8 perkara yang anda perlukan dari kawan-kawan untuk mudah berjaya


Antara perkara yang paling ramai tak suka. Dan saya yakin anda juga sama saja macam saya. Kita tak suka ada perubahan. Kita memang sangat degil untuk menerima perubahan.

Ya lah!

Berubah memang tak selesa.

Kita dah rasa sedap dan selesa. Duduk dalam kepompong. Tetiba nak dipecahkan balutan keselesaan itu bertukar jadi bentuk lain pulak.

Memang ianya sesuatu yang menyakitkan samada fizikal mahupun mental.

Tapi itu semua terpaksa ditelan juga kalau mahu perubahan yang lebih baik. Tak akan jadi lebih baik seandainya tiada perubahan.

2 perkara sahaja yang akan berlaku pada sesuatu yang berubah. Pertamanya, dari tak baik kepada baik.

Dan yang ke-2 dari baik jadi tak baik.

Kita bercakap tentang perubahan yang pertama tu. Minta simpang dari berlaku yang ke-2 tu.

Untuk pastikan berlakunya perubahan dari tak baik kepada baik, atau dari baik kepada lebih baik, anda perlu buat perkara yang sangat penting, iaitu, berkawan.

Kenapa perlu ada kawan?

Apa yang kita nak dari kawan-kawan?

8 perkara diperlukan dari kawan

Apa yang diperlukan dari kawan-kawan yang anda kerap jumpa?

Penting untuk anda tahu, apa yang anda mahukan dari mereka. Bukan main ikut kaki melangkah saja.

Takut kalau-kalau banyak masa yang akan terbuang.

Anda akan hanyut jika sekadar berkawan dengan semua orang. Perlu kenal pasti samada dia mampu jadikan anda seorang insan yang lebih baik atau tidak. Samada dia mampu bantu anda untuk berjaya atau tidak.

Jesteru itu, perlu tahu perkara yang anda mahu dari kawan-kawan yang sering diluangkan masa bersama.

Untuk itu, saya kongsikan di bawah, 8 perkara yang diperlukan dari kawan-kawan.

1. Kekuatan dan sokongan membina diri

Kawan untuk mengarut dan membuang masa mudah saja nak cari.

Kawan yang memang dah jadi sifat semula jadinya sentiasa ikhlas memberikan semangat serta galakan untuk anda terus menjadi lebih baik bukan mudah nak cari.

Dalam banyak-banyak perkara, ini yang agak sukar untuk anda dapatkan. Biasanya kawan yang mampu berikan bantuan untuk anda membina diri jadi lebih baik ni lebih senior dari anda dan mereka ada banyak pengalaman.

Mereka juga memang sangat berjaya dan ada hasrat mahu melihat seseorang yang dia boleh bantu untuk pergi lebih jauh.

Terus terang, saya masih tercari-cari seseorang yang macam ini. Sebelum ini memang ada tapi malangnya dah pergi lebih awal sebelum saya berjaya jadi apa-apa.

Anda perlu peka dan kenal pasti siapa antara kawan yang anda ada memang jenis macam tu. Kalau tak ada lagi, cari sampai jumpa. Kalau ini tak ada, anda akan hadapi masalah untuk pergi lebih jauh lagi.

Bila anda jumpa kawan yang macam ini, ada saja perkara baru yang tercetus. Ada saja semangat baru tercungkil keluar untuk anda segera buat pembaikan. Hala tuju semakjn jelas dan jalannya juga semakin luas.

Kawan jenis ini memang sentiasa memberikan motivasi untuk anda terus membina diri. Bukan saja dia mampu berikan motivasi dan inspirasi. Malah dia juga mampu tunjukkan jalan dan pedoman bagaimana nak ambil jalan tu secara terperinci.

2. Kekalkan keyakinan diri

Ini perkara kedua yang anda perlukan dari kawan-kawan.

Anda perlu kekalkan keyakinan diri yang kuat. Perlu percaya kepada keupayaan anda sendiri. Kalau kepercayaan diri hangus. maka hangus jugalah kemungkinan untuk anda berjaya dan terus berusaha.

Kepercayaan diri anda akan jadi lebih kuat bila ada kawan-kawan yang dengan ikhlas, yakin dan percaya akan kemampuan dan kekuatan yang anda ada. Mereka bukan buat-buat. Tapi ikhlas dan betul-betul percaya dan kagum dengan anda.

Mereka malah rasa bangga menceritakan pada orang lain yang mereka kenal anda.

Bila rasa down, pergi jumpa kawan-kawan jenis macam itu, anda terus hilang rasa lemah tersebut dan bertukar menjadi yakin dan kuat semula. Itulah gunanya ada kawan-kawan yang mampu berikan keyakinan diri jadi lebih kuat.

Untuk perkara yang ke 3 hingga ke 8 akan saya sambung dan post pada hari khamis ini. Insyaallah!

Sambungan dari artikel yang sebelum ini. Saya dah terangkan 2 perkara sebelum ini yang anda perlu dapatkan dari kawan-kawan.

Dalam sambungan ini, saya selesaikan lagi 6 perkara. Baca kat bawah ni.

Saya juga ada rakam video pendek yang menerangkan berkenaan topik yang sama dalam YouTube.

Untuk anda yang nak tambahan penerangan secara santai dari percakapan, sila tonton video tersebut. Video ada kat bawah ..

