7 peribahasa Melayu yang usahawan mesti ingat dan amalkan


Peribahasa Melayu adalah kata-kata hikmat yang dirumuskan oleh orang tua kita sejak dahulu.

Ia merupakan gambaran bahawa mereka merupakan bangsa yang cerdik dan sedar terhadap apa yang telah dilalui.

Semua pengalaman hidup yang kompleks itu dipermudah sampaikan dengan membuat ayat-ayat ringkas supaya jenerasi yang akan datang mengambil manfaat darinya.

Banyak rumusan pendek yang hebat-hebat, orang tua-tua tinggalkan untuk kita selami dan fikirkan.

Jom kita lihat sebahagian darinya di bawah.

1. Yang secupak takkan jadi segantang

Peribahasa yang sama dengannya berbunyi ‘yang sehasta takkan jadi sedepa’. Ini satu peribahasa yang hebat.

Ia menekankan sikap untuk menerima sesuatu yang takkan dapat diubah lagi dalam keadaan semasa. Ertinya seseorang itu perlu menerima keadaan semasa dan berusaha berdasarkan apa yang ada di tangan. Dan berhenti mengharap supaya yang tak ada datang baru nak berusaha.

Yang pentingnya, terima kenyataan apa yang ada sekarang dan itulah yang perlu dijadikan modal untuk masa yang akan datang. Jangan tangguh dan berikan alasan kerana itu hanya merosakkan diri sendiri.

Jika anda jenis yang nak tunggu itu dan ini, menantikan sesuatu yang jelas belum ada baru nak mula buat sesuatu, jangan harap nak berjaya. Kita sentiasa merasakan tak pernah cukup. Itu membuatkan usaha terhenti sebab memang sampai bilapun tidak akan ada yang pernah cukup.

2. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagu

Ada banyak lagi peribahasa yang seumpama dengannya. Antaranya adalah, a. Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan, b. Kurang sisik, tinggal lidi di buku; kurang selidik, tinggal kaji di guru, c. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang.

Nampak tu! indahnya rumusan tersebut. Kita perlu berusaha buat sesuatu, bersusah payah dahulu sebelum berjaya mencapai maksud. Sekadar mengharap, merungut atau menyumpah tak bawa ke mana.

Tak ada jalan mudah untuk berjaya mendapatkan apa yang disasarkan. Berusahalah, cari jalan buat dengan betul berdasarkan caranya, kena jalannya, insyaallah lambat laun berjaya.

3. Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya

Asasnya adalah buat keputusan. Samada mahu atau tak mahu. Anda boleh sediakan seribu alasan walau yang mana satu pun pilihan hati.

Peribahasa yang sama tapi terbalik berbunyi, ‘Enggan seribu daya, mahu sepatah kata’. Ramai yang cakap nak berniaga, kemudian disambung perkataan ‘tapiiii…’ di depannya. Buang saja tapi tu, berusahalah kalau benar-benar mahu.

Sekarang tanya diri sendiri, apa yang sebenarnya kita mahu. Buat keputusan kemudian jalan atau alasan akan datang dengan sendirinya berdasarkan keputusan kita.

4. Alah bisa tegal biasa

Ramai tentu pernah dengar peribahasa ini. Yang sering kita sebut adalah, ‘Alah bisa, tegal biasa’. Ada juga yang sebuat alah biasa oleh biasa. Samalah maksudnya. 

Apa saja yang sukar jika berlatih lama kelamaan akan menjadi mudah jua.

Praktis itu lebih utama. Bukan sekadar berteori itu dan ini. Sebab itu pemegang doktorat ilmu perniagaan belum tentu akan mudah lancar bila berniaga. Semuanya sekadar teori sahaja.

Ada lagi peribahasa yang sama berbunyi seperti di bawah ..

Habis geli oleh geletek, habis rasa oleh biasa.

dan

Habis miang kerana bergeser.

Kedua-duanya membawa maksud sama.

Ia memberi ingatan agar kita buat dan ulang sehingga yang susah menjadi mudah. Barulah beroleh kejayaan.

Merungut dan ber-kalau tak kan ke mana. Sinting lengan baju dan turun ke padang, jatuh bangun semula sehinggalah kukuh berdiri.

