Jumlah pendapatan tak cukup - Ini apa yang anda perlu buat


Artikel tentang jumlah pendapatan tak cukup ni adalah sambungan dari artikel bertajuk, 'Berapa jumlah duit yang anda perlukan untuk hidup selesa'. Kalau belum, baca boleh tekan pautan di sini untuk pergi baca.

Kalau tak nak bacapun, tak mengapa. Anda boleh baca artikel ini secara berasingan walaupun ia ada kaitan.

Jumlah pendapatan yang perlu

Saya tak pernah tanya soalan itu ketika membesar di kampung zaman kanak-kanak dulu. Tak pernah terlintas pun.

Baru sekarang perasan tentang perkara tersebut.

Maksud saya, bahawa saya tak pernah terfikir bab berapa jumlah pendapatan yang diperlukan untuk hidup.

Kalau tak menulis artikel ini, sudah pasti saya tak perasan perkara ini.

Kadang kala terlintas soalan samada anak-anak saya perasan yang semua perkara memerlukan duit. Bukan main petik jari, dan dapat.

Terfikir begitu setiap kali mendengar permintaan mereka nakkan itu dan ini. Lebih kurang merungut lah tu. Tapi hanya dalam pemikiran sendiri.

Sekarang, saya perlu akur.

Jika saya juga tak terlintas akan persoalan yang sama ketika kecil dulu, kenapa pula nak harap mereka akan faham?.

Keadaan zaman kanak-kanak mudah saja sifirnya.

Bila nak sesuatu, minta pada orang tua. Kalau tak dapat, ertinya dia tak mahu berikan. Kalau dapat, sebab dia buat keputusan untuk berikan.

Itu saja logiknya. Persoalan dari mana dia nak cari duit untuk penuhi permintaan, tak masuk dalam akal saya lagi ketika zaman kanak-kanak. Terus kekal begitu dari sekolah rendah ke menengah.

Lepas SPM, berniaga sendiri. Sebab ada ruang dan masa. Juga sebab tahu tak boleh nak harap minta duit dari mak yang memang tak ada sumber pendapatan lansung.

Selepas itu, bila sambung belajar, soalan itu juga masih tak difikirkan. Fokus hanya nak habiskan pelajaran. Untung dapat biasiswa. Jadi tak susahkan orang tua.

Jumlah biasiswa juga tak pernah dipersoalkan. Berapa yang dapat, itulah yang dibelanjakan.

Perbelanjaan juga tidak diuruskan dengan baik. Semua main congak dalam kepala saja. Yang penting, keperluan untuk makan dan minum mesti selesai. Dalam keadaan itupun, saya ada baki lebihan yang agak banyak sebagai pelajar. Idea nak berbelanja tak berapa banyak mungkin sebab kurang pendedahan. Ada bagusnya juga jahil berbelanja.

Keadaan menerima saja berdasarkan apa yang saya dapat berterusan sampai habis belajar.

Jumlah gaji yang mencukupi

Habis zaman belajar, masuk pula zaman cari kerja.

Masih sama keadaannya. Berapa sepatutnya jumlah gaji yang mencukupi, saya masih tak bertanya. Masih tak ada idea. Lebih tepat lagi, tak terlintas idea sebegitu dalam kepala.

Sekadar angan-angan adalah. Kalau dapat duit banyak tentu seronok sebab dapat beli apa yang saya tak ada.

Hasil dari bersembang dengan kawan-kawan sekampung ketika melepak, yang rata-rata kerja lebih awal dan sudah ada idea tentang jumlah gaji yang mereka terima, saya dapat sedikit gambaran tentang berapa jumlah yang dikatakan banyak dan berapa yang dikatakan sedikit.

Semua angan-angan berdasarkan dari maklumat itu.

Betullah kata orang tua. Dengan siapa anda berkawan, menentukan cara berfikir dan bertindak.

Kat kampung, dengan had pergaulan yang ada ketika itu, saya hanya dapat gambaran level mereka sahaja. Kalau tak salah, ketika itu, jumlah gaji yang banyak bagi saya adalah dalam lingkungan RM2,000 sahaja. Itu dah hebat punya tinggi!

Jumlah paling rendah, yang masih boleh diterima adalah RM300.

Untuk dapatkan jumlah gaji RM2,000 sebulan masa itu adalah satu angan-angan Mat Jenin yang saya yakin hampir mustahil nak dapat.

Tapi sekurangnya saya tahu tahap yang melayakkan diri untuk berlagak punya gaji besar di kalangan kawan-kawan sekampung, berapa jumlahnya.

Cuba bayangkan jika pergaulan saya berbeza.

