Idea jual semua bisnes dan harta yang ada di bandar dan balik kampung bina bisnes baru


Tahun 1999, saya datang ke Lembah Klang ni untuk belajar tentang perniagaan dan cari peluang perniagaan.

Kuala Lumpur merupakan pusat pentadbiran negara kita. Kebanyakan peluang yang ada di Malaysia akan bermula dari kotaraya megah ini. Itu yang kawan-kawan otai beritahu. Saya percaya kata mereka.

Sampai di sini, saya dapat lihat memang teruk kehidupan di kotaraya walaupun segala kemudahan ada di sini. Lebih teruk dari kehidupan di kampung yang tak berapa banyak sangat kemudahannya.

Formulanya asasnya adalah duit. Segala kemudahan di bandaraya adalah untuk mereka yang berduit. Segala kesusahan di kampung adalah untuk mereka yang ringan tulang, tak ada duit pun tak apa.

Persaingan kejar duit demi mendapatkan segala kemudahan hidup di bandar sangat kuat. Masing-masing cuba ke depan.

Bila berada dalam keadaan kelam kabut macam tu, sudah tentu ada kaki orang lain yang akan kena pijak. Samada sengaja atau tidak sengaja. Sebab itu orang bandar hatinya makin lama makin keras.

Walaupun cabarannya sangat besar, ramai yang bersaing, tapi periuk kawah nasi briani di kotaraya bersaiz gergasi.

Kalau saya dapat kerak dari lebihan nasi yang hangitpun kat dasar periuk tu, nilainya sudah tentu masih jauh lebih besar berbanding kat kampung.

Itulah yang saya fikirkan. Sebab itu saya datang. Nekad berusaha cari jalan. Hidup sebagai usahawan kecil dan kerdil sehingga lah sekarang.

Tinggal kesibukan, celapak naik kapal

Beberapa tahun yang lalu saya tinggalkan semua kerja dan loncat naik kapal lebih dari seminggu. 

Masa itu bisnes dah jalan lancar. Saya dah ada pendapatan tetap hasil dari beberapa bisnes yang dah berjaya dibina.

Semua bisnes masa tu dah boleh dilepaskan. Tak perlu berikan tumpuan sangat pada urusan seharian. Saya gajikan orang untuk menguruskannya.

Keinginan untuk merasa pengalaman duduk belayar atas kapal beberapa hari merupakan salah satu dari ‘impian perlu buat sebelum mati’ yang saya ada.

Saya pesan pada kawan-kawan yang rapat, kalau ada peluang macam tu, tolong beritahu.

Dengan kehendak Tuhan, peluang itu sampai juga akhirnya.

Saya terus sambut. Walaupun notis sangat pendek. Cari jalan untuk jayakan juga. Dengan seorang lagi kawan, juga seorang usahawan, kami pergi ke limbungan kapal di Port Klang dan terus celapak naik kapal.

Kapal itu bergerak dari Klang melalui persisiran pandai menuju ke Melaka. Kemudian pusing melalui persisiran Indonesia. Masuk Johor, lintas Singapura dan masuk ke Pantai Timur. Perjalanan berakhir di Terengganu.

Kalau tak silap, kami berlayar selama 7 hari 8 malam. Siang dan malam duduk atas kapal. Ada lebih kurang 23 orang krew kapal, seorang kapten, siap ada tukang masak tersedia dalam kapal tu.

Setiap hari, kapal akan bergerak selepas kami semua selesai solat subuh secara berjemaah di dek kapal.

Terus bergerak sehinggalah ke magrib di mana kapal berlabuh. Itu waktu kami lepak atas kapal, tidur sehingga ke subuh. Malam hari diisi dengan aktiviti memancing, berborak atau melayan perasaan atas dek sambil dipukul angin.

Perjalanan selama lebih seminggu itu memang satu pengalaman baru tak pernah saya lalui seumur hidup sebelum itu. Nanti saya akan ceritakan lebih panjang di lain artikel jika ada kesempatan.

Jual bisnes dan balik kampung

Apa yang nak saya ceritakan adalah salah satu pengalaman ketika berlayar tu.

Kami berlabuh di persisiran pantai Terengganu. Tak jauh dari Pulau Kapas. Kapten kenal seorang kawannya yang duduk di Pulau Kapas itu yang jalankan bisnes resort unik.

Bila dengar tawaran pertanyaan kapten, samada nak pergi tengok pulau kapas atau tidak, kami tak fikir panjang.

Tentu mahu!.

Bot kecil diturunkan dan beberapa orang anak kapal ikut sama ke Pulau Kapas yang tak berapa jauh dari Kapal kami.

Kami terus ke resort kawan kapten tu. Berkenalan dan nikmati makanan di restoran unik kawan kapten.

Dia buat chalet di sekitar pantai itu, saya tak ingat berapa buah chalet yang dia ada. Mungkin dalam 10 buah atau lebih sikit.

Tapi yang bestnya kesemua pelanggannya adalah pelancong luar negara. Dan paling mengkagumkan, kesemua chalet yang dia ada itu dah ditempah penuh untuk selama 2 tahun ke depan.

Pakej yang dia sediakan termasuk makan dan minum di restoran yang dia sendiri masak dan sediakan khas untuk para penyewa chaletnya.

Dia santai saja. Tenang dan kelihatan sangat bahagia.

Kedua-dua orang anaknya di sekolahkan di International School di Kuala Terengganu. Setiap pagi, dia pergi hantar dan petang, ambil anaknya dengan menaiki bot.

Kos sekolahkan anak-anak kat situ 2 orang bukanlah murah. Itu bayangan menunjukkan bisnes yang dia buat laku keras dan menguntungkan.