3. Menuju matlamat secara berjemaah

Dengan adanya kawan-kawan yang satu kepala, anda akan lebih mudah melayari segala cubaan secara berjemaah.

Bukan mudah mengharung cabaran seorang diri. Kemungkinan untuk gibab adalah sangat tinggi.

Dengan adanya kawan-kawan kawan-kawan yang satu kepala, mudah untuk berkongsi segala cerita susah dan senang. Mudah cakap bahasa yang sama sebab saling faham memahami.

Kawan yang satu kepala ni biasanya akan membuatkan anda rasa masa macam tak berjalan setiap kali bersama dengan mereka.

Bila dah set nak jumpa, keseronokkan terus terasa. Ada saja perkara nak bincang. Ada saja benda nak update.

4. Teman pendengar yang baik

Dalam ramai-ramai kawan dan orang yang anda kenal termasuklah saudara mara, bukan semua anda akan kongsikan cerita sedih dan masalah.

Tak kisah samada masalah bisnes, masalah keluarga, masalah rumah tangga atau masalah peribadi yang lain.

Biasanya cerita macam itu hanya boleh dan selesa untuk anda kongsikan dan luahkan hanya pada kawan tertentu saja.

Keluarga sendiripun ada cerita yang anda tak akan kongsikan.

Perlu ada kawan macam ini. Yang sangat kukuh pegang rahsia anda. Dia akan genggam sampai dibawanya ke dalam kubur.

Ada seorang saja kawan macam ni, yang berkeupayaan jadi pendengar yang baik, anda adalah manusia yang sangat bertuah. Carilah seseorang yang macam itu.

Bia dah jumpa, tatang dia, hormat dia, pelihara kebaikannya dan berkawan dengan dia sampai ke akhir hayat. Samada anda yang cangkulkan tanah merah menutup kerandanya, atau dia yang mencangkul tanah melitupi keranda yang anda ada di dalamnya.

5. Pembekal jaringan perhubungan

Bila berniaga, anda sangat perlu luaskan perhubungan. Sentiasa ada orang lain yang anda perlu kenal untuk melancarkan segala urusan dan projek anda contohnya.

Contact atau perhubungan ini biasanya lebih mudah anda dapat dari kawan yang memang jenis seorang connector.

Dengan sikap semula jadi yang dia ada membuatkan dia kenal hampir semua orang dengan baik.

Kenal pasti siapa kawan macam ini dan kenal rapat dengan dia. Ini akan memudahkan anda berhubung dengan siapa saja yang anda perlukan bila keperluannya timbul.

6. Pembekal tenaga

Ada orang yang sentiasa punya tenaga luar biasa. Saya ada kenal seorang kawan yang macam itu. Ajaklah buat apa saja projek. Pergi jalan, pergi minum, pergi buat demo pergi terjah orang besar. Dia sentiasa akan setuju.

Entah dari mana dia dapat tenaga hanya Tuhan saja yang tahu.

Anda perlu kenal dan rapat dengan kawan macam ini sebab anda pasti akan perlukan tenaga, kekuatan dan semangat yang dia ada di kala anda sudah lesu.

7. Mencabar minda

Bukan semua orang yang mampu cabar pemahaman anda dan pendapat yang anda utarakan. Tambah pulak jika anda jenis rajin cari ilmu, rajin bertanya dan banyak berfikir.

Jadi bila anda berikan pendapat, kongsikan pandangan semua orang akan ya saja!

Itu sangat tidak membantu untuk anda buat penambah baikan atau buat pertimbangan terhadap apa yang anda nak putuskan.

Bila jadi macam itu, anda perlukan seseorang yang sangat bijak, berpengalaman dan berterus terang.

Dia jenis yang tak segan silu tak fikir pasal urusan kena jaga hati anda. Dia jenis orang yang akan cabar segala pandangan anda secara terperinci sampai anda berpeluh jem nak jawab. Ada saja sudut yang dia akan cari untuk bangkang.

Cari kawan yang ada perangai macam ini untuk pastikan minda anda sentiasa di asah menjadi tajam.

8. Bimbingan dan panduan

Bukan semua orang ada bakat menjadi pendidik atau pembimbing. Kebanyakan masa, orang nampak kesalahan kita lalu dia tegur. Tapi kita tak dapat terima tegurannya sebab dia jenis yang tidak ada skill menegur tanpa orang yang ditegur terasa.

Jadi untuk pastikan anda mendapat bimbingan yang baik, perlukan seseorang yang bukan saja luas ilmu dalam kenal pasti salah dan betul, malah banyak pengalaman dalam membuat pilihan bimbingan sesuai untuk anda sehingga mudah masuk ke dalam hati.

Cari kawan macam itu untuk mendapatkan bimbingan hidup dan amalan dalam semua pekerjaan.

Kongsikan artikel pada kawan

Agar proses berkawan anda mencapai matlamat elok kongsikan artikel ini kepada kawan-kawan rapat anda yang lain.

Bila dah baca, semua dapat faham apa yang anda jangkakan dari mereka.

Ini juga dapat bantu mereka muhasabah diri untuk kenal pasti kedudukan masing-masing. Apakah peranan mereka terhadap kawan-kawan yang lain.

Yang baik elok dikongsikan ..

Post a Comment

Previous Post Next Post