Terkenang Kampung Penanti, Kubang Semang, Bukit Mertajam, ketika zaman kanak-kanak dahulu


Kalau anda orang utara, terutamanya yang tinggal di Seberang Perai, tentu pernah dengar nama Kampung Penanti.

Kampung itu masuk dalam kariah Kubang Semang. Bila solat jumaat semua tertumpu di Masjid besar tepi jalan di Kubang Semang.

Kubur besar anak kariah Kubang Semang juga ada di sebelah masjid tu.

Pekan Penanti merupakan pusat tumpuan semua anak kariah Kubang Semang. Kalau nak beli barang runcit, pekan itulah jadi pusat utamanya.

Ada pasar ikan di simpang 3 pekan Penanti. Atas sikit saja dari simpang tu, di tepi jalan nak ke Permatang Pauh.

Masih segar gambaran suasana pasar setiap pagi bila dapat teman mak beli ikan masa kecik dulu. Muka taukeh Cina yang layan, siang dan potong ikan untuk mak pun masih kuat melekat dalam otak ni.

Berdepan pasar basah, ada rumah kayu seorang auntie tua yang niaga kecil-kecilan jual kelapa parut. Ada mesin parut kelapa depan rumah di pintu sebelah kanan bangunan kayu lama setingkat itu.

Selain dari jual kelapa parut, saya tahu dia juga jual nombor ekor haram.

Ramai orang beli darinya.

Termasuklah Melayu kat kariah Kubang Semang. Muka auntie itu terkejutpun saya masih ingat segar dalam kepala ni. Terkejut ketika saya minta nak beli nombor ekor kat dia. Masa itu saya cuba berkenalan dengan judi haram tikam ekor ketika remaja.

Naik lagi ke atas menuju ke Permatang Pauh, ada lagi rumah kedai. Ada kawan satu kelas tinggal di salah satu rumah kedai tersebut. Namanya Lim Kok Sang. Semua adik beradiknya punya peha besar dan berotot. Itu identiti keturunan mereka agaknya.

Bila terus lagi ke depan, ada kedai ‘laksa campur’ Pak Su Mat.

Itu singgahan rutin setiap kali balik sekolah menengah dulu.

Terus lagi ke depan dah mula ada banyak rumah kampung. Ada satu kedai, Perabut Azmi. Satu-satunya kedai perabut Melayu di situ. Banyak juga perabut yang mak beli darinya seingat saya.

Turun balik ke simpang 3, ke kiri.

Anda akan masuk pekan utama Penanti. Banyak kedai satu deret sampai ke atas sepanjang jalan yang berakhir dengan kedai hardware.

Paling glamor Kedai Bata. Kedai paling canggih zaman kecik saya. Pusat beli kasut sekolah dan selipar.

Ada pesaing di sebelahnya jual kasut dan barangan keperluan rumah penuh di kiri kanan atas tergantung sampai masuk ke belakang. Kalau beli kasut sekolah jenama Fung Keong, saya akan ke kedai sebelah. Kasut bola kain hitam pun ada jual.

Sebelah kedai Cina Bata, belah kiri, ada Restoran Pak Darus.

Kami orang utara panggil Pak Oih. Mee kuah dia memang tahap ketagih sedapnya. Dia jual nasi campur juga di waktu tengahari. Sarapan juga ada. Belah belakang kedai dia biasanya jadi pot pelanggan tetap.

Deret depan seberang jalan turut dipenuhi dengan kedai.

Paling Top, kedai kopi Ah Nyuk. Meriah dengan kaki judi dan pakar Mah Jong kat belakang kedai tu. Itu jalan utama saya pakai untuk pintas masuk ke Pekan Penanti dari belakang kampung. Sentiasa lalu depan mereka yang sedang main judi. Melayu, Cina India, semua ada. Kopi o Ah Nyuk katanya sedap ya amat.

Saya anak lelaki paling kecil, jadi kuli ke kedai paling kerap, setiap kali mak suruh beli barang. Selalu gaduh dengan abang kes kena pergi kedai. Asyik saya yang kena pergi ulang alik lebih dari sekali setiap hari.

Bila ingat balik, entah kenapa nak gaduh saya pun tak faham. Sedangkan memang seronok dapat ke pekan penanti tu. Selain dari pucat mengigil kena kejar anjing yang taukeh Cina Boon Siah bela kat belakang kedainya, yang lainnya semua ok saja.

Antara kedai runcit utama yang ada sebelah dengan kedai kopi Ah Nyuk itu adalah sebuah kedai Melayu. Kami panggil Kedai Pat Janggut.

Memang taukehnya punya janggut tebal dan panjang. Badannya gempal. Dia kuat tabligh. Kedai dia penuh dengan barang kering keperluan dapur. Beras, tepung, gula, bawang dan sebagainya.

Bila bulan puasa, Pat Janggut jual kurma. Dia timbang kilo. Ceduk dari guni jerami di mana kurma hancurnya disimpan.

Saya rasa kurma itu lebih layak di makan kuda dari di makan manusia. Tapi kemiskinan ketika itu buat kami tak ada pilihan selain dari makan kurma hancur yang rasanya macam kulum gula merah saja.

Demi dapatkan pahala sunnah berbuka dengan kurma, makanan kuda itu kami kunyah juga.

Dulu rajin curi buah kat tokong ni kat belakang kedai Ah Nyuk

 

Curi makan lepas pisang ketika puasa

Saya kena paksa berpuasa sejak sekolah rendah lagi. Bila amalan dibuat kerana terpaksa, memang cenderung untuk tipu bila ada kesempatan.

Paling awal saya tipu ketika sekolah rendah di Stowell Bukit Mertajam dulu.

Bulan puasa memang tak boleh nak makan. Sekolah Stowell semuanya budak lelaki. Kantin sebelah makanan Cina saja dibuka ketika Ramadan. Jadi tak boleh nak tipu beli dan makan.

Lagi pun, bila puasa, bukannya lapar sangat. Masa tenaga tengah banyak zaman budak dulu, lebih banyak terlupa nak makan sebab leka bermain.

Namun begitu, hanya satu perkara yang tak dapat tahan.

Dahaga nak minum air.

Tak makan boleh tahan lagi walaupun sehari penuh. Tapi air memang tak boleh. Jadi bila dah tak tahan sangat, saya ke tandas sekolah rendah lama tu. Buat-buat cuci muka dan teguk air pili yang sejuk sampai kenyang.

Rasa air paip tandas sekolah lama tu masih mampu saya bayangkan. Tak tahu kenapa dia rasa sejuk dan manis. Terutamanya ketika berpuasa.

Bukan selalu saya tak tahan. Bergantung kepada keadaan. Biasanya lebih kepada nafsu keinginan dan bukannya kerana tak tahan lapar atau dahaga.

Ada sekali tu, mak tak ada kat rumah.

Saya sorang diri atas rumah kayu lama kami ketika itu. Dulu masih tak ada rumah bawah. Ada berandah yang rendah di hujung depan halaman. Kat berandah itu arwah bapak sembang dengan kawan atau tetamu yang singgah. Ada tempat duduk kayu bersambung sepanjang dinding berandah yang comel tu.

Dari pintu berandah, masuk ke serambi. Di situ ruang tamu yang kosong rumah kami. Tak ada kusyen. Hanya dilapik tikar mengkuang, kemudiannya tikar getah saja, untuk tutup celahan antara 2 papan lantai rumah.

Jalan sampai hujung ada pintu yang memisahkan antara serambi dengan rumah ibu.

Situ kawasan sanak saudara duduk jika datang bertamu. Juga tempat orang perempuan, kawan mak yang rapat datang berborak.

Ada pintu masuk terus dari luar ke ruang rumah ibu tu. Dengan tangga tirus panjang turun ke bawah berdepan dengan pokok rambutan kat tepi rumah lama kami.

Dari rumah ibu tu boleh terus ke dapur. Ada ‘para’ kayu tempat mak simpan barang dan makanan. Ada juga almari lama kayu yang pintunya dipasang jaring hijau. Itu almari simpan lauk.

Kemudian ada ruang dapur tempat mak masak.

Parasnya lebih rendah sikit dari lantai yang lain. Situ juga tempat mak basuh pinggan. Tempat basahan kat situ. Air diisi dalam tempayan. Kemudian bila dah maju sikit, ada paip dipasang terus naik ke atas.

Telaga dan tandas, semuanya terasing jauh dari rumah.

Ada sekali tu bulan puasa.

Malam sebelum tu mak ada buat lepat pisang yang banyak. Hari tu saya sorang diri, tergerak nak ke dapur tengok apa yang ada.

Atas dapur kayu mak, nampak ada periuk. Punggung periuk tu kehitaman tanda terkena api kayu.

Dapur mak diperbuat dari kayu. Saiznya dalam 3 x 3 kaki. Dipenuhkan tanah atas ruang kayu tu. Kat situlah mak memasak. Atas tanah disusun bata 3 bucu dan atas bucu bata itu periuk tersebut berada.

Saya buka dan dalamnya dipenuhi lepat pisang. Ada 2 tingkat periuk tu sebenarnya. Bahagian atasnya periuk yang mak buat banyak lubang kecik di punggungnya. Diletakkan atas satu lagi periuk yang dipenuhi air. Mak kukus lepas pisang begitu.

Dalam keadaan puasa. Nampak melekit manja kulit daun pisang yang membalut lepat, bertindan tinggi satu persatu. Saya tak tahan gelora bila terbayang macam mana rasanya ketika menjamah kuih kegemaran tu ketika berbuka semalam.

Orang tak ada, apa lagi. Saya ambil satu buka dan makan. Di tengah lepat itu ada kelapa parut yang rasanya masin-masin sikit secukup rasa.

Habis satu, rasa tak puas. Buka satu lagi. Habis dua ketul saya belasah lepat pisang sedap tu.

Selesai semua, turun ke bawah. Pergi belakang rumah. Lompat parit kecil yang jernih airnya untuk ke hutan belukar sebelah tu. Banyak pokok belinjau dan hutan pisang kat situ. Saya campakkan kulit lepat tu di situ. Kesannya perlu dihilangkan dari radar syak wasangka mak.

Dan hari itu saya rasa bersalah ketika berbuka di waktu magribnya. Tapi hanya saya sahaja yang tahu.

Makanan dan patriotik

Itu hanya sedikit kisah kehidupan dan makanan sekitar lepat pisang buatan mak di kampung.

Kalau nak ceritakan lagi bab makanan, memang tak habis. Itu semua makanan tradisi hasil tangan mak. Hasil penat lelah arwah bapak cari duit. Kemudian duit sumbangan abang sulong bila dah kerja untuk kegunaan mak besarkan kami semua.

Semuanya diusahakan dengan cara yang paling menjimatkan seboleh mungkin bersesuaian dengan apa rezki yang ada.

Di sepanjang proses itu, berangkai lagi semua usaha orang lain. Long Esah yang sumbangkan daun pisang, berikan ubi atau makanan lain bila ada lebihan dari rumahnya.

Kedai Pat Janggut yang usahakan kedai runcit murahnya untuk keperluan orang kampung miskin seperti kami.

Berkait rapat semua usaha itu dengan tanah tempat kami tinggal. Rumah tempat berteduh. Masjid dan surau tempat belajar agama. Pulut kuning gulai daging dibuat kenduri kesyukuran sambutan ulang tahun kelahiran dan bermacam lagi rantaiannya sambung menyambung.

Ingat makanan yang mak jamu ketika membesar, membuatkan semua imbauan kenangan tanah tumpah darah tempat dibesarkan melintas jelas di benak kepala. Ada nilai nostalgia di dalamnya. Ada sejarah dan kenangan bersamanya.

Ikatan dan kenangan itulah yang membuatkan rasa sayang dan cinta berbunga mekar dalam jiwa terhadap rumah, kampung, pekan, daerah, negeri dan negara.

Apa lagi yang boleh diperkatakan terhadap perasaan itu selain dari patriotisme?

Sebab itu saya percaya, jika anda mencintai makanan yang orang tua hidangkan ketika membesar ditanah kelahiran anda, maka itulah tandanya jiwa patriotik berkembang mekar di jiwa anda.

Makanan itu ada kaitan rapat dengan bumi tanah air tumpah darah anda.

Post a Comment

Previous Post Next Post