Bila saya tanya macam mana dia boleh dapat idea buat bisnes macam ni kat Pulau Kapas. Malahan pula cara yang dia buat itu bukan idea kampung. Sangat luar biasa dan ke depan.

Dari ceritanya barulah saya tahu yang dia asalnya berniaga di Kuala Lumpur sebelum ini. Bersabung nyawa berusaha cari makan dalam industri logistik.

Setelah lama hidup dalam keadaan yang macam tak ada kehidupan, akhirnya dia buat keputusan menjual kesemua bisnes logistiknya berserta aset yang dia ada. Lagipun ketika dia jual itu ekonomi sangat malap.

Dengan duit yang ada, dia datang ke Terengganu, masa itu agaknya harga tanah masih murah dan dia beli tanah kat Pulau Kapas. Di situ, dia mula usahakan bisnes resort.

Pendedahan kepada dunia logistik dengan pelanggan dalam dan luar negara memberikan kelebihan untuk dia merangka idea bisnes yang unik dan luar biasa.

Apakah perasaannya dengan bisnes yang dia buat itu berbanding bisnes dahulu di kotaraya?

Bila saya tanya soalan itu padanya, dia senyum. Senyuman penuh kepuasan keluar dari riak air mukanya. Itu keputusan yang terbaik pernah dia buat dalam hidup.

Jom jual bisnes, balik kampung

Semenjak dua menjak ini, semua pengalaman itu makin mendapat perhatian, keluar balik dari dalam benak kepala saya.

Perasaan nak lari balik kampung, tak semestinya kampung sendiri, makin kuat terasa. 

Bukan rimas atau rasa dah tak tahan dengan kerenah pusat bandar. Tapi lebih kepada cetusan idea untuk menyumbang satu kelainan kepada pembinaan kelompok usahawan baru di Malaysia.

Saya terfikirkan bagaimana usahawan yang dah ada pengalaman dan pendedahan bandar, boleh memberikan sumbangan kepada perkembangan negara kita. Dalam masa yang sama, menikmati gaya hidup yang santai yang lebih sesuai dengan budaya orang asia.

Ideanya mudah saja.

Mulakan dari sekarang, luangkan masa untuk berjalan ke luar kawasan kampung atau penempatan terpencil yang jauh dari pusat bandar.

Lari jauh dari kawasan yang ada industri besar. Mereka tu kerjanya hanyalah merompak kesemua anak-anak muda lelaki dan perempuan dari kampung untuk menjadi hamba kerja sebagai operator pengeluaran di kilang. Gaji lumayan ditawarkan yang memang tak dapat di kampung.

Habis semua lari dan habis kampung sunyi sepi. Saya dah tengok semua ini terutamanya di Pulau Pinang. Habis anak-anak muda kampung sehingga yang berada di Baling, Kedah umpamanya lari ke Pulau Pinang jadi pekerja kilang.

Bukan sikit-sikit. Puluhan atau ratusan ribu pekerja. Kampung jadi sunyi sepi.

Sebab itu saya cadangkan pergi cari penempatan terpencil yang jauh dari perompak anak-anak muda ini.

Tanah kat kawasan terpencil sebegitu masih murah. Jika nampak ada peluang, beli tanah di situ dan mula usahakan projek makanan dan minuman istimewa keluaran khas dari kampung terpencil itu.

Perlu dimulakan dengan usaha pertanian sebab itu asas kepada kesemua industri yang ada di dunia ini. Mungkin tanam padi, sayur, buah-buahan dan lain-lain seumpamanya. 

Tapi bukan sebarang usaha pertanian. Ianya mestilah berkonsepkan organik dan bersepadu yang selamat dari pencemaran.

Usaha sedemikian boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk kampung.

Dengan pendedahan usahawan selama di pusat bandar, usaha membina jaringan boleh dilakukan untuk pasarkan produk unik dari kampung ke luar.

Mungkin boleh anjurkan expo produk kampung sebulan sekali. Jemput penduduk sekitar dan kawan-kawan usahawan dari pusat bandar, datang shopping dan bina perhubungan bisnes dengan semua usahawan yang ada di kampung tersebut.

Saya bayangkan usaha ni boleh dikembangkan sehingga kampung itu mampu keluarkan bahan mentah seperti tepung, roti, sos dan lain-lain lagi untuk bekalan penduduk di situ. Kampung yang ‘self-sustained’ kata orang putih. Lebihannya boleh dipasarkan keluar.

Ringkasnya, dalam artikel angan-angan yang pendek ini, usaha ini akan menghasilkan banyak masyarakat usahawan luar bandar yang berdikari. Mereka akan kembangkan kampung ke tahap yang lebih meriah tanpa merosakkan budaya tolong menolong dan nilai ketimuran orang kita di kampung.

Saya bayangkan sebuah kampung yang maju, kekal ciri-ciri budaya ketimuran. Restoran yang kemas terurus tahap 5 bintang. Kegiatan ekonomi yang maju mesra alam. Penduduk yang saling kenal mengenali. Siap ada kilang proses yogurt keluaran tempatan.

Kena cari seorang usahawan kaya raya sebagai anchor untuk explore mana-mana kampung terpencil. Beli tanah luas, dan mula usahakan projek ni.

Kawan-kawan usahawan lain dari industri yang berbeza, akan turut sama tinggalkan pusat bandar dan mulakan bisnes mereka di penempatan terpencil itu. Semuanya perlu diusahakan secara berkumpulan.

Tentu best macam itu kan !

Kembali ke kampung, teroka kawasan yang jauh terpencil. Tukar gaya hidup. Dan mula bina semula kehidupan yang lebih seimbang.

Ada yang nak joint usaha macam tu tak?

Post a Comment

Previous Post Next Post