Jangan gelojoh terus cari jawapan sebelum betul-betul siasat pada soalan


Dalam artikel yang lalu, saya ada tulis berkenaan tips selesaikan masalah. 

Kemahiran dalam menyelesaikan masalah sangat penting. Untuk jadikan diri anda sangat berharga, pastikan kemahiran ini dibina sebaik mungkin.

Jika anda makan gaji, majikan harapkan anda untuk selesaikan semua masalah yang ada dalam tugasan yang diberikan pada anda. Kalau nak naik pangkat dengan pantas, anda hanya perlu jadi seorang pekerja yang tak pernah tolak apa saja masalah yang diberikan, dan anda selesaikannya dengan sebaik mungkin.

Kalau anda pergi temuramah, tak payah tunjuk kelayakan akademik sangat. Ramai lagi yang ada semua kelayakan sebegitu. Malah ramai yang ada kelayakan yang lebih baik lagi dari apa yang anda ada.

Apa yang majikan nak lihat adalah keupayaan anda dalam menerima dan menyelesaikan masalah. Berikan rekod cemerlang yang lalu keupayaan anda dalam selesaikan masalah bersama dengan buktinya, dah pasti anda akan masuk dalam senarai pendek.

Siasat betul-betul soalan

Satu dari kemahiran yang wajib ada dalam membina keupayaan selesaikan masalah adalah kemahiran bertanya soalan yang mahu diselesaikan.

Itu yang saya nak fokuskan dalam artikel ini.

Untuk berikan gambaran terhadap betapa pentingnya untuk pastikan soalan yang betul ditanya sebelum mencari jalan penyelesaian, saya kongsikan cerita persaingan angkasa antara Russia dan Amerika.

Para saintis Amerika membuat persediaan yang cukup rapi bagi merealisasikan misi meneroka angkasa lepas mereka. Dalam persediaan terakhir, mereka berhadapan dengan satu masalah yang cukup besar apabila pen yang digunakan untuk membuat catatan di angkasa lepas tidak dapat berfungsi akibat tiadanya daya tarikan graviti.

Maka kelam kabut lah mereka menghimpun segala pakar yang ada dan memohon peruntukan tambahan puluhan juta bagi mencari jalan keluar dari masalah tersebut. 

 Di pendekkan cerita akhirnya mereka berjaya mereka cipta sejenis pen yang bukan saja boleh menulis di angkasa malah boleh digunakan di mana-mana saja termasuk di dalam air. Sangat hebat.

Dalam merayakan kejayaan tersebut salah seorang saintis terfikir bagaimana rakan saingan mereka dari Russia menyelesaikan cabaran hebat itu. 

Untuk dapatkan jawapan, dia menghubungi salah seorang saintis Russia yang terlibat dalam projek meneroka angkasa lepas di sana. Dia bertanya dengan perasaan ingin tahu bagaimana Russia selesaikan masalah pen tersebut. 

Saintis Russia terkejut mendengar soalan itu kerana bagi mereka itu bukanlah satu masalah.

Saintis Amerika: “ .. habis bagaimana kamu menulis di angkasa lepas?”
Saintis Russia: “kami gunakan pensil!

Contoh cerita di atas menggambarkan bagaimana anda boleh menghabiskan tenaga dan masa melakukan kerja yang tidak perlu kerana bertanyakan soalan yang salah.

Sepatutnya soalan yang perlu ditanya, sebagai mana pihak Russia melakukannya, adalah, ‘bagaimana nak menulis di angkasa” dan bukannya, “bagaimana kita boleh menggunakan pen di angkasa”.

Naik atas sebelum ke bawah

Tips no. 4 dalam artikel lalu Tips praktikal hadapi masalah, saya ada sebut tentang  ringkas dan permudahkan soalan yang nak diselesaikan.

Cara mudah untuk itu adalah dengan melihat ke atas terlebih dahulu. Iaitu bertanyakan soalan asal untuk kenal pasti dari mana datangnya masalah tersebut.

Dalam kaedah feqah, konsep kembali ke asal terlebih dahulu dapat merungkaikan banyak permasalah hukum.

Ada sekali ketika saya belajar di Perancis satu ketika dulu, ketika bersama dengan imam masjid berbangsa arab, datang seorang pakcik arab bertanyakan satu masalah feqah berkaitan halal dan haram. Ada orang telah meletakkan daging ayam yang sudah dipotong kecil-kecil, bersih sudah dibasuh, di depan rumahnya.

Masalahnya, dia tak tahu siapa yang memberikannya. Nak dibuang sayang. Nak dimakan pula tak pasti samada ayam itu adalah sembelihan dari kedai seorang muslim atau bukan.

Mushkil, lalu dia terus ke masjid bertanyakan masalah tersebut.

Imam suruh saya jawab apa hukumnya. Kebetulan memang saya belajar banyak bab ilmu agama dari imam itu selama berada di sana.

Saya terangkan dulu pada pakcik arab itu untuk melihat ke atas tentang hukum ayam yang telah ditemui mati. 

Soalan saya kepada pakcik itu, 'jika dia berjalan dan bertemu dengan seekor ayam yang sudah mati, apakah hukumnya terhadap daging ayam tersebut?'

Pakcik itu dengan yakin jawab, itu bangkai. Hukumnya haram, tak boleh dimakan.

Maka samalah juga dengan daging yang dia jumpa diletakkan depan rumahnya. Itu adalah ayam yang ditemui mati di depan rumahnya. Maka ia adalah bangkai. Haram untuk dimakan.

Banyak masalah fiqah menggunakan kaedah tersebut. Satu lagi contoh adalah bab tak pati tentang masih ada wuduk atau tidak. Jika anda mushkil samada dah batal atau belum, kembali semula ke atas. Anda yakin dah ambil wuduk tapi tak pasti batal atau tidak.

Bagi orang yang sudah berwuduk, maka dia tidak berada dalam hadas kecil. Jadi jawapannya adalah wuduknya masih sah.

Sebaliknya dia was-was samada ada wuduk atau tidak. Iaitu tak pasti samada dah ambil atau belum wuduk. Maka kembali ke asal juga. Orang yang belum berwuduk itu masih berhadas. Maka, dia perlu ambil wuduk yang baru.

Harap sedikit perkongsian di artikel ini memberikan satu input yang berguna kepada anda yang membacanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post