Mula berniaga bukannya mudah. Kalau ada yang kata mudah, nampak sangat dia pembohong atau tak pernah berniaga.

Mudahnya datang hanya setelah berusaha berkali-kali dengan berbagai cara.

Sudah tentu bila dah berjaya dia akan rasa mudah, sebab bisa dah hilang. Yang tak faham, akan percaya mula berniaga itu mudah, lalu terjun dengan andaian semuanya mudah, bila kena baru mengelabah. Sebab tak bersedia.

5. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian

Ini juga amat popular dan menjadi mainan mulut kita sejak kecil. Tapi bila besar, baru saja berniaga dah nak senang. Dapat loan belasah pakai Merz, pakai Audi Quatro, pakai BMW…. jangan macam tu.

Biarlah apa orang nak kata, kita kecil, tak hebat apa lagi bagai, itu mereka punya hal. Yang pentingnya kita perlu sedar sebelum nak senang perlu tahan terlebih dahulu dengan bersusah.

Mungkin sebab ramai yang faham makna inilah, maka majoriti tak sanggup berhenti kerja dan berniaga. Sebab mereka sedar tak mampu untuk hadapi kesusahan terlebih dahulu sebelum datangnya kesenangan.

Kalau tahu tak apa… duduklah kamu kat situ makan gaji sampai pencen !.

6. Kalau takut dilimbur pasang, jangan berumah di tepi pantai

Kalau takut hadapai kesukaran, tak payah nak gatal pergi berniaga. Macam itulah lebih kurang. Perlu terima hakikat dan akuinya kemudian baru terjun, buat dan atasi ketakutan tersebut.

Peribahasa yang lebih kurang sama berbunyi, ‘Lamun takut dilanggar batang, jangan duduk di kepala pulau’. Ertinya sama juga, kalau takut hadapi kesusahan, jangan buat perkara sukar.

Peribahasa ini terasa seperti mengejek orang yang pengecut tak berani buat itu dan ini dengan berbagai alasan. Tak payah nak bagi alasan ler, mengaku saja takut dan tak payah nak sebut lagi. Dengan cabaran sedemikian, diharap anda beranikan diri.

Memang nak buat perkara sukar itu perlu berani. Yang paling utama perlu berani jatuh bergolek. Kalau nak bergaduh perlu berani kena tumbuk. Begitu juga kalau nak berniaga, perlu ada keberanian menerima dugaan.

7. Harapkan guruh di langit, air tempayan ditumpahkan

Ini juga dah jadi mainan mulut kita sejak kecil. Tapi masih tak faham  atau terlupa kata-kata hikmat ini untuk dijadikan panduan hidup.

Dalam perniagaan, perbahasa ini amat penting untuk diamalkan. Laburkan sumber tenaga dan kewangan pada perkara yang lebih pasti. Jangan terlalu teruja taburkan semua yang ada pada perkara yang sekadar andaian.

Ramai kontraktor berikan wang suapan awal sedangkan kontrak belum dapat. Ramai usahawan laburkan modal pada pejabat yang indah sedangkan bisnes belum ada pelanggan. Semuanya sebab tak mahu ambil iktibar dari peribahasa ini lah tu.

Peribahasa yang ertinya sama ada banyak juga, antaranya, a. Harapkan burung terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan, b. Kura-kura di kaki ditinggalkan, burung terbang dikejar, c. Kura-kura di kaki ditinggalkan, penyu di pantai dikejar, d. Pelanduk yang dekat ditinggalkan, rusa yang jauh yang dikejar.

Pilihlah usaha dan curahlah sumber pada yang pasti terlebih dahulu. Janganlah salurkan semua yang ada pada perkara yang masih belum tentu hasilnya.

Peribahasa Melayu lain

Banyak lagi peribahasa yang menarik untuk kita selak dan ambil iktibar kalau rajin mencari. Cukuplah sekadar 7 yang saya ingatkan di atas sebagai permulaan.

Kalau anda ada peribahasa Melayu lain yang menarik untuk diketengahkan dan diamalkan, bolehlah kongsikan pada ruang komen kat bawah ni.

Post a Comment

Previous Post Next Post