Contohnya jika saya dibesarkan di kalangan kawan-kawan yang ibu bapa dari kalangan pegawai kerajaan tahap Jusa. Komuniti elite yang ada idea terhadap jumlah pendapatan yang tinggi.

Juga jika berkawan dengan anak-anak orang kaya dari kalangan ahli korporat yang kaya raya.

Sudah tentu idea yang saya cerap masuk dalam otak adalah jauh berbeza.

Tidak hairanlah berlakunya perbezaan idea tentang jumlah duit yang diperlukan antara anak-anak orang kampung dari kalangan marhaen berbanding anak-anak kumpulan elite.

Saya pernah kenal anak muda yang kerjanya main beli dan jual saham, dengan modal duit ratusan juta dari akaun peribadi mereka. Ketika saya seusia itu, hanya sibuk main snooker dengan kawan-kawan saja. Tak bersembang pun bab duit sekalipun sekadar puluhan ribu ringgit. Rezki dia didedahkan dikalangan keluarga kaya raya.

Berbalik kepada berapa jumlah gaji yang diperlukan di atas tadi. Saya akhirnya terima kerja yang jumlah gajinya hanya dalam lingkungan RM600 sahaja.

Amalkan budaya sama macam zaman belajar dahulu. Belanja berdasarkan apa yang saya dapat sahaja. Separuh bagi kat orang tua dan separuh lagi untuk sendiri punya perbelanjaan.

Itupun dah rasa banyak. Apatah lagi duit tersebut adalah hasil dari titik peluh sendiri.

Tak lama bekerja, saya dinaikkan gaji kepada RM900 bila mereka sedar yang saya ada bakat buat kerja dan tahu menggunakan otak.

Saya pernah cerita kisah mula cari kerja dalam salah satu artikel yang banyak dalam blog ini. Disebabkan usaha cari kerja sentiasa ditolak atas alasan ‘over qualified’, maka akhirnya saya pergi temuduga lenggang kang kung tak bawa apa-apa kelayakan akademik.

Hasilnya, saya terus dapat kerja!. Tapi gaji RM300 sahaja lah. Tapi apa nak kisah! asal dapat duit, alhamdulillah.

Bermula dari situ bergerak dapat tawaran kerja lain dan jumlah gaji dah mula meningkat menghampiri RM2 ribu. Dah sampai kategori elite tahap kampung yang saya terdedah bersama kawan-kawan ketika itu.

Bila dah kerja begitu, saya berkesempatan untuk serap idea baru tentang nilai duit dan kerja. Terbuka juga idea yang ada orang kaya raya sebab dia bukan kerja makan gaji, tapi dia berniaga.

Ukuran mudah ketika zaman kerja samada banyak duit atau tidak adalah dengan melihat kenderaan yang orang bawa. Itu juga idea yang dipelajari masa kerja.

Mula kira jumlah duit yang perlu

Bila saya buat keputusan untuk berniaga, desakan untuk betul-betul kira berapa jumlah duit yang diperlukan mula timbul. Bertujuan untuk buat peruntukan antara keperluan saya dan keperluan perniagaan.

Tapi masih selesa sebab solo lagi ketika itu.

Bila masuk peringkat dah berkahwin dan ada anak. Semuanya jadi semakin jelas dan nyata. Saya perlu selesaikan keperluan semua orang. Bukan saja bab orang tua dikampung, malah dah masuk bab makan minum dan tempat berteduh anak dan isteri.

Tak ada sesiapa yang dapat bantu sekarang selain dari saya sendiri.

Sampai satu peringkat, disebabkan jumlah perbelanjaan naik seiring sama tinggi, ikut tahap gaji yang saya pernah dapat, akhirnya dah tak boleh nak tampung lagi semua kos yang ada.

Masa itu baru saya sedar jumlah pendapatan saya dah tak cukup!

Jadi nak buat macam mana?

Solusi jumlah pendapatan tak cukup

Sama saja dalam perniagaan mahupun dalam kehidupan seharian.

Formula asas bila jumlah pendapatan tak mencukupi, anda boleh lakukan 2 perkara berikut sahaja.

  • Tingkatkan lagi jumlah pendapatan
  • Kurangkan jumlah perbelanjaan

Atau anda boleh buat kedua-duanya serentak. Budak sekolah rendah pun boleh faham formula di atas. Tahu dan faham masih tak cukup.

Antara ‘tahu’ dengan ‘melaksanakan’ adalah 2 perkara yang berbeza.

Dalam bab nak melaksanakan formula mudah di atas, ada banyak cabaran.

