari artikel ini. Bersedia untuk menjadi anak murid. Insyaalah, guru akan muncul nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post