Secara tiba-tiba nak tingkatkan pendapatan, hanya mencuri atau merompak sahaja jalan pintas yang pantas. Itupun bukan mudah. Risikonya tinggi. Malu pun boleh, sakitpun boleh dapat, jika ambil pendekatan itu.

Dari segi perlaksanaan, cara yang kedua adalah paling mudah dan cepat dilihat kesannya. Boleh dilakukan dengan pantas untuk selamatkan keadaan.

Namun begitu, masih ramai yang gagal dan tewas. Masih tak mampu nak laksanakan cara kedua itu sekalipun ianya formula yang pasti berkesan.

Yang menghalang adalah ‘ego’.

Pernah naik atas dan jatuh bawah

Saya ambil pendekatan kedua. Semua kos saya cantas ke tahap paling rendah sehingga hanya hidup atas keperluan asas sahaja. Cuma tak sampai ketahap duduk rumah setinggan penempatan haram sahaja lagi. Jika perlu mungkin saya akan buat juga.

Cantas kos memang mudah. Yang payahnya nak cantas ego. Saya bernasib baik sebab dari cerita atas, dari awal sampai akhir, semua keadaan dah saya lalui. Dari kosong, kerja kuli gaji RM300 saya dah tempuh.

Hidup selesa juga saya pernah tempuh. Selepas naik dan jatuh pula ke bawah, juga saya dah tempuh. Samada mandian wangi semerbak harum, atau bergelumang taik busuk dah saya rasainya.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”

Pepatah Melayu

Betul sangat peribahasa itu. Hanya bahu ini yang tahu perit beratnya. Hati ini dah rasa remuk rendam muka jatuh tersepuk atas taik kucing. Malu, pedih, kecewa, semua dah ada pengalaman.

Paling penting, semua orang yang saya kenal dah pernah tengok keadaan yang berlaku itu. Seandainya ia berulang, ia bukanlah satu perkara biasa bagi saya dan juga semua orang yang saya kenal itu.

Ianya benar-benar menyelamatkan saya. Tiada tekanan sosial berlaku di situ. Kalau ada pun tak sampai ke tahap parah.

Dalam ertikata lain. Untuk amalkan formula ke-2 di atas, anda perlu atasi masalah tekanan sosial. Seandainya anda seorang yang punya rekod cemerlang. Naik dan naik dan naik tak pernah jatuh.

Dalam keadaan sebegitu, ‘high-flyer’ kata orang putih. Untuk turun rendah ke bawah dari tahap kedudukan yang tinggi adalah sesuatu yang amat sukar. Ada yang sanggup bunuh diri tak tahan tekanan sosial sedemikian.

Untuk atasi masalah tekanan sosial, dalam keadaan anda tak pernah jatuh. Kini terpaksa potong semua kos dan turun ke bawah jadi golongan marhaen, anda perlu keluar dari kelompok yang ada sekarang. Pergi jauh dari kelompok yang kenali anda.

Pergi cari kumpulan lain yang baru. Mula balik segar dari situ. Itu saja cara paling mudah dan berkesan.

Bina semula pendapatan

Dalam apa saja usaha, tekanan negatif tidak akan membantu untuk beraksi dengan cemerlang.

Tekanan negatif ni macam main tenis atau badminton di mana anda buat kesilapan tanpa tekanan pesaing. Servis keluar kotak. Pukul melalut dan sebagainya. Itu kesilapan yang sia-sia.

Tapi kalau mata hilang akibat dari tekanan pihak lawan setelah anda berhempas pulas, itu adalah kesilapan yang boleh dibanggakan.

Tekanan sosial, rasa rendah diri duit tak cukup, gaya sudah tidak hebat dan sebagainya adalah tekanan negatif yang perlu dielakkan.

Bila semua itu tidak ada. Yang ada hanyalah desakan untuk buat usaha terbaik sahaja. Sehingga berjaya.

Keadaan itulah yang baik untuk anda, kalau mahu bina semula kehidupan.

Jiwa lebih aman bila tak ada pihak bank datang kejar payment. Tak ada Along lempar cat merah ke pintu rumah. Dan lain-lain lagi seumpamanya.

Aman juga bila tiada jelingan sinis dari masyarakat yang anda kenali selama ini.

Dalam keadaan sebegitu, anda ada segala yang diperlukan untuk berusaha kembali mengejar impian. Insyaallah

Semat ayat di bawah ini ..

Kekayaan adalah apa saja yang anda ada, yang boleh digunakan untuk teruskan kehidupan seperti biasa sekalipun semua duit telah habis diambil orang lain

www.hidupringkas.com

Post a Comment

Previous Post